PENGUNDI komuniti India adalah amat penting dalam politik Malaysia. Walaupun bilangan mereka kecil tetapi mampu memberi implikasi ke atas kemenangan mana-mana calon dalam setiap PRK mahupun PRU.
Terdapat beberapa pola pengundian komuniti India sejak tahun 2008 hinggalah PRU14 lalu. Boleh dikatakan pola pengundian komuni India dibahagikan kepada tiga. Ketiga-tiga pola ini merujuk kepada negeri-negeri yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai yang mampu menentukan kemenangan calon dan sesebuah parti yang bertanding.
Pola pertama pengundian meliputi negeri-negeri yang mengalami perubahan seperingkat seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. Perubahan seperingkat ini berlaku disebabkan proses sosialisasi politik dengan komuni Cina.
Sebahagian besar komuniti India tinggal di kawasan bandar dan bekerja di sektor swasta atau sendiri. Ramai daripada komuniti India ini mempunyai persamaan pemikiran politik dengan komuniti Cina.
Maka, perubahan undi Cina turut menentukan perubahan undi India di negeri-negeri tersebut.
Pola kedua, pengundian meliputi negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Pola kedua pengundian ini mengalami perubahan dua peringkat akibat proses sosialisasi politik dengan komuniti Cina dan Melayu. Sebahagian besar komuniti India di negeri-negeri ini ada yang bekerja dalam sektor awam dan swasta.
Proses sosialisasi komuniti India dengan Melayu telah membentuk satu proses sosialisasi yang bergantung kepada sentimen dan emosi atau mood pengundian. Manakala proses sosialisasi politik dengan komuniti Cina telah menyebabkan satu persamaan trend iaitu undi Cina adalah sama dengan undi India.
Ini bermakna pandangan dan persepsi politik dikongsi bersama antara kedua-dua komuniti tersebut. Mahu tidak mahu mana-mana pemimpin politik dari mana-mana parti perlu memahami persepsi dan pandangan politik komuniti Cina sebelum dapat memahami persepsi dan pandangan politik komuniti India. Proses ini telah lama berlaku tanpa disedari MIC.
Pola ketiga pengundian adalah meliputi negeri-negeri Johor, Pahang dan sebahagian kecil kawasan Perak. Tiga peringkat perubahan ini merujuk kepada proses sosialisasi politik dengan komuniti Cina, Melayu dan India.
Maksud proses sosialisasi politik ini adalah antara komuni India yang tinggal di bandar dengan kawasan ladang atau kampung. Sosialisasi politik sesama komuniti India melihat kepada beberapa persoalan yang berkaitan dengan hak legimasi dan kepenngan komuniti India di negara ini.
Antaranya bantuan kerajaan ke atas komuniti India dalam membangunkan sosioekonomi mereka, kelangsungan hidup sekolah jenis kebangsaan Tamil, agama dan budaya India di negara ini. Isu lokaliti akan dilihat dalam konteks nasional.
Proses sosialisasi politik komuniti India dengan komuniti Melayu dalam pola pengundian ketiga di negeri-negeri tersebut tidak sama dengan pola pengundian pertama dan kedua. Pandangan dan persepsi komuniti India yang bersosialisasi dengan komuniti Melayu telah menerima sebahagian elemen politik Melayu.
Penerimaan komuniti India ke atas politik Melayu seperti agenda negara kebajikan yang dibawa oleh Pas, ketuanan kaum yang dibawa UMNO dan penerimaan budaya politik Melayu. Manakala proses sosialisasi polik komuniti India dengan komuniti Cina di negeri-negeri ini turut berbeza dengan pola pengundian pertama dan kedua.
Perbezaan ini disebabkan keselarian pandangan dan persepsi politik Cina tidak mencerminkan 100% pandangan dan persepsi politik Cina. Masih terdapat elemen legimasi India yang masih dipertahankan walaupun bersetuju dengan pandangan dan persepsi politik Cina.
Ini menyebabkan berlaku perubahan yang agak perlahan dan perlu diyakinkan. Apa yang berlaku dalam PRU 2018 adalah perubahan keyakinan komuniti India untuk menukar kerajaan setelah melihat kedua-dua iaitu komuniti Melayu dan Cina turut berubah, khususnya di Johor.
Terdapat beberapa aspek yang menjadi penentu dalam pengundian bagi komuniti India. Iaitu aspek latar belakang dan kedudukan kehormatan. Tetapi aspek pengaruh rakan juga memainkan peranan penting.
Contohnya pola pengundian komuniti India di PRK Cameron Highlands. Ini amat menarik kerana pertama kali pengundi India memilih seorang calon bukan India dalam kawasan mantan Parlimen kepunyaan MIC.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan
0 Komentar untuk " Pola pengundian komuniti India "