SETIAP pekerjaan disertakan niat ikhlas untuk beribadat kepada Allah SWT dan dilakukan bersungguh-sungguh, mendapat ganjaran tidak ternilai dan memperoleh keredaan dan rahmat daripada Tuhan Yang Maha Pemurah.
Apatah lagi sekiranya pekerjaan itu mempunyai risiko besar dan berbahaya umpamanya anggota keselamatan serta penyelamat yang perlu melalui detik cemas hingga boleh mengancam nyawa dan keselamatan.
Mereka yang bekerjaya sebegini cukup tabah dan bersedia menghadapi apa saja cabaran dan musibah, sehingga sanggup mendahulukan kepentingan nyawa serta keselamatan insan lain.
Ia menjadikan pekerjaan dilakukan itu sangat mulia seperti kita saksikan pada tragedi enam anggota Pasukan Penyelam Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas dalam operasi mencari dan menyelamat remaja di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lalu.
Pendakwah, Dr Mohd Ashraf Suarin, berkata mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemuliaan kepada mereka kerana tugas yang dilakukan setiap hari memberikan manfaat kepada masyarakat, sekali gus menjadikan kematian itu sebagai syahid kecil.
“Apa pekerjaan sekali pun, sekiranya kita sedang bertugas dan ditimpa kemalangan hatta ia berbentuk perjalanan untuk menuntut ilmu, kematian itu disifatkan sebagai syahid kecil.
“Dengan syarat orang itu mesti beriman, bertaqwa dan berterusan dalam ketaatan kepada Allah SWT serta tidak melakukan perkara kemaksiatan.
🔥Tugas mulia🔥
“Tidak kira apa juga situasi, seperti mati ditembak untuk menyelamatkan nyawa dan keselamatan orang lain, membantu manusia dalam musibah atau bencana alam, tugasnya sangat mulia di sisi Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, pengorbanan hingga mementingkan orang lain melebihi diri sendiri berlaku kepada Sahabat Rasulullah SAW.
🔥Kisah sahabat🔥
“Antaranya kisah sahabat yang mengalami kecederaan parah di medan perang sanggup mendahulukan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri.
“Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, sahabat RA masih sempat menyuruh bekalan air yang sepatutnya diberikan kepada mereka, dihulurkan kepada rakan lain yang memerlukan sehingga mereka sendiri syahid,” katanya.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang mati syahid ada lima, iaitu mati kerana taun (wabak), menderita sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan dan mati syahid di jalan Allah SWT.” (HR Bukhari dan Muslim).
Kepada umat Islam, Mohd Ashraf berkata, kejadian itu mengingatkan kita, mati itu tidak akan menunggu walau sesaat dan setiap yang bernyawa itu pasti akan melaluinya.
“Nabi Muhammad SAW menyatakan, antara tanda menjelangnya kiamat, ialah berlaku kematian mendadak, mati mengejut dan tidak disangka-sangka,” katanya.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/10/485975/sertakan-niat-ikhlas-bersungguh-dalam-pekerjaan
0 Komentar untuk " Sertakan niat ikhlas, bersungguh dalam pekerjaan "