RAMAI juga yang sudah mengulas tentang kekalahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands baru-baru ini. Dan banyak juga cadangan yang telah diberi. Bukan apa, supaya Pakatan Harapan dapat bermuhasabah diri pula.
Untuk kuatkan lagi jentera semasa pilihan raya seterusnya. Antara cadangan yang diberi ialah supaya lebih mendekatkan diri kepada rakyat, memahami masalah sebenar rakyat dan juga perlu melihat kembali atau mengenal pasti punca kekalahan sebenarnya.
Pendapat saya tidak perlulah membuat analisis tentang punca kekalahan itu. Tidak perlu. Kata orang-orang tua, barang yang lepas jangan dikenang. Maksud saya jangan dikenang perkara lepas yang tidak bagus.
Justeru PH perlulah membuat analisis bagaimana mereka boleh menang semasa PRU14 dahulu. Ini sepatutnya menjadi keutamaan. Tun juga ada berkata bahawa kemenangan PRU14 dahulu adalah disebabkan memperjuangkan integriti dan juga ketelusan dalam pemerintahan.
Ini pun antara jejak kemenangan yang perlu dibuat analisis juga. Sekarang pun Tun memperkenalkan NACP pula, untuk menjadikan Malaysia bebas korupsi. Tidak kira siapa sahaja akan tertakluk pada undang-undang ini.
Itu bagus. Tapi belum cukup kuat lagi. Maka sukalah saya berkongsi petua pula, bagaimana untuk menang pilihan raya selain apa yang dicadangkan oleh orang lain itu. Iaitu dengan kembali kepada kenangan ketika PH menjadi pembangkang sebelum PRU14, seterusnya memenangi pilihan raya untuk menjadi kerajaan.
Apa yang PH buat pada ketika itu? Jawapannya adalah berjanji. PH banyak menabur janji. Jika kita baca manifesto PH pula, janji-janji yang telah ditaburkan sebelum pilihan raya itu, antaranya ialah janji menghapuskan tol, menghapuskan PTPTN atau bayar PTPTN selepas gaji mencecah RM4,000, peluang pekerjaan, gaji minimum dan juga menurunkan harga minyak.
Kalau kita lihat janji-janji ini sebenarnya, ia melibatkan rakyat secara langsung. Rakyat yang seronok dengan janji itu menjadi faktor utama kepada kejatuhan kerajaan BN pada masa itu.
Oleh itu untuk PRK Semenyih ini, PH perlu lebih kuat lagi berkempen menabur janji. Kalau boleh apa yang ada dalam manifesto itu, dinaik taraf. Antara cadangan saya juga ialah, hapuskan cukai jalan serta-merta, biasiswa untuk semua pelajar serta-merta, gaji minimum RM4,000 serta-merta dan minyak percuma serta-merta juga.
Oh, perlu juga menabur janji untuk menaikkan bantuan sara hidup dan rumah pertama percuma serta-merta juga. Baru mantap! Ini sangat penng untuk memujuk hati rakyat sekali lagi, sekali gus menang PRK Semenyih nanti.
Bak kata peribahasa lama lagi, indah khabar dari rupa. Inilah konsep kempen yang perlu diterapkan. Ini yang dilakukan semasa PRU14 itu sehingga berjaya menjadi kerajaan. Saya yakin PH akan menang jika menggunakan petua ini.
Baru-baru ini pun saya ada pergi ke seminar bagaimana hendak menjual buku. Kata guru yang memberi seminar itu, padang sudah berubah. Kita tidak boleh lagi menggunakan cara lama untuk mendapatkan hasil. Kita perlu menggunakan cara yang baharu pula. Iaitu, kita perlu menjadi seorang yang popular di media sosial.
Kita menjual buku kepada peminat atau pengikut yang suka dengan kita sahaja. Tidak perlu lagi poster atau sepanduk. Membazir duit. Ikut sahaja contoh yang digunakan oleh Mantan Perdana Menteri. Beliau pun sekarang semakin popular dengan tema "Malu Apa Bossku".
Sebenarnya cara yang digunakan oleh mantan PM ini sama sahaja seperti cara yang pernah dibuat oleh Tun M sebelum menjadi PM dahulu. Tun M pun dahulu banyak menggunakan media sosial juga dengan hantaran untuk mencetuskan emosi ketika itu.
Cetusan emosi ini adalah suatu perkara penting untuk dijadikan senjata sepanjang berkempen. Cubalah tengok hantaran Datuk Najib dalam Facebook sekarang sebagai rujukan. Sekali lagi, suka saya tegaskan di sini, secara ringkasnya, pendekatan yang perlu diambil untuk memenangi PRK Semenyih, adalah seperti berikut.
Yang pertama perlu menaik taraf manifesto dengan menabur janji-janji yang lebih manis dan yang kedua menggunakan media sosial sebagai kempen memenangi hati rakyat dengan hantaran menyentuh jiwa.
Perlu dilihat juga, iaitu kata kunci yang menyebabkan rakyat akan memilih PH ialah "Rakyat dan Janji". Setelah itu jika PH memenangi PRK Semenyih ini, saya akan menulis petua seterusnya pula, iaitu petua memberi alasan jitu jika dak dapat memenuhi janji-janji manis itu pula. Petua yang sangat berkuasa juga.
* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.
Untuk bersara, email beliau : mrfaismuhamad@gmail.com
0 Komentar untuk " Petua menang PRK Semenyih "