PRK PRK DUN Semenyih akan berlangsung 2 Mac ini, sementara penamaan calon pada 16 Februari. Pada PRU14, DUN tersebut dimenangi PH, Allahyarham Bakhar Md Nor dari Bersatu yang memperolehi 23,428 undi mengatasi penyandang dari BN, Datuk Johan Abd Aziz yang memperolehi 14,464 undi. Sementara calon Pas, Mohd Shamour Moad Kosim mendapat 6,966 undi dan S Arutchelvan dari PSM mendapat 1,293 undi.
Majortii kemenangan ialah 8,964. Jumlah pengundi 53,257, manakala jumlah yang keluar mengundi 46,839 (87.90%). Undi rosak sebanyak 546. Pengundi Melayu merupakan yang terbesar iaitu 36,857 (69.2 peratus), Cina 8,939 (16.8 peratus) dan India 7,062 (13.3 peratus) dan selebihnya bangsa-bangsa lain.
🔥Antara PRK Semenyih, PRK Cameron 🔥
Antara PRK Semenyih, PRK Cameron Calon-calon utama yang dijangka bertanding di PRK Semenyih adalah dari Bersatu/PH dan UMNO/BN. Pas awal-awal lagi mengisytiharkan tidak akan bertanding kerana memberi laluan dan menyokong calon BN sepertimana yang mereka lakukan di beberapa PRK lepas termasuk di Cameron Highlands.
Pas mengharapkan kerjasama mereka dengan BN akan membawa kejayaan sepertimana yang dicapai di Cameron Highlands, Kemungkinan Kuan Chee Heng atau lebih mesra disapa sebagai Uncle Kentang dalam kalangan rakyat Malaysia akan bertanding sebagai calon Bebas.
PSM juga khabarnya akan meletakkan calon. Tetapi mereka dijangka tidak akan membawa apa-apa impak dan kesan kepada keputusan PRK Semenyih sepertimana yang telah dialami ramai calon-calon Bebas sebelum ini.
Bila kita bandingkan senario di antara Cameron Highlands dan Semenyih, kita dapati keadaannya jauh berbeza antara satu sama lain. Di Cameron Highlands, BN mempunyai banyak kelebihan. Antaranya mereka membuat pilihan bijak memilih Orang Asli Islam tempatan dan mantan pegawai kanan polis sebagai calon mereka.
Cameron Highlands juga merupakan kerusi tradisi BN sejak mula diwujudkan pada PRU11. BN juga menguasai kerajaan negeri Pahang. Datuk Seri Najib Razak masih disanjung oleh Melayu dan Orang Asli di Cameron Highlands.
Jasa bapa Najib, Tun Abdu Razak dikenang dan dihargai pengundi Cameron Highlands. Undi blok Pas juga jelas pergi kepada calon UMNO/BN. Calon PH pula dari bangsa India. Beliau tidak mampu mengatasi isu-isu perkauman dan agama yang dimainkan UMNO/BN.
Di Semenyih senarionya agak berbeza. PH memberi isyarat awal mereka akan memilih anak tempatan sebagai calon. DUN Semenyih telah dimenangi PH semasa PRU14 dengan majori kurang lebih 9, 000 undi.
Jika undi kurang lebih 7,000 diperolehi calon Pas dicampur 14,500 undi diperolehi BN, PH masih mempunyai kelebihan kurang lebih 2,000 undi. DUN Semenyih berada di bawah Parlimen Hulu Langat. Ahli Parlimennya ialah Hasanuddin Mohd Yunus, juga dari PH.
Selain DUN Semenyih, lagi satu DUN di bawah Parlimen Hulu Langat ialah Dusun Tua. DUN tersebut juga telah dimenangi PH pada PRU14. Pada PRU13, Parlimen Hulu Langat dimenangi Pas, DUN Semenyih BN dan DUN Dusun Tua dimenangi Pas.
Kerajaan Selangor pula dikuasai PH sejak tiga penggal. Semenyih adalah kawasan separa bandar dan dengan prol pengundi yang lebih berpelajaran. Maknanya pengundi Semenyih lebih peka dengan isu-isu semasa politik berbanding pengundi Cameron Highlands.
Kelainan senario ini bukan sahaja akan menimbulkan dinamik politik berbeza bahkan ikut mempengaruhi sikap pengundi dan keputusan PRK nanti.
🔥Isu-isu semasa🔥
Isu-isu semasa Bagi pengundi DUN Semenyih, keadaan dan tahap kemajuan pembangunan ekonomi akan menjadi perhitungan utama dalam menentukan sokongan mereka kepada parti-parti bertanding.
Daripada perbualan awal penulis dengan penduduk-penduduk tempatan, mereka berpuas hati usaha kerajaan negeri untuk menjana pembangunan ekonomi tempatan. Kata mereka pemimpin PH tempatan, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat memberi penekanan kepada penyediaan kemudahan-kemudahan asas kepada penduduk.
Isu-isu semasa yang sering menjadi tajuk perbincangan akan sekali lagi menjadi bahan debat yang hangat di Semenyih seperti mana berlakunya di Cameron Highlands. Ini termasuk keadaan ekonomi semasa yang lembab dan kos sara hidup tinggi, isu kaum dan agama khususnya ancaman kepada politik ketuanan Melayu, prestasi PH, perbalahan sesama sendiri dalam PH, menteri-menteri Kabinet yang kurang menyakinkan, usaha UMNO dan Pas untuk memperkasa parti masing-masing dan kerjasama di antara mereka, keberhasilan kerjasama UMNO dan Pas di Cameron Highlands dan sebagainya.
🔥Isu-isu hangat Pas, UMNO dan Bersatu 🔥
Isu-isu hangat Pas, UMNO dan Bersatu UMNO masih dihantui oleh isu integriti dan masalah kredibiliti legasi peninggalan kerajaan Najib dan konco-konconya. Ramai pemimpin negeri dan tempatan ikut terpalit dengan politik toksik kerajaan lama melibatkan salah laku, politik wang dan sebagainya.
Masih terlalu awal untuk BN mengharapkan rakyat melupakan atau memaafkan mereka di atas kesalahan dan dosa-dosa tersebut. Perbicaraan kes Najib akan menjadi igauan dan tamparan kuat kepada BN kerana pasti akan membuat pengundi mengingati kembali tentang kisah-kisah menjengkelkan berhubung skandal 1MDB dan SRC Internaonal.
Pas pula sedang lemas dengan isu dana RM90 juta yang dikatakan telah disumbangkan UMNO. Keputusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman fitnah ke atas Clare Rewcastle-Brown membuat ramai orang memandang serong kepada parti itu dan mendorong mereka membuat rumusan Abdul Hadi seolah-olah memperakui tuduhan yang disiarkan di Sarawak Report.
Rewcastle-Brown menyatakan bahawa beliau masih berpegang teguh dengan tuduhan dan dakwaannya. Malah artikel asal beliau masih kekal di laman sesawang Sarawak Report. Malah rakyat telah ditayangkan dengan satu video Abdul Hadi menyebut dalam satu sesi dialog bahawa jika beliau menarik balik saman tnah ke atas Rewcastle-Brown, ertinya tuduhan tersebut adalah benar.
Satu video audio lain juga ikut ditularkan kononya Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh telah memperakui Pas menerima wang sumbangan dari UMNO. Ikut ditularkan di media sosial ialah slip bank-in kononnya orang pertengahan UMNO telah memasukkan wang RM2.5 juta kepada Pas dan juga dokumen mahkamah yang mendakwa dan menamakan beberapa pemimpin kanan Pas yang hidup dengan mewah sekali sekarang ini.
Semua ini membuat kredibiliti serta integriti Pas tercalar teruk sekali kerana selama ini mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Rewcastle-Brown, Husam Musa, Mahfuz Omar dan Rafizi Ramli.
Episod ini dijangka akan membawa kesan kepada penyokong biasa Pas yang kurang fanatik dengan parti dan pemimpin mereka. PH juga tidak lepas daripada terjebak masalah integriti apabila beberapa pemimpin mereka telah dituduh memberi fakta palsu atau yang mengelirukan tentang kelayakan akademik mereka.
Setiausaha Bersatu, Marzuki Yahya; Menteri Besar Johor, Datuk Omar Sapian; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin antara pemimpin PH yang dikatakan terpalit masalah kelayakan akademik masing-masing.
Persoalan yang ditimbulkan oleh orang ramai ialah tentang ketelusan dan integriti pemimpin. Bukan masalah pemimpin ada kelayakan akademik atau tidak. Kerana umum dapat menerima seadanya pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi dan mereka mampu menjadi pemimpin baik dan berkesan.
Kita tidak seharusnya terlalu cepat menjatuhkan hukuman ke atas pihak-pihak terlibat. Kita harus memberi peluang kepada mereka untuk membuat penjelasan lanjut tentangnya. Lagipun perlu kita ambil ingat masalah yang berbangkit bukanlah merupakan satu jenayah tetapi paling banyak ianya bersabit isu moral dan prinsip.
Masalah ini juga telah wujud di zaman kerajaan lepas. Rakyat berhak memandang serius soal ketelusan dan integriti pemimpin. Dalam masa yang sama, kita sedar ada banyak lagi masalah lain yang jauh lebih serius dari isu ini.
Kita lihat bagaimana pucuk kepimpinan parti mengguna kebijaksanaan dan budi bicara mereka menangani dan menyelesai masalah ini. Parti komponen PH yang terbesar, PKR juga sedang bergelora dengan pergeseran di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama penyokongnya.
Ini semua menimbulkan tanda tanya kepada rakyat, memeningkan kepala mereka dan membuat mereka lemas dengan hala tuju parti.
🔥Meramal keputusan🔥
Meramal keputusan Keputusan PRK Semenyih dikira akan membawa impak dan memberi kesan yang besar kepada PH, BN dan Pas. Jika PH kalah ianya akan memberi petanda yang buruk kepada masa depan mereka sebagai sebuah gagasan dan kerajaan negeri dan juga Kerajaan Pusat.
Ianya akan membawa erti bahawa selepas PRU14, rakyat sudah mula hilang kepercayaan dan keyakinan kepada mereka. Perjalanan PH seterusnya sehingga PRU15 pastinya akan lebih mencabar dengan penyudahan yang mungkin akan mengecewakan mereka.
Jika gabungan BN/Pas tewas, maka ianya akan membawa makna rakyat jelata tetap menyokong PH dan tidak ada banyak perbezaan dalam sikap mereka dari PRU14 sehingga sekarang. Ertinya kredibili BN dan Pas masih belum pulih serta kerjasama di antara kedua parti itu masih belum dapat diterima oleh pengundi di Pantai Barat.
Mengikut bancian awal di Semenyih, PH mempunyai kelebihan. Perhitungan awal menunjukkan PH mampu meraih kemenangan walaupun dengan majoriti yang nipis. Namun masa masih ada untuk parti yang bertanding untuk memperkukuhkan kedudukan masing-masing. Sama-sama kita ikuti perkembangan seterusnya
0 Komentar untuk " PRK Semenyih mencabar PH, BN "