ALOR SETAR - Nasib malang menimpa sebuah keluarga di Kampung Tandop Batin, dekat sini, seakan berterusan apabila bukan sahaja baru kehilangan kerja, malah bumbung rumah mereka pula rosak dalam kejadian ribut petang kelmarin.

Siti Kholijoh Tneh Abdullah, 40, berkata, mereka hanya sempat mengangkat beberapa barang sahaja namun bilik tidur basah dan perabot rosak akibat bumbung yang diterbangkan angin.

“Kami asyik memikirkan bagaimana untuk mendapatkan sumber kewangan untuk kos membaiki rumah sedangkan suami tidak lagi berniaga selepas lumpuh. Kami tidak mempunyai mata pencarian lagi.

“Kediaman kami dibina atas titik peluh suami yang berniaga makanan sejak 10 tahun lalu. Namun sejak suami jatuh sakit dan tidak dapat berjalan lama, semua tanggungjawab diserahkan kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Kholijoh berkata, sebelum ini dia yang bekerja mencucuk sate secara sambilan dengan upah RM2 untuk 100 cucuk namun terpaksa berhenti kerja sejak seminggu lepas.

Sementara itu, suaminya, Khusnizaim Mansor, 49, berkata, mereka menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM sebanyak RM600 sebulan.

“Segelintir individu mungkin nampak wang bantuan ini banyak tetapi hakikat sebenarnya ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sekolah anak dan kos perubatan.

"Sebelum ini, isteri masih mampu menyara kehidupan kami dengan pendapatan lebih kurang RM400 sebulan tetapi kini tidak lagi selepas dia tidak bekerja," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Kholijoh ditalian (012-9246549) ataupun melalui akaun CIMB Islamic (7610033743).

http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/buntu-fikir-kos-baiki-kediaman-rosak-1.265659