Transformasi pukat tunda lebih efektif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Transformasi pukat tunda lebih efektif


Pukat tunda alat penangkapan ikan yang efisien, tidak selektif tetapi sangat destruktif.

Operasi pukat tunda yang menggunakan dua papan tunda dan bergerak di dasar laut, boleh memusnahkan habitat marin termasuk batu karang, memusnahkan habitat yang mengancam sumber perikanan laut pantai dan seterusnya menjejaskan pendapatan nelayan tradisi.

Apabila pukat tunda dilabuhkan dan ditunda sepanjang dasar laut, semua yang berada di dasar laut akan diganggu dan rosak termasuk rumput laut, batu karang yang menjadi tempat persembunyian dan perlindungan ikan daripada pemangsa.

Bahkan, banyak haiwan seperti penyu, termasuk mamalia akuatik yang dilindungi undang-undang, akhirnya mati terperangkap dalam pukat tunda.

Pelbagai kajian saintifik sama ada dalam dan luar negara menyatakan keburukan pukat tunda yang merosakkan dasar laut dan menangkap ikan secara tidak selektif serta kebanyakannya mendaratkan ikan baja.

🔥Isu pencerobohan🔥

Selain itu, isu pencerobohan oleh nelayan vessel pukat tunda komersial di kawasan pantai juga sering berlaku disebabkan kawasan tangkapan yang terhad, terutamanya di Pantai Barat Semenanjung.

Senario ini sudah lama menjejaskan sumber perikanan global dan menimbulkan konflik dalam masyarakat nelayan.

🔥Operasi pukat tunda dikawal ketat🔥

Pengharaman sepenuhnya operasi pukat tunda telah dilaksanakan di Hong Kong, Indonesia, Jepun dan Palau, manakala negara seperti Thailand, Taiwan, Korea Selatan, China, Australia, Columbia, Equador dan Turki juga ke arah kawalan ketat bagi operasi pukat tunda ini.

Statistik perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan bahawa peralatan pukat tunda di semua zon ialah penyumbang utama kepada pendaratan ikan marin negara, iaitu sebanyak 46 peratus (726,400 tan) pada 2016.

Kajian Jabatan Perikanan Malaysia juga mendapati 60 peratus daripada hasil laut yang ditangkap menggunakan pukat tunda ialah ikan baja dari spesies ikan yang bernilai komersial seperti ikan merah, jenahak, kerisi, gelama, kerapu, sotong dan ketam yang jika dibiarkan membiak akan mendatangkan hasil lumayan kepada nelayan dan juga sumber perikanan bernilai tinggi.

Justeru, bagi mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang melanda industri perikanan negara, khasnya ke arah sumber perikanan yang mapan, kelangsungan hidup bagi nelayan tradisi dan juga pengusaha vessel pukat tunda, Jabatan Perikanan Malaysia mengadakan beberapa mekanisme.

Sebagai langkah awal dalam menyokong hasrat dasar pengurangan daya tangkapan operasi pukat tunda zon B menjelang 2020 secara soft landing, antara mekanisme yang sudah dijalankan ialah iaitu penggunaan saiz mata pukat keroncong pukat tunda tidak kurang daripada 38 milimeter yang berkuat kuasa pada November 2013.

Arahan ini bertujuan untuk mengurangkan tangkapan anak ikan komersial.

Selain itu, sistem pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di Pantai Barat Semenanjung yang berkuat kuasa pada Ogos 2014, mengenakan hukuman denda lebih berat kepada pengusaha vessel pukat tunda yang menceroboh kawasan perairan nelayan tradisional.

Jabatan Perikanan Malaysia juga memperkenalkan program transformasi pukat tunda sebagai satu alternatif terbaik kepada pengusaha pukat tunda beralih kepada zon penangkapan ikan yang lebih sesuai dan efektif.

Antara pendekatan itu ialah mengetatkan syarat pelesenan seperti pengusaha perlu mengusahakan vessel pukat tunda di Zon C.

Sekiranya pemilik hendak kekal di zon yang sama, peralatan perlu ditukar kepada yang lebih mesra sumber, selain daripada pukat tunda, iaitu pukat jerut atau peralatan tradisional.

Pengenalan musim tertutup bagi Zon B perlu untuk memberi ruang kepada sumber perikanan dan hidupan laut dalam proses untuk membiak dan membesar.

Musim tertutup dikenali sebagai tempoh berehat kepada ikan dengan nelayan tidak keluar ke laut untuk menangkap ikan pada tempoh tertentu.

🔥Buka peluang industri baharu🔥

Transformasi vessel pukat tunda Zon B kepada vessel komersial akan membuka peluang industri baharu, seperti industri pembuatan pukat dan pembaikan vessel.

Sekiranya, sumber perikanan negara berjaya dipulihkan dengan peningkatan pendaratan ikan komersial yang mencapai saiz dewasa dan bernilai tinggi, ia dijangka akan menyumbang kepada industri makanan berasaskan sumber laut, pemprosesan dan meningkatkan sumber bahan mentah negara.

Impak yang paling ketara apabila transformasi vessel pukat tunda Zon B iaitu dapat mengurangkan pendaratan ikan baja yang juga sumber utama untuk menghasilkan makanan ternakan kepada sektor akuakultur.

Namun, ada alternatif sumber protein lain yang boleh menggantikan ikan baja melalui usaha penyelidikan. Ini akan membuka bidang baharu kepada penyelidikan.

Jabatan Perikanan Malaysia telah membangunkan Pelan Pengurusan Perikanan untuk meningkatkan sumber perikanan negara.

Dasar transformasi pukat tundaZon B akan membantu melancarkanpelaksanaannya.

Oleh Datuk Munir Mohd Nawi
Penulis adalah Ketua Pengarah Perikanan.

https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/12/506659/transformasi-pukat-tunda-lebih-efektif
0 Komentar untuk " Transformasi pukat tunda lebih efektif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ