Teks ucapan bajet tahun 2014 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Teks ucapan bajet tahun 2014

KUALA LUMPUR - [Kemaskini] Berikut adalah ucapan Bajet Tahun 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini:

“MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.


PENDAHULUAN

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah Subhanahu Wa Taala dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah”.

Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa:

“Berpadu ialah satu permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resepi kejayaan”.


Tuan Yang di-Pertua,

1. Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka.

2. Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Tuan Yang di-Pertua,

3. Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua, kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan, terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang.

4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihanraya Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita. Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa.

6. Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana negara ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda malapetaka mahupun bencana alam melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung olehNya jua.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10 Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.

8. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.

9. Di sini, ingin saya tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan terjelma, atau berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan strategi yang tuntas oleh Kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

10. Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah menzahirkan maklumat tentang demografi populasi negara berkhusus tentang Melayu dan Bumiputera.

Tuan Yang Di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,  

11.    Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi populasi yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di Sabah, membawa ke Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan bahawa, secara asasnya, orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan 9 induk utama, Orang Cina 10 suku, kaum India 8 suku, Orang Asli 18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat lebih 40 suku.

12.    Hakikatnya, kita semua, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Murut, Dusun, Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani, orang Siam, peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya, kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju kejayaan.

Tuan Yang di-Pertua,

13.    Menurut bancian Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013 menunjukkan jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam adalah 18.6 juta atau 67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus, kaum India 2 juta atau 7.2 peratus, manakala lain-lain kaum 259 ribu yang mewakili 0.9 peratus. Ini bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta orang.

14.    Kendatipun begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 baru baru ini. Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapapun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak, Astaghfirullah-Hal Azim.

Tuan Yang di-Pertua,   

15.    Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun prakarsa negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan dipateri oleh bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh bijaksana dan berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta komposisi kemajmukan rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh tersebut, naskhah penting ini kita bingkiskan.

TERAS BAJET 2014
16.    Sepertimana saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini, dipilih dan jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh sa’adah. Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung, dipersembahkan kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah sekali lagi diberikan amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali ke-lima yang direncana dan diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan bagi pihak Kerajaan sejak 2009.

Tuan Yang di-Pertua,

17.    Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan “MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”, dengan menggariskan lima teras utama.

    Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi
    Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
    Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
    Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar
    Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat


PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

18.    Izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi global dan negara masa kini. Ekonomi dunia dijangka berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini.

Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.

19.    Indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran 1.66 trilion ringgit pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013. Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

20.    Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi, yakni 18.2 bilion ringgit berbanding 15.9 bilion ringgit pada separuh pertama 2012. Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak 444.9 bilion ringgit pada 14 Oktober 2013. Tuan Yang di-Pertua, jumlah ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

21.    Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak 165 bilion ringgit. Di samping itu, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

22.    Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta, sebanyak 12.7 peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

23.    Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

24.    Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun.

Sehubungan hal ini, jika dicongak, InsyaAllah, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu Dolar Amerika. Dalam erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.


PERUNTUKAN BAJET 2014

Tuan Yang di-Pertua,

25.    Bajet 2014 akan menyediakan peruntukan sebanyak 264.2 bilion ringgit bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 217.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 46.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

26.    Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 63.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 36.6 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 114.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.4 bilion ringgit lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

 Tuan Yang di-Pertua,

27.    Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah 46.5 bilion ringgit itu, sejumlah 29 bilion ringgit disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak 10.5 bilion ringgit bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 3.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan. Selebihnya, 1.1 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

28.    Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak 224.1 bilion ringgit, yakni, tambahan sebanyak 4 bilion ringgit berbanding tahun 2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014, berbanding 4 peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,  

29.    Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang dirangka sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.

TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

30.    Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha Kerajaan menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh, jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus, kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus.

31.    Bagi tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189 bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.

32.    Di samping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah sebanyak 106 bilion ringgit. Di antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru.

33.    Dalam bidang minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan projek loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di Pengerang, Johor yang merupakan pelaburan terbesar di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

34.    Menjengah sudut lain, Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah 124 bilion ringgit pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor.

35.    Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah 53.4 bilion ringgit. Hampir 50 peratus daripada pelaburan berkomited tersebut telah direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio Pinewood, Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa Pegasus. Selain itu, projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan dilaksanakan.

36.    Kerajaan turut menyediakan 1.6 bilion ringgit pada 2014 bagi pembangunan di lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek utama ialah projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman perindustrian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

37.    Manakala di Wilayah Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah Utara pula, antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersil dan sistem fertigasi.

Tuan Yang di-Pertua,

Merancak Sektor Perkhidmatan

38.    Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini telah meningkat kepada 55 peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini, Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014, yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenalpasti subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut

0 Komentar untuk " Teks ucapan bajet tahun 2014 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ