Harap pelaksanaan ECRL lancar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Harap pelaksanaan ECRL lancar


Keputusan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membuka lembaran positif dengan penambahbaikan perjanjian menyaksikan semakan laluan diperluas ke Negeri Sembilan, selain langkah penjimatan besar diumumkan.

Perkembangan ini ternyata disambut baik. Namun, Belalang berharap tiada lagi halangan baharu muncul selepas ini, sehingga menyebabkan perjalanan projek berimpak besar ini sekali lagi terbantut.

Di sebalik impak serta manfaat projek juga, Belalang rasa kerajaan harus teliti apa akan jadi dengan projek stesen Bentong yang digugurkan dari laluan asal kerana ia sudah digerakkan separuh jalan. Mungkinkah kerajaan ada perancangan lain untuk stesen Bentong kelak?

🔥Elak isu pelantikan MB  Johor keruh🔥

Sedih sekali melihat isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Johor dijadikan alat permainan politik, sehingga mencerminkan seolah-olah hubungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan pihak istana di ambang keretakan.

Hal ini tidak patut berlaku kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor jelas dan terang menetapkan bidang kuasa Sultan, begitu juga parti serta gabungan yang memiliki undi majoriti pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam soal pelantikan menteri besar.

Belalang harap soal pelantikan ini dapat diselesaikan segera mengikut ketetapan Perlembagaan, kerana ada pihak tertentu dilihat begitu seronok bermain-main dengan isu ini. Lebih teruk ada yang memasukkan rencah sentimen peribadi serta politik, dengan niat membakar isu yang sedia hangat.

🔥Menteri bukan maksum🔥

Belalang tertarik komen Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai teguran terbuka terhadap kesilapan dan kelemahan menteri, wajar dilihat sebagai usaha memperbaiki kelemahan.

Sikap positif terima kritikan dan teguran wajar dijadikan budaya, namun ia perlulah bertujuan membina, bukan berniat meruntuhkan.

Bagi Belalang, sebagai manusia biasa pastinya jauh daripada sifat maksum, tidak terkecuali menteri dan pemerintah. Mungkin dengan terima teguran, kualiti dan perkhidmatan pemimpin bertambah baik dan peribadinya juga disenangi.

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/552818/harap-pelaksanaan-ecrl-lancar
0 Komentar untuk " Harap pelaksanaan ECRL lancar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ