Ramadan peluang bersihkan jiwa, pacu semangat cari ilmu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramadan peluang bersihkan jiwa, pacu semangat cari ilmu


KITA sudah melalui beberapa hari dalam Ramadan yang menjadi bulan pembersihan jiwa dan akal. Pelbagai kekeliruan dan kecelaruan dalam jiwa serta pemikiran berpunca tiada ketenangan kerana iman bermula pada hati, sekali gus berkait dengan masalah iman.

Oleh itu, pembersihan jiwa (tazkiyatuz al-nafs) juga disebut pembersihan pemikiran (tazkiyatuz al-fikr) yang menuju ke arah pembersihan iman. Bagi mencapainya khususnya mengislamkan pemikiran adalah dengan melatih jiwa untuk melawan hawa nafsu (riyadhah al-nafs).

Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyebut bagi menghindar diri daripada fahaman mengelirukan dalam diri, ia memerlukan pelaksanaan melatih jiwa melawan hawa nafsu.

Tindakan untuk menghalang nilai kebendaan daripada terus menyerap ke jiwa penting dilakukan kerana hati dan perasaan sentiasa mengawal dan membentuk perilaku, sekali gus mencerminkan diri kita sama ada orang beradab atau tidak.

Setiap Muslim perlu membersihkan diri dan jiwa daripada perkara yang merosakkan iman. Imam Shafie dalam syairnya menyatakan, ‘Jika tidak menyibukkan diri dengan kebenaran, kelak diri sibuk dengan kebatilan.’

🔥4 proses pembersihan diri🔥

Dalam hal ini, Ibnu Qayim al-Jauziyah menyatakan empat proses perlu dilalui untuk pembersihan diri dan jiwa, iaitu al-yaqadzah atau penyesalan dalam diri; al-azam (niat melakukan kebaikan); al-fikrah (fokus melakukan kebaikan) dan al-basirah (keyakinan mendapat balasan syurga atas kebaikan dan neraka ke atas kejahatan).

Proses ini disebut sebagai jihad nafsu (mujahadah an-nafs), iaitu cara membentuk jiwa bertakwa dan beradab supaya tidak pernah lupa kepada Allah SWT dalam setiap aktiviti kehidupan.

Islam menyarankan penganutnya agar menguruskan segala keperluan fizikal, mental dan nafsu sesuai dengan syariat Allah SWT. Nafsu dan syahwat perlu diurus dengan baik dan teratur mengikut lunas agama yang dibenarkan. Ini merangkumi syahwat mata, telinga, perut dan seksual yang mempunyai batas ditetapkan.

Memenuhi nafsu dan syahwat menerusi batasan ialah rahmat Allah SWT kepada hamba-Nya dan larangan yang ditetapkan bertujuan supaya manusia tidak seperti haiwan yang tidak mempunyai peraturan.

Kita perlu memiliki jiwa dan fikiran bersih serta suci supaya selalu patuh dan tunduk kepada syariat Allah SWT, beradab, bermoral serta bebas daripada kongkongan hawa nafsu yang membenci agama. Jiwa yang patuh akan sentiasa penuh dan diisi nilai suci, Islam dan juga nilai kebenaran. Oleh itu, Ramadan masa tepat untuk membina jiwa Islam dan bukan jiwa menentang nilai kerohanian.

Perlu ditegaskan pembinaan insan beradab dapat dikaitkan dengan pembersihan jiwa dan juga kualiti orang berilmu. Peluang dan ruang memperkembang serta meningkatkan ilmu ternyata amat banyak pada Ramadan kerana bulan ini mempunyai barakah tersendiri.

🔥Bersihkan jiwa, rohani🔥

Ia memang dikenali bulan mendidik jiwa, perlakuan, diri dan akhlak umat. Ulama mengingatkan kita supaya mencari ilmu, manakala untuk mendapatkan ilmu yang dapat membersihkan jiwa dan rohani, kita perlu menjauhi maksiat.

Ini seperti pesanan Imam al-Waqiq kepada Imam Shafie: ‘Ilmu tidak bersahabat dengan orang melakukan maksiat.’

Dalam Islam, ilmu mempunyai darjat amat tinggi, manakala Ramadan pula bulan amat istimewa. Oleh itu, tradisi pengukuhan ilmu perlu disemarakkan sepanjang Ramadan melalui pelbagai aktiviti seperti ceramah, diskusi dan pembacaan kitab yang memang sudah disemarakkan ulama dan pemimpin terdahulu khususnya zaman keagungan Islam.

Perkembangan ilmu serta kecintaan ilmu perlu dikembangkan, sekali gus diteruskan generasi muda kerana cabaran utama mereka adalah merosotnya kecintaan terhadap ilmu. Ini diingatkan ilmuwan tanah air, Prof Tan Sri Dr Muhammad Syed Naquib al-Attas yang menyatakan “Ketiadaan budaya ilmu bersepadu dalam tamadun hari ini mengakibatkan perluasan bencana serta kehilangan adab.

Kehilangan adab atau tiada adab menyebabkan banyak kerosakan dalam pemikiran dan akhlak manusia serta alam tabii. Dalam pemikiran dan akhlak, kejahilan atau kebebalan dan kemalasan intelektual dikaitkan (sebagai alasan) dengan pengkhususan; kedayusan moral disebut sebagai toleransi dan kesederhanaan; pembaziran dimaknakan dengan rekreasi atau mempertahankan kedudukan; korupsi akhlak dan ekonomi atau kedua-duanya sekali dimaafkan sebagai lumrah kehidupan moden; dan menjahanamkan alam sekitar disebut sebagai harga tabii kemajuan.”

Oleh Prof Kolonel Dr Burhanuddin Jalal
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/05/563053/ramadan-peluang-bersihkan-jiwa-pacu-semangat-cari-ilmu
0 Komentar untuk " Ramadan peluang bersihkan jiwa, pacu semangat cari ilmu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ