KEMENTERIAN Sumber Manusia menyasarkan 50 peratus populasi penduduk Malaysia terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib melalui teks ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Pembangunan Bakat 2014 yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Mohd Sahar Darusman, berkata, ia selari dengan sasaran negara maju 2020.

“Buat masa ini negara kita hanya mempunyai 28 peratus pekerja berkemahiran tinggi dan jumlah ini sedikit berbanding negara maju lain seperti Singapura dan Korea.

“Oleh itu, kerajaan perlu ambil langkah bersesuaian bermula sekarang bagi memenuhi sasaran itu dan membantu setiap tenaga kerja berkemahiran tinggi mampu memperoleh pendapatan tahunan RM48,900 setahun,” katanya.
Menurutnya, pengukuhan pengurusan sumber manusia bagi syarikat perusahaan kecil sederhana (PKS) turut memainkan peranan penting.

“Sasaran PKS untuk menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 adalah salah satu usaha untuk negara bergerak ke arah rantaian pembekal global, sekali gus menjadi negara berpendapatan maju.

“Semua agensi terlibat perlu membantu meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan teknologi dalam memacu modal insan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sasar-50-peratus-pekerja-berkemahiran-tinggi-1.265889