PERKEMBANGAN politik negara mutakhir ini disentak dengan pelbagai kenyataan daripada pemimpin DAP yang tidak senang duduk dan seolah-olah ‘risau’ dengan agenda penyatuan ummah khususnya dalam konteks UMNO dan Pas.
Agak membingungkan juga kerana yang bersatu dan berpadu ialah UMNO dan Pas, tetapi kenapa parti-parti yang lain kelihatan gelisah dan tidak senang duduk? Hakikatnya, agenda penyatuan ummah adalah suatu yang agak global dan inklusif.
Ummah bermaksud rakyat secara menyeluruh. Bahkan dalam konteks piagam Madinah dahulu, ummah atau rakyat yang disatukan meliputi semua kaum dan agama yang hidup bersama dalam sebuah negara. Kenyataan pelik dan canggung juga datang daripada seorang pemimpin DAP yang mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan dan Taliban jika UMNO dan Pas bersatu.
Secara realitinya UMNO pernah menunjangi teras kerajaan Malaysia lebih 60 tahun, tetapi tidak pula kelihatan Malaysia bercirikan Afghanistan mahupun Taliban. Malah masyarakat bukan Islam tidak dinafikan hak mereka serta menikmati kehidupan yang kadang kala lebih selesa daripada golongan Bumiputera.
Fakta sejarah juga membuktikan UMNO dan Pas pernah membentuk kerajaan campuran di Kelantan pada 1974 dan kemudiannya menyertai Barisan Nasional sehingga beberapa pimpinan Pas dilantik ke jawatan menteri Kabinet.
Namun tidak kedengaran pula cakap-cakap ketika itu bahawa Kelantan ataupun Malaysia umpama Taliban dan Afghanistan. Negeri Kelantan dan Terengganu sekarang ini diperintah oleh Pas, Pahang dan Perlis pula oleh Barisan Nasional. Tiada sedikit pun ciri Taliban atau Afghanistan. Yang ada hanyalah keseimbangan Islam yang diamalkan serta toleransi yang tinggi dalam menyantuni kepelbagaian agama dan kaum.
Malaysia telah merdeka lebih dari 60 tahun. Pastinya sejak tempoh itu banyak kekurangan yang wujud dalam merencana dan menstrukturkan dasar negara yang berbilang kaum dan agama. Kekurangan itulah yang sebenarnya boleh ditampung oleh kekuatan integriti dan jati diri yang ada dalam kalangan parti Pas.
Ertinya Pas dan UMNO tidak bergabung, tetapi saling melengkapi antara satu dengan yang lain untuk mewujudkan Malaysia yang lebih stabil dan makmur. Sepatutnya penyatuan ummah yang ditunjangi UMNO dan Pas ini tidak perlu menjadi satu kebimbangan dalam kalangan parti-parti pemerintah hari ini, tetapi menjadi satu faktor untuk mereka menoleh terus ke hadapan merangka masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Ini kerana penyatuan dua parti terbesar orang Melayu-Islam akan mengukuhkan lagi pola perpaduan antara rakyat di Malaysia. Justeru, dalam konteks demokrasi, penyatuan UMNO dan Pas juga menggambarkan satu natijah semak dan imbang yang baik bagi blok pembangkang di Parlimen.
Kerisauan dan kegelabahan mereka bagaimanapun boleh difahami dengan mudah kerana keberadaan bersama UMNO dan Pas sememangnya memberikan satu isyarat yang kurang baik kepada kedudukan demografi politik kerajaan hari ini.
Ditambah dengan keadaan parti-parti berasaskan Melayu dan Islam dalam Pakatan Harapan yang kelihatannya agak longlai dan tidak bermaya. Oleh yang demikian, kecenderungan mereka untuk terus menyerang dan memperkatakan isu-isu berkonotasi rasis dan sensitif adalah satu pilihan yang ada bagi mereka.
Namun, tanpa disedari juga keadaan seperti itu hanya menjarakkan diri mereka daripada rakyat, khususnya orang Melayu-Islam di Malaysia. UMNO dan Pas adalah umpama tiang seri kepada institusi politik pilihan raya Malaysia.
Jika kedua-dua tiang seri ini goyah, maka kedudukan negara dan rumah bernama Malaysia ini juga akan goncang kerana majoriti rakyat masih yakin dan berpaut kepada dua tiang seri politik demokrasi ini. Lebih dari itu, dua tiang seri inilah yang menggenggam kukuh zaman berzaman empat asas kenegaraan Malaysia iaitu Islam, hak keismewaan orang-orang Melayu, bahasa Melayu dan raja-raja Melayu.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
0 Komentar untuk " Penyatuan ummah tidak rasis "