Peraturan kecil mampu beri impak besar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peraturan kecil mampu beri impak besar


BUKAN mahu menyusahkan pengguna, sebaliknya langkah kerajaan negeri Melaka yang mahu peniaga tidak lagi memberikan penyedut minuman atau straw plastik kepada pengguna bermula Mei ini sebenarnya menuntut kita supaya berfikir sejenak impak di sebalik usaha kecil itu.

Biarpun sesetengahnya beranggapan usaha dibuat itu agak remeh dan menambahkan lagi ‘peraturan’ sedia ada, tetapi cuba kita renung sejenak lambakan plastik daripada penyedut minuman itu hingga menjadi antara penyumbang kepada sisa pepejal tidak boleh dikitar semula di pusat pelupusan sampah di seluruh negara.

Sebenarnya usaha terbaharu kerajaan negeri itu adalah kesinambungan daripada langkah menguatkuasakan larangan penggunaan bekas makanan berasaskan polisterin, beg plastik bukan biodegradasi atau tidak mudah terurai di pasar raya, restoran dan kedai makan, sejak empat tahun lalu.

Bukti Melaka begitu komited memelihara dan menyelamatkan bumi Hang Tuah dapat dilihat menerusi langkah berterusan kepemimpinan negeri dulu yang terus menjunjung slogan ‘Go Green’, ‘Don't Mess With Melaka’ termasuk melalui kepemimpinan Ketua Menteri, Adly Zahari melalui mesej bernas iaitu 'Pintar, Hijau, Bersih'.

🔥Amalan dan budaya hijau🔥

Ia juga bukan lagi suatu rahsia, malah usaha kerajaan Melaka memperkasakan amalan dan budaya hijau dalam kalangan masyarakat secara berperingkat itu turut mendapat perhatian dan ikutan negeri lain termasuk di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Malah, Melaka pernah menjadi contoh model negeri paling ke hadapan dalam pembangunan berdaya tahan, mapan dan lestari menerusi penganjuran World Urban Forum Kesembilan (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tahun lalu.

Inilah yang dikatakan, sekecil-kecil usaha mampu memberi kesan besar yang positif atau pepatah bahasa Inggeris yang sering kita dengar di halwa telinga, 'simple changes make biggest differences'.

Pengumuman kerajaan negeri untuk tidak lagi menggunakan penyedut minuman plastik dibuat EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew, pada Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14, di Seri Negeri, bulan lalu bukan hanya bertujuan mendidik masyarakat supaya tidak menggunakan bahan itu tetapi mahu pengguna menggunakan pilihan lain sebagai alternatif seperti berasaskan metal dan aluminium sebelum langkah penguatkuasaan dibuat pada masa hadapan.

Susulan itu juga, kebanyakan restoran makanan segera tumpuan orang ramai seperti McDonalds, KFC, dan Starbucks turut berganding bahu bagi menunjukkan tanda sokongan kepada usaha berterusan itu. Langkah bijak kerajaan negeri ini juga berupaya menarik perhatian golongan anak muda yang sentiasa menagih pembaharuan semasa sekali gus, mendidik mereka menjaga alam sekitar.

🔥Inisiatif kendali kitar semula🔥

Ia juga cara unik bagi mengatasi inisiatif pengendalian kitar semula sampah atau konsep 3R iaitu reduce (kurang), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula), di mana rakyat kurang memahami konsep itu apatah lagi hanya sebilangan kecil yang mengamalkannya.

Pihak Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sendiri mendedahkan laporan data pembaziran 16,688 tan makanan dilakukan rakyat negara ini setiap hari, iaitu cukup untuk memberi makan kepada seramai 12 juta orang sehari, pada tahun lalu.

Itu berkaitan makanan, bagaimana pula dengan penggunaan pembungkus, bekas makanan, dan penyedut minuman plastik tidak mesra alam? Penggunaan bahan plastik berterusan boleh mengancam keseimbangan ekosistem kerana bahan ini lazimnya sukar mereput dan mengambil masa kira-kira 500 tahun untuk proses pereputan.

Selain sukar mereput, pengeluaran, pembuangan dan proses pereputannya juga secara langsung menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang menjadi punca utama berlakunya pemanasan global.

Justeru, sudah tiba masanya kita mengorak langkah ‘merawat’ bumi dengan hanya memberi tumpuan kepada industri dan pengeluaran pembungkus atau produk mesra alam. Jika di Melaka, penyedut minuman metal dan aluminium kini menjadi sumber alternatif pengganti penyedut minuman plastik, namun, tidak salah kita meniru kebaikan seperti rakyat Thailand yang mempunyai idea lebih kreatif dan lebih semula jadi apabila menjadikan batang sayur kangkung dan daun pisang, masing-masing sebagai pengganti penyedut minuman dan pembungkus makanan.

Jadi, renung-renungkanlah.

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/556183/peraturan-kecil-mampu-beri-impak-besar
0 Komentar untuk " Peraturan kecil mampu beri impak besar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ