Hapus stigma penjenayah terhadap penagih dadah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hapus stigma penjenayah terhadap penagih dadah


PENYALAHGUNAAN dadah ancaman amat besar kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Justeru, pelbagai kaedah dan pendekatan digunakan untuk menangani kemelut ini.

Sebelum ini pendekatan menyelesaikan masalah ini dilihat dari sudut keselamatan, namun bermula 2006 pendekatan baharu mula diperkenal dan dilihat dari sudut lebih berperikemanusiaan.

Pendekatan lebih ke arah menyantuni penagih sebagai kelompok masyarakat terpinggir dan terabai digunakan. Hakikatnya, mereka lebih memerlukan pertolongan dan sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat, serta pendekatan berlandaskan perubatan dan kesihatan.

Pendekatan ini lebih dikenali sebagai pengurangan risiko dan ia tidak bercanggah ajaran Islam. Islam mempunyai kaedah fiqhiah tersendiri iaitu jika ada dua atau lebih kemudaratan, jalan terbaik adalah memilih paling kurang darjah dan risiko kemudaratannya.

Kajian menunjukkan ketagihan dan penyalahgunaan dadah mengundang risiko seperti jangkitan dan penyakit khususnya HIV dan AIDS, hepatitis, sifilis dan lain-lain. Dadah disalahgunakan juga mendatangkan kesan penyakit lain kepada penagih seperti penyakit otak, kemurungan dan kerisauan, gila dan sebagainya.

Atas faktor ini, dua pendekatan diperkenalkan dan digunakan untuk mengurangi kesan risiko bahaya gejala berkenaan, iaitu terapi gantian metadon dan pemberian jarum suntikan secara percuma kepada penagih.

Metadon digunakan kerana ia rawatan gantian yang lebih harmoni, manakala pemberian jarum suntikan percuma sebagai langkah mengurangi perbuatan berkongsi jarum dengan penagih lain, mengelak berlaku sebarang perebakan jangkitan.

🔥Masyarakat semakin terima🔥

Gambaran situasi di sini ialah risikonya tetap ada, namun berkurang. Pendekatan ini pernah menimbulkan fenomena tentangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat pada peringkat awal diperkenal sekitar 2006.

Namun, selepas lebih 10 tahun, masyarakat semakin menerimanya sebagai pendekatan ke arah pemulihan yang lebih harmoni.

Lebih baik, hasil kajian dijalankan menunjukkan pengurangan kadar jangkitan HIV/AIDS dalam kalangan penagih yang mengaplikasi kaedah ini.

Penyalahgunaan dadah adalah bentuk ketagihan yang juga difahamkan sebagai sejenis penyakit. Berdasarkan beberapa dapatan kajian dalam konteks seperti itu, ketagihan atau penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang lain, sebenarnya memerlukan rawatan dan pemulihan secara perubatan serta kesihatan.

Besar kemungkinan keadaan harmoni seperti ini tidak terhasil selagi masyarakat menolaknya.

Satu perkara tidak dapat disangkal ialah penerimaan ini sebenarnya turut bertitik tolak dasar atau pendekatan ‘nyah jenayah’ terhadap golongan penagih. Pendekatan ini tidak menganggap, melabel atau menghukum penagih sebagai penjenayah.

Memang kemelut dadah adalah isu undang-undang dan keselamatan, kerana ada unsur jenayah di situ. Namun, banyak juga kajian mendapati permasalahan dadah bukan isu keselamatan dan undang-undang semata-mata.

Ramai penagih di bawah umur dan boleh dipersoalkan, sama ada mereka penjenayah kerana undang-undang tidak memperuntukkan hukuman itu bagi mereka yang masih di bawah umur.

Hakikatnya, pelbagai faktor dan punca seseorang individu terbabit penyalahgunaan dan ketagihan dadah. Hukuman jenayah juga bukan satu-satu jalan penyelesaian dalam kemelut ini.

Oleh yang demikian, pendekatan pengurangan risiko dalam menangani kemelut dadah mungkin tidak berhasil selagi golongan itu dilabel penjenayah. Mereka juga mungkin dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan dan sokongan jika dianggap penjenayah.

Situasi ini menggagalkan matlamat mengintegrasikan semula golongan ini dalam masyarakat dan menerima mereka sebagai sebahagian anggota masyarakat.

Usaha membanteras stigma penagih sebagai penjenayah yang ditakuti, digeruni dan tidak boleh disantuni, akan terus gagal. Inilah yang perlu dielakkan.

Usaha membantu akan berhasil apabila masyarakat tidak lagi memandang serong atau menghukum golongan ini, sebaliknya terus bersedia menerima dan membantu mereka kembali pulih dan terus menyumbang kepada kesejahteraan negara dan masyarakat.

Kita harus sedar bahawa mereka lebih memerlukan bimbingan dan bantuan, sokongan serta rawatan daripada masyarakat, bukannya hukuman.

Oleh Khairul Azhar Idris
Penulis adalah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2019/04/553136/hapus-stigma-penjenayah-terhadap-penagih-dadah
0 Komentar untuk " Hapus stigma penjenayah terhadap penagih dadah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ