PENGALAMAN menguruskan pondok di Malaysia berbanding di Thailand dan pesantren di Indonesia adalah antara perbincangan utama Ijtimak Pondok Malaysia yang akan berlangsung di Dewan Sri Mentaloon, Kedah antara 23 dan 24 April ini.

Beberapa ulama pondok dan tokoh akademik tempatan dijemput untuk membentang pengalaman mengurus pondok serta membincang permasalahan dan memberi cadangan bagaimana tadbir urus pondok boleh diperbaiki.

Mereka termasuk Datuk Paduka Sheikh Muhamad Baderuddin Ahmad (Mufti Kedah), Sheikh Hj Mohd Hafidz Selamat (Yayasan Al-Jenderami, Selangor), Prof Dr Badlishisham Mohd Nasir dan Dr Mohd Salmi Sohod.

Beberapa ulama dan tokoh terkenal dari Thailand dan Indonesia dijemput khas untuk berkongsi pengalaman mereka dalam pengurusan pondok. Pemimpin Pondok Moden Gontor (PMG) Dr Amal Fathullah Zarkasyi akan menceritakan pengalaman bapanya, Imam Zarkasyi dan dua saudaranya mengasaskan pesantren ini di Ponorogo, Jawa Timur.

Pesantren yang bermula secara kecil-kecilan ini telah mengalami pelbagai cabaran dan perubahan sepanjang 88 tahun kewujudannya. Ia kini antara pesantren terhebat dan paling berpengaruh di Indonesia, dan bakal naik taraf menjadi universiti tahun hadapan.

Pengalaman menguruskan pesantren di Indonesia akan turut dikongsi oleh Ustaz Amin Fadlillah dari Sumatra. Manakala Prof Dr Mahamatayuding Samah akan membentangkan pengalaman ulama dan mudir yang mengurus pondok di Thailand.

Pasti banyak teladan dan iktibar yang bakal diperoleh mudir dan guru-guru pondok tempatan berhubung pendekatan dan cara paling berkesan untuk memperkasa pengurusan dan pentadbiran pondok. Yang akan mengendalikan sesi-sesi ini ialah Prof Dr Asmadi Mohd Naim dan Amin Idris.

Ijtimak dua hari yang julung kali dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) akan dirasmikan pembukaannya oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang juga Penaung YPPM. Mukhriz akan membentang ucaptama bertajuk Institusi Pondok di Alaf Baru: Cabaran dan Hala Tuju.

Turut membentang kertas kerja ialah Prof Madya Dr Shukri Ahmad yang akan membicarakan tajuk Pondok Sebagai Pusat Komuniti Sepanjang Hayat.

Manakala dua penceramah popular Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Badlishah Alauddin bersama saya akan membincangkan tajuk Aku Terror bukan Terroris dalam Forum Hal Ehwal Perdana di Dewan Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar pada malam 23 April. Moderator forum ini ialah Ustaz Zakaria Othman.

Pada hari kedua ijtimak ialah sesi antarabangsa yang akan menampilkan empat tokoh pondok dari Thailand, Syria, Indonesia dan Malaysia. Mereka semuanya bertaraf ikon kerana berjaya membuktikan bahawa lulusan pondok juga mampu berjaya dan mencapai tahap tertinggi dalam bidang yang mereka ceburi.

Sesi yang akan berlangsung selama dua jam dalam bahasa Arab, Inggeris dan bahasa Melayu ini akan dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif YPPM Hj Juhaidi Yean Abdullah. Beliau juga akan mengendalikan satu lagi sesi perbincangan yang akan membabitkan panelis yang mewakili pondok, Kementerian Pendidikan, Jakim dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam).

Mufti Kedah dan Ketua Setiausaha II KPM Datuk Seri Prof Dr Zaini Ujang dijangka turut mengambil bahagian dalam sesi ini.

Kemuncak ijtimak ialah pemberian beberapa anugerah oleh Perdana Menteri. Yang utama ialah Anugerah Pondok Progresif 2014 kepada sebuah pondok yang dianggap berjaya dan cemerlang dari segi pengurusan, kecekapan, keberkesanan dan kebersihan.

Beberapa calon telah disenarai pendek untuk menerima Anugerah Warga Emas Contoh dan Anugerah Pelajar Pondok Cemerlang. Bagi setiap kategori, empat pemenang akan diumumkan.

Selain itu, Perdana Menteri juga bersetuju untuk memberi Anugerah Kasih yang berupa bantuan kewangan kepada 10 pondok yang memenuhi kriteria ditetapkan. Bagi melengkapkan majlis, Najib akan melancarkan program baharu iaitu Bicara Pondok terbitan YPPM.

Program 13 siri ini akan disiarkan melalui Astro Oasis mulai Mei depan. Ia memberi tumpuan kepada isu-isu semasa dan mengetengahkan ulama dan guru pondok, selain memprofilkan pondok-pondok tertentu di Semenanjung, juga yang terdapat di Thailand, Indonesia dan Singapura.

Tetamu dan hadirin yang dijangka antara 1,200 dan 1,500 orang akan disajikan dengan persembahan qasidah oleh pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Munir, Bukit Pinang dan Kumpulan Al-Manar di Maahad An-Nafisah Ar-Rahmaniyyah.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/perkongsian-pengalaman-di-ijtimak-1.266951