Suara ulama dan agamawan yang tegas serta adil dalam membawa perkara berasaskan kebenaran terhadap Islam amat diperlukan khususnya memelihara kesucian agama.
Oleh itu, tidak salah sekiranya golongan itu menceburi pelbagai bidang termasuk politik tetapi ia tidak boleh lari daripada agama, malah merujuk kepada sumber dalam islam kerana ia tunjang dan asas dalam kehidupan dunia serta akhirat.
Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Zakaria Stapa mengakui keperluan ulama terbabit dalam politik tetapi ia mestilah mendahulukan kepentingan agama terutama mencapai hasrat melahirkan masyarakat madani.
🔥Jaga syariat agama🔥
"Jika ada ulama yang masuk dalam dunia politik, mestilah berpegang kepada prinsip keadilan, tidak bersifat menindas dan menjaga syariat agama.
"Mereka juga perlu ikhlas dalam usaha dan perjuangan politik dengan sentiasa mengambil kira tuntutan agama.
"Sekiranya perkara ini dipegang, tidak mustahil permasalahan membabitkan persengketaan atau konflik dapat dikurangkan dan dikawal dengan lebih baik," katanya.
Dalam konteks peranan ulama yang lebih menyeluruh, Zakaria berkata, golongan agamawan perlu memainkan peranan dalam kehidupan bermasyarakat kerana mereka penyambung legasi dakwah Rasulullah SAW.
"Ulama sebagai ahli masyarakat ialah warasatul anbiya, iaitu pewaris nabi. Selepas ketiadaan Rasulullah SAW mereka perlu meneruskan dakwah dan memberikan pendidikan agama yang ditinggalkan Baginda.
"Daripada aspek pendidikan, ruang lingkupnya terlalu besar bukan sekadar memastikan umat Islam di negara ini mendapat ilmu secara formal pada peringkat sekolah atau membina tahfiz saja.
"Apa yang perlu diperhebat termasuk penulisan dan menggalakkan lebih banyak majlis ilmu di surau, masjid serta institusi supaya masyarakat faham, jelas dan terbuka minda mengenai hal yang berkait dengan kebenaran ajaran Islam," katanya.
Beliau berkata, ulama hari ini perlu keluar daripada zon selesa, memandangkan keperluan untuk membantu ummah amat mendesak.
🔥Laksana tanggungjawab🔥
Katanya, ini kerana perpecahan dalam umat Islam yang berpuak-puak, bermusuhan kerana pandangan dalam agama (perkara khilafiyah) yang berbeza dan agak ketara tidak lagi menjaga silaturahim sebagai saudara seagama.
"Jika golongan agama sedar mereka pewaris nabi, maka perlu untuk menjalankan tugas menyebar kebenaran dan menyampaikan ajaran Islam secara menyeluruh.
"Mereka juga perlu menyedari ada halangan lain dalam menyampaikan dakwah, iaitu penerimaan masyarakat terhadap hal berkaitan agama.
"Ada yang nilai keislaman mereka makin malap, maka ada banyak isu yang gagal difahami termasuk enggan mendengar dan menerima, sekali gus menjadikan cabaran menyampaikan dakwah menjadi lebih besar," katanya.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/455531/ulama-perlu-tegas-suarakan-kebenaran
0 Komentar untuk " Ulama perlu tegas suarakan kebenaran "