Tidak berapa lama lagi umat Islam akan mula berpuasa. Ia kewajipan setahun sekali yang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh agar memperoleh segala kemuliaan dijanjikan.
Lebih utama Muslimin berharap ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan Allah SWT. Seperti sabda Nabi SAW bermaksud “Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
Justeru, bagi mencapai hakikat puasa sebenar Muslimin diajak membetulkan niat untuk berpuasa semata-mata kerana Allah. Ini penting kerana niat bakal mencorakkan aktiviti harian yang bakal dilaksanakan sepanjang Ramadan. Malah niat yang betul akan menentukan, sama ada ibadah diterima atau sebaliknya.
Perhatikan jika ada yang salah niat berpuasa untuk menyambut hari raya. Boleh jadi sejak awal Ramadan sudah beriya-iya membuat pelbagai persiapan hari raya.
Lebih tidak molek apabila ada yang memasang nada dering lagu hari raya di telefon pintar masing-masing walaupun baharu sahaja bertemu Ramadan.
Begitu pula toko perniagaan yang mula mendendangkan lagu raya sejak hari pertama umat Islam berpuasa. Dibimbangkan golongan inilah bakal terlepas daripada meraih segala keistimewaan Ramadan yang tiada pada bulan lain.
Kemungkinan golongan ini juga termasuk mereka yang rugi apabila terpilih bertemu Ramadan, tetapi tidak beroleh apa-apa nikmat atau manfaat darinya.
Golongan ini diingatkan dengan sabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud, “ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa kecuali rasa lapar dan dahaga”. (Riwayat ibnu Majah & al-Nasaie)
Justeru, adalah lebih molek jika amalan sebegitu digantikan dengan persiapan untuk menyambut Ramadan, dengan keazaman untuk bersungguh-sungguh berpuasa dan melaksanakan segala aktiviti kebajikan.
🔥Bersihkan hati daripada hasad dengki🔥
Masyarakat Islam turut diajak untuk membuat persiapan zahir dan batin. Misalnya dengan membersihkan hati daripada sifat mazmumah dan penyakit hati yang merosakkan ibadat. Perasaan buruk seperti hasad dengki, dendam kesumat, suka membazir, pemalas dan banyak membuang masa eloklah diubah.
Gantikan ia dengan nilai mulia seperti memaafkan orang lain, berlapang dada dan merendah diri. Fikirkan bagaimana mungkin seseorang mendambakan pelbagai kurnia Ramadan sedangkan hatinya kotor dan jauh daripada cahaya petunjuk Ilahi.
Selain itu kesempatan cuti hujung minggu ini bolehlah juga dimanfaatkan untuk membersihkan kawasan sekitar dan menghias rumah bagi menyambut Ramadan. Ketika inilah digalakkan menukar langsir atau perhiasan baharu, sekadar mengikut kemampuan sesuai dengan perintah Allah SWT supaya syurga dihias, pintu syurga dibuka dan pintu neraka diperintahkan supaya ditutup.
Begitu juga semak-samun di luar rumah. Elok juga kalau dibersihkan bagi menunjukkan keterujaan bertemu Ramadan. Tak salah kiranya memasang lampu warna-warni sepanjang Ramadan agar kemeriahan bulan ditakrif lebih baik daripada 1,000 bulan ini dirasai di sana-sini.
Mungkin inilah masanya Muslimin menukar paradigma untuk memuliakan Ramadan dengan sepenuh jiwa dan raga berbanding tahun sebelum ini. Kewajipan berpuasa difardukan hanya sekali setahun, sedangkan masa untuk makan dan minum sepanjang tahun.
Malah Muslimin diajak untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan terakhir dalam diari kehidupan kerana belum tentu akan terpilih untuk merasainya pada masa mendatang.
Setiap individu Muslim turut diajak untuk menzahirkan kesyukuran sekali lagi terpilih bertemu Ramadan dengan berazam untuk mempertingkatkan kualiti puasa kepada puasa khusus dengan berusaha menjaga hati dan seluruh pancaindera.
Selain itu digalakkan Muslim juga memperbanyak kegiatan ibadah wajib dan sunat yang dilipatgandakan pahalanya. Peluang yang datang setahun sekali ini boleh diibaratkan sebagai bonus bagi umat Islam, yang mana jika dipersia-siakan tentu menyesal kemudian hari.
🔥Perbanyak infak🔥
Muslimin juga boleh memperbanyak infak harta ke jalan Allah dengan menyediakan peruntukan kewangan untuk bersedekah dan menyediakan jamuan berbuka puasa.
Sesiapa yang berbuat demikian akan dikurniakan pahala orang yang berpuasa tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya sebagaimana dijanjikan oleh Nabi Muhammad SAW.
Dalam pada itu diharapkan juga agar tiada yang mula berkira-kira bagaimana untuk mengelak daripada berpuasa.
Kalangan peniaga juga usah mengejar keuntungan sementara, sehingga sanggup menjual makanan kepada golongan ini melalui pintu belakang.
Ingatlah bagaimana pahala berpuasa tidak diketahui oleh manusia, begitu juga kata ulama balasan seksa akibat tidak berpuasa juga tidak diketahui dan dilipatgandakan oleh Allah SWT.
Sehubungan dengan itu, marilah kita bergembira dan bersyukur untuk bertemu Ramadan agar ia menjadi sebab untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri.
Jadikan Ramadan sebagai sekolah untuk mentarbiah diri, agar menjadi insan yang terpandu dengan pendidikan Ilahi sepanjang masa. Lebih diharapkan lagi semoga dikurniakan ganjaran taqwa seperti didambakan oleh semua hamba Mukminin.
Oleh Dr Mohd Ali Muhamad Don
Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang, Johor
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/04/558322/ubah-paradigma-zahir-keterujaan-sambut-ramadan
0 Komentar untuk " Ubah paradigma, zahir keterujaan sambut Ramadan "