SEJARAH panjang kedaulatan bangsa Melayu dikatakan bermula di Palembang apabila Sang Sapurba melakukan perjanjian dengan Demang Lebar Daun di Bukit Siguntang. Perjanjian itu antara lain adalah sumpah untuk melindungi rakyat di bawah naungannya dan sama sekali berjanji untuk tidak akan berlaku zalim.
Episod sejarah ini adalah mengenai permulaan tentang konsep kedaulatan raja-raja Melayu. Hasil penaungan yang dilakukan oleh raja dan sultan maka wujudlah rakyat yang dinaungi dan dikenali mereka dengan nama orang Melayu.
Maka sekalian orang Melayu yang ada menumpahkan taat setia kepada baginda sultan dan raja di negeri masing-masing sehingga melebar luaslah wilayah dan negeri yang didiami oleh orang Melayu. Hasilnya dikenalilah tanah dan semenanjung ini dengan nama Tanah Melayu.
Maka para sejarawan mula mengatakan bahawa orang Melayu yang mempunyai sultan dan raja yang menaungi mereka itu adalah ‘tuan’ di tanah dan negara ini. Tuan bermaksud penduduk asal dan majoriti tanah ini sehingga digelar tanah, negeri dan negara ini sebagai Tanah Melayu. Dari konsep itulah maka timbul istilah ‘Ketuanan Melayu’.
Orang Melayu bukan sekadar ‘tuan’ kepada Tanah Melayu, tetapi ‘tuan’ yang membina tamadun dan peradaban di Tanah Melayu sehingga ke Nusantara berbekalkan asas bahasa Melayu, tulisan Jawi dan agama Islam.
Apabila penjajah Inggeris datang ke Tanah Melayu, sampai di satu waktu mereka membawa masuk pelombong bijih timah berketurunan Cina bekerja di lombong-lombong yang akhirnya berkembang menjadi bandar baharu. Manakala orang berketurunan India juga dibawa masuk untuk bekerja di estet-estet getah.
Masa berlalu dengan pantas, negara berjaya mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada 1957 dan penubuhan Malaysia 1963, orang Melayu yang disebut ‘tuan’ asal bagi Tanah Melayu ini bersetuju dan bermurah hati membenarkan kaum Cina dan India diberikan taraf warganegara dan berlapang dada untuk hidup bersama dalam sebuah negara dengan aman dan harmoni.
Namun bagi mengekalkan jati diri dan identiti negara ini sebagai tanah asal bagi orang Melayu yang mempunyai sultan dan raja serta negeri-negerinya, maka Perlembagaan Persekutuan yang baharu dibentuk memperuntukkan tentang hak keistimewaan orang-orang Melayu, Islam agama Persekutuan, Institusi Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu.
Kesemua ini adalah hak yang dimiliki oleh orang Melayu yang akan terus dipertahankan. Mempertahankan sesuatu yang menjadi hak kita adalah satu perkara yang wajib. Mempertahankan hak tidak bermakna kita menindas orang lain. Pun begitu, apabila kita mempertahankan perkara yang menjadi hak kita, tidak bermakna kita tidak menunaikan kewajipan kita kepada orang lain.
Menunai kewajipan kepada bangsa lain adalah perkara yang telah pun dilunaskan sejak 60 tahun lalu. Buktinya bangsa lain menikmati kesenangan, kemewahan dan keselesaan yang kadang kala melebihi bangsa ‘tuan’ di negara ini. Ini bermakna ketuanan atau tuan itu sendiri bukanlah satu konsep kekuasaan atau supremasi antara tuan dengan hamba. Tetapi tuan yang dimaksudkan adalah tuan yang menjadi pemilik asal tanah ini dari segi sejarah, peradaban, tamadun dan jati dirinya.
Dalam Surah al-Rahman, ALLAH berfirman: Dan langit telah ditinggikanNya dan Dia ciptakan keseimbangan. Agar kamu jangan merosakkan keseimbangan itu. Dan tegakkanlah keseimbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi keseimbangan itu.
Inilah asas yang menjadi pertimbangan kepada orang Melayu-Islam di Malaysia selama ini, iaitu meletakkan neraca keseimbangan itu sebagai satu teras dalam menegakkan keadilan. Fiqh al-Mizan atau memahami neraca keseimbangan dalam menetapkan sesuatu pada tempatnya yang adil adalah kunci kepada kemakmuran dan keharmonian negara sejak sekian lama.
Marilah kita sama-sama menghormati asas kenegaraan yang sedia wujud ini semoga kehidupan kita di bumi bertuah Malaysia ini lebih sejahtera dan harmoni.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia
0 Komentar untuk " Antara hak dan kewajipan "