Bina kembali persaudaraan, jauhi aliran ekstremis - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bina kembali persaudaraan, jauhi aliran ekstremis


SEBAGAI sebuah negara Islam, penerapan kepada dua hubungan, iaitu dengan pencipta, Allah SWT dan sesama manusia perlu diperkukuh secara holistik.

Jika ia tidak dipelihara dengan baik, maka bukan saja institusi negara itu akan menjadi lemah dan porak peranda, bahkan umat manusia juga akan berada dalam keadaan kesesatan.

Naib Presiden, Pertubuhan Ikram Malaysia, Burhanuddin Lukman, berkata kerajaan perlu komited bagi melaksanakan Islam yang sebenar dengan berpegang sepenuhnya kepada ajaran al-Quran dan sunnah.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada menyebut kepentingan untuk kembali kepada al-Quran dan hadis yang sahih. Ini adalah landasan yang betul untuk menjaga hubungan kita dengan Allah SWT, cuma ia perlu dilihat juga daripada aspek pelaksanaannya,” katanya.

🔥Pertaut ukhuwah sesama Islam🔥

Beliau berkata, dalam memantapkan hubungan sesama manusia, ia perlu didasari bukan saja terhadap ukhuwah sesama Islam, bahkan membabitkan rakyat Malaysia yang berbeza kepercayaan, kaum dan bangsa.

“Kerajaan perlu memainkan peranan untuk membina persaudaraan atas dasar kemanusiaan. Jadi, ada beberapa perkara yang boleh dimulakan, antaranya mempertautkan ukhuwah umat Islam yang terdedah dengan pelbagai permasalahan.

“Seperti kita dapat lihat, daripada aspek agama umpamanya, ada yang berpecah-belah kerana mempunyai aliran kefahaman yang berbeza-beza.

“Aliran ekstremisme dalam masyarakat perlu dibendung dan diperbetulkan, sama ada ekstremis secara berfikiran lama atau liberal kerana kedua-duanya cara pemikiran ini salah,” katanya.

Burhanuddin berkata, ukhuwah kelompok yang saling menuduh dan melabel sesama mereka dengan pelbagai gelaran seperti bidaah dan sesat itu wajar dipertautkan kerana sudah terlalu lama isu berkenaan terus dipanjangkan dan masih tidak selesai.

🔥Galakan politik secara sihat🔥

Beliau antaranya menyarankan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah serius supaya permasalahan dalaman umat Islam ini dapat diselesaikan secara harmoni.

“Kedua-dua bentuk ekstrim agama ini sukar dihapuskan kerana aliran pemikirannya sudah berusia ribuan tahun. Apa kita boleh buat, damaikan mereka dan beri penerangan supaya ia dapat diterima secara berlapang dada,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu politik partisan yang juga antara faktor persengketaan antara umat Islam sejak sekian lama.

“Kerajaan sewajarnya memberikan pendedahan kepada umat Islam mengenai kepentingan berpolitik secara sihat selari dengan galakan agama.

“Malangnya ada sebahagian umat Islam meniupkan politik kebencian. Ia termasuk saling berburuk sangka dan fitnah memfitnah hanya kerana berbeza parti serta pandangan,” katanya.

🔥Ikut tunjuk ajar al-Quran🔥

Berbicara lanjut, katanya, sikap tolak ansur dalam memahami perbezaan agama, budaya dan bangsa juga perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat secara sistematik.

“Saya melihat perlu ada dasar bagi mencapai hasrat ini terutama tindakan holistik perlu diambil bagi mengelakkan perkara sensitif membabitkan kaum dan agama diperbesar-besarkan.

“Ini juga adalah tunjuk ajar al-Quran seperti perintah Allah SWT dalam Surah Al-An’am ayat 108, jangan kamu kutuk atau mengeji orang yang menyeru selain dari-Nya.

“Berhala umpamanya, walaupun ia sembahan syirik, Allah SWT menegur orang beriman supaya jangan mengutuk kerana ia tidak akan membawa kepada jalan keharmonian,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, orang bukan Islam pula akan bertindak melakukan perkara sama dengan mengeji atau menghentam Islam.

Ia secara tidak langsung akan menjauhkan mereka terhadap dakwah Islamiah kerana sentimen yang mengundang kemarahan sengaja dibangkitkan.

🔥Usah tunduk kepada fahaman songsang🔥

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata sebagai negara Islam, kerajaan harus peka kepada setiap tindak-tanduk yang dilakukan.

Ini termasuk tidak sesekali tunduk kepada desakan yang boleh menggugat kesatuan umat Islam di negara ini.

Selain itu, amat wajar kerajaan tidak memberi peluang kepada fahaman songsang seperti sekular yang cuba memisahkan antara politik dan agama.

“Bagi menangani perkara ini, saya lihat kerajaan perlu lebih proaktif dalam menyalurkan ilmu, seperti istilah dalam al-Quran, ia disebut sebagai mengeluarkan masyarakat daripada kegelapan kepada cahaya.

“Serentak dengan itu, kerajaan juga perlu bertindak tegas dengan tidak memberikan sokongan kepada mereka yang cuba melakukan pemisahan terhadap ilmu Islam,” katanya.

Menurutnya, sebagai negara Islam, kefahaman masyarakat Malaysia secara menyeluruh juga perlu dilaksanakan termasuk dalam kalangan bukan Islam supaya mereka tidak terpengaruh dengan pelbagai persepsi negatif seperti Islamofobia atau takut dengan bayang-bayang Islam.

🔥Rakyat turut berperanan🔥

Roslan berkata, jentera Islam dapat diperkuat sekiranya aspirasi kerajaan berkaitan dasar Islam diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal dan terus kepada rakyat.

“Rakyat Malaysia terutama umat Islam tentunya mempunyai keinginan sama iaitu melihat perubahan positif berlaku secara menyeluruh terutama inisiatif menegakkan syiar Islam.

“Kita mengharapkan sentuhan langsung daripada kerajaan bagi menangani pelbagai permasalahan semasa, tanpa birokrasi.

“Pemimpin juga tidak boleh bersikap sebagai pemimpin eksklusif yang hadir pada program besar, sebaliknya sedia untuk mendengar luahan rakyat untuk mendekati masyarakat,” katanya.

Mekanisme mendekati rakyat ini adalah kekuatan bagi memperkukuh hubungan kerajaan dengan masyarakat, kerana sokongan sedemikian penting bagi merealisasikan agenda memartabatkan Islam.

Beliau turut melihat rakyat berperanan menjadi semak dan imbang bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan kerajaan memberikan impak positif kepada agama dan umat Islam secara menyeluruh.

Oleh Latifah Arifin

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/09/474984/bina-kembali-persaudaraan-jauhi-aliran-ekstremis
0 Komentar untuk " Bina kembali persaudaraan, jauhi aliran ekstremis "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ