LEBIH kurang jam 1.40 tengah hari waktu New Zealand (8.40 pagi waktu Malaysia), dunia dikejutkan dengan satu ‘live streaming’ yang seolah-olah sebuah rakaman ‘video game’. Namun setelah beberapa ketika, sesungguhnya ia adalah satu video terlampau yang menjadikan saudara-saudara semuslim kita sebagai mangsa kekejamannya.
Dunia bagaikan sepakat mengutuk tindakan bacul ini dengan Perdana Menteri New Zealand sendiri menyatakan kesedihan dan ketegasan untuk menegakkan keadilan dengan sebenar-benarnya. Diikuti dengan penyataan jelas oleh majoriti pemimpin-pemimpin dunia dalam kejadian ini.
Tindakan menceroboh ruangan ibadah dan menembak secara kejam kepada mereka-mereka yang sedang beribadah adalah sesuatu yang melangkaui sebarang resolusi dunia. Kejadian ini seolah-olah menafikan persetujuan ramai bahawa ruangan paling selamat untuk berlindung adalah di rumah-rumah ibadah.
Islam memerintahkan agar rumah-rumah ibadah tidak diceroboh dan dimusnahkan selari dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Haj, ayat 40 yang bermaksud: “Dan kalaulah ALLAH tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama ALLAH banyak-banyak padanya dan sesungguhnya ALLAH akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya ALLAH Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
Dasar hormat menghormati sesama manusia menjadi teras dalam memastikan keamanan dan kerukunan dalam bermasyarakat. Kerana itu UMNO dan Pas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang dak bertanggungjawab dengan mengaitkan kejadian ini sebagai natijah daripada penggabungan dua parti besar Melayu-Islam ini.
Di sini saya ingin menegaskan beberapa perkara sungguhpun saya tidak berminat untuk berpolitik dalam tragedi berdarah ini. Kerjasama UMNO dan Pas adalah bukan untuk mewujudkan ketidakstabilan suasana dengan menjadikan bangsa Melayu sebagai superior dan bangsa lain sebagai inferior.
Tujuan penggabungan adalah bagi penyatuan bangsa Melayu semata-mata dan tidak sesekali berlawanan dengan mana-mana akta, undang-undang mahupun normal insan berakal. Ungkapan ‘bersatu kita teguh bercerai kita roboh’ adalah asas dalam penyatuan ini dengan tidak ada sesiapa pun boleh menafikannya.
Mereka semestinya merasa lebih selesa dengan penyatuan ini kerana ia bakal menguatkan ummah terutama apabila kita di negara ini mengikraf rakyat berbilang bangsa. Kita semua setuju untuk Melayu sesama Melayu perlu bersatu, begitu juga Cina sesama Cina, India sesama India, Iban sesama Iban, Bidayuh sesama Bidayuh dan pelbagai lagi.
Penyatuan bagi setiap bangsa di dalam negara ini adalah bagi menguatkan ummah dan memacukan negara. Kecualilah ada dalam kalangan kita yang berkehendakkan konsep ‘pecah dan perintah’ dengan bersikap rasis agar bangsanya sahaja bersatu dan bangsa lain tidak.
Agar senang diperintah dan diperkudakan hasil daripada kegagalan bersatu. Inilah sikap rasis sebenar. UMNO/Pas tidak pernah sesekali mencemburui mana-mana bangsa untuk bersatu bahkan kita lebih meraikannya dalam mengekalkan keunikan negara ini dan keindahan hidup bermasyarakat.
Berdasarkan alasan ini, penyatuan UMNO dan Pas adalah tidak sesekali bakal menjadi punca kejadian berdarah di New Zealand untuk berlaku di sini, wal-iyazubillah. Bahkan ia bakal menjadi punca keserasian masyarakat dan kasih sayang dengan tidak hanya terhad sesama bangsa bahkan kecintaan sesama rakyat Malaysia keseluruhannya.
Jadi ayuh rakyat Malaysia keseluruhannya, tinggalkanlah sekejap ‘policking’ sempit masing-masing. Ayuh kita fokus kepada isu ini dengan neraca kemanusiaan dan kasih sayang. Kita tinggalkan segala perasaan kebencian dan kejahatan. Ayuh sesama kita menyebarkan salam dan kasih sayang kerana dengannya dunia akan aman.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
0 Komentar untuk " Menangkis tuduhan tidak bertanggungjawab "