ILMU kalam bukan hanya diperlukan untuk mempertahankan akidah Islam daripada kekeliruan golongan falsafah atau fahaman seperti Muktazilah pada masa lalu, bahkan ia masih penting untuk menghadapi cabaran akidah serta pemikiran moden masa kini.
Felo Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI), Dr Azmil Zainal Abidin, berkata ilmu itu dihasilkan sebagai panduan kepada umat Islam dalam menentukan akidah dan pemikiran sahih akibat tercetusnya perbezaan kefahaman serta salah faham berhubung akidah dan pemikiran Islam.
Katanya, ia bukan sekadar ilmu perlu dihargai, sebaliknya wajib disuburkan sebagai persiapan menghadapi cabaran akidah dan pemikiran manusia yang terus berlangsung hingga kiamat.
“Ilmu yang digunakan untuk menangani masalah kekeliruan akidah dan pemikiran ini, bertujuan menegakkan kebenaran dan menafikan kepalsuan.
“Pengetahuan ilmu kalam akan membawa penjelasan dan pengukuhan akidah serta pemikiran Islam, sekali gus membolehkan kita mengenali aliran pemikiran bertentangan dengan Islam supaya boleh menjauhinya,” katanya pada Ceramah Kelegitimasian (Keabsahan) Ilmu Kalam: Suatu Diskusi di Kuala Lumpur.
Kalam yang berasal daripada bahasa Arab yang bermakna kata-kata itu, mempunyai nama lain, iaitu ilmu akidah, tauhid dan usuluddin (asas agama) yang penamaannya menurut konteks orientasi penghujahannya dengan unsur logik mantik.
Justeru ia turut menyediakan panduan dalam proses integrasi disiplin ilmu sains tabii dan kemasyarakatan dengan akidah serta pemikiran Islam.
Azmil yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), berkata usaha menghidupkan semula gagasan kesepaduan ilmu dalam Islam melalui ilmu kalam, turut didorong perjuangan menangani gejala sekularisme yang memisahkan disiplin ilmu dengan hakikat ketauhidan Allah.
Bagaimanapun, Azmil berkata, timbul salah tanggap terhadap ilmu kalam yang mamduh atau terpuji menurut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah berhubung kerelevanan dan keilmiahannya sebagai antara disiplin ilmu Islam yang sah.
Namun hakikatnya, beliau menekankan tabii ilmu kalam yang berorientasikan keharmonian akal yang pasti dengan hakikat tauhid yang bertunjangkan al-Quran dan hadis.
Azmil berkata, potensi akal yang sihat sepakat memperakui tiga kategori hukum akal, iaitu wajib, mustahil dan harus pada tahap yang tertentu.
Berdasarkan perbahasan ilmu kalam, tiga hukum akal itu dijadikan sandaran hujah dalam mensabitkan konsep ketuhanan, kenabian dan hari kebangkitan menurut akidah Islam, sekali gus menangkis syubhah pengeliruan fahaman palsu.
Katanya, seseorang yang rasional pasti memperakui apa yang wajib menurut piawaian logik akal.
Sebagai contoh apabila disebutkan nisbah hubungan antara ayah dan anak kandung, akal waras tidak boleh menerima anak lebih tua berbanding ayah kerana anak adalah cabang daripada ayah.
“Sebaliknya, akal dapat menerima menantu berkemungkinan lebih tua berbanding bapa mentua, lantaran ia tidak membabitkan hubungan nasab keturunan,” katanya.
Justeru katanya, ilmu kalam membantu manusia untuk memahami sebahagian hukum berkaitan hakikat ketuhanan, kenabian dan hari kebangkitan dengan menggunakan potensi akal manusia yang pasti, sekali gus meletakkan akal sebagai saksi memperkukuhkan kebenaran wahyu.
Menyentuh mengenai asal-usul ilmu kalam, Azmil berkata, ia mula disusun apabila sarjana dan ulama melihat betapa pembukaan wilayah baharu Islam mendedahkan umat Islam kepada pelbagai pemikiran, falsafah dan tamadun yang pelbagai melalui proses asimilasi dan pergaulan dengan masyarakat lain.
Keadaan itu menyebabkan umat Islam memerlukan ilmu kalam untuk mempertahankan akidah dan pemikiran Islam, tetapi pada masa sama mengambil manfaat daripada pencapaian pemikiran, falsafah dan tamadun yang ada.
“Imam al-Ghazali pernah berkata, ilmu kalam diperlukan umat, sama seperti ubat tetapi mengikut dos tertentu,” katanya.
Ia lahir dalam suasana dan ketika ulama melihat umat Islam memerlukan ilmu yang dapat membendung kebanjiran pemikiran dan falsafah asing yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Lantaran itu, ilmu kalam perlu dipelajari demi menghadapi cabaran akidah dan pemikiran semasa, manakala dalam konteks yang lain pula, membina konsep kesepaduan ilmu menurut epistemologi Islam,” katanya.
INFO
Ilmu kalam
* Nama lain bagi ilmu akidah, tauhid dan usuluddin bagi subjek atau perkara dibahaskan dalam sistem kepercayaan Islam.
* Ia membabitkan dua aspek, iaitu mensabitkan kebenaran akidah Islam dan menafikan dakwaan palsu kepercayaan atau fahaman yang menyalahi akidah.
* Agama terdiri daripada rukun iman, Islam dan ihsan, sekali gus menjadi komponen lengkap ajaran Islam, iaitu ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf, sekali gus mempermudahkan umat Islam untuk mencapai hakikat dan memenuhi tuntutan ketiga-tiga rukun agama.
* Rukun iman - membabitkan sistem kepercayaan ajaran Islam.
* Rukun Islam - membabitkan taklif syarak yang bersifat amali dan praktikal sebagai bukti terjemahan kepada keimanan seseorang.
* Rukun ihsan - rukun yang melengkap dan menyempurnakan rukun Iman dan Islam melalui kualiti penghambaan yang ikhlas kepada Allah SWT.
0 Komentar untuk " Perkukuh ilmu kalam, hadapi cabaran akidah, pemikiran moden "