KUALA LUMPUR: Akta Kebencian Agama dan Kaum yang dicadangkan oleh kerajaan, tidak boleh sehingga mengehadkan perbincangan perbandingan agama secara ilmiah khususnya dalam meningkatkan kefahaman umat Islam.
Ahli akademik dalam pengajian Islam juga khuatir sekiranya ia membawa kepada fahaman liberalisme dan pluralisme, selain bimbang dimanipulasi hingga pihak yang membincangkannya secara ilmiah didakwa atas tuduhan jenayah.
Bagaimanapun, mereka mengakui wujud keperluannya untuk mengelak penghinaan terhadap agama dan menjaga keharmonian di negara ini, selain mengatasi Islamophobia.
Pensyarah Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Wan Adli Wan Rahim, berkata perbincangan ilmiah sebegini sememangnya penting kepada umat Islam untuk meningkatkan kefahaman terhadap agama, sekali gus mengelak daripada terpesong akidah.
Katanya, kerajaan perlu menilai secara keseluruhan berkaitan cadangan akta itu sebelum mengambil langkah akhir dengan mewujudkan akta khusus yang dilihat terlalu drastik.
"Setakat ini, masih belum ada lagi kandungan akta terbabit. Jadi susah untuk kita mengetahui bagaimana bentuk pelaksanaan akta ini nanti.
"Namun jangan sampai akta ini nanti menyekat atau mengehadkan perbincangan berbentuk ilmiah berkaitan agama lain, seperti kepercayaan triniti dan Hindu yang sememangnya bertentangan konsep ketuhanan dalam Islam.
🔥Soal akidah🔥
"Malah ada juga kebimbangan sekiranya akta yang dicadangkan akan menjadikan Islam diletakkan sama dengan agama lain. Sekiranya berlaku, sebagai Muslim kita perlu menolaknya kerana bersabit dengan soal akidah," katanya kepada BH di sini, semalam.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada sidang Parlimen berkata, kerajaan akan memperkenalkan Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi menyekat budaya mencaci dan memaki agama yang ada di negara ini.
Akta itu bagi melindungi semua agama di negara ini dan dengan adanya akta khusus itu, tindakan boleh diambil kepada sesiapa saja yang mencaci atau memaki Islam dan semua agama yang ada di negara.
Akta Kebencian Agama dan Kaum adalah antara tiga akta baharu yang akan digubal kerajaan bagi memperkasa usaha membendung polemik berkaitan agama dan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.
Dua lagi undang-undang ialah Akta Anti Diskriminasi dan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian. Tiga akta berkenaan sepatutnya dibentang pada 2004 tetapi ditangguhkan.
Dr Wan Adli berkata, sekiranya akta terbabit dirangka bertujuan untuk mengelak cemuhan agama dan juga menjaga keharmonian dalam kaum yang berbilang bangsa di negara ini, ia disifatkan sebagai keperluan.
"Mungkin dengan adanya akta ini dapat mengelak wujudnya Islamophobia yang sememangnya berlaku walaupun konsep ini banyak diperkatakan di Barat. Namun, dalam konteks tanah air, akta ini mungkin boleh mewujudkan toleransi dan mengelakkan perpecahan kaum," katanya.
🔥Buat pertimbangan wajar🔥
Sementara itu, Pensyarah Pusat Akidah dan Keamanan Global (PAKeG), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Haslan Khairuddin, berharap kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira bukan saja kebaikan, bahkan keburukannya.
"Kita nampak ada asas kepada liberalisme hingga bimbang jika ia sampai kepada tahap semua peringkat, termasuk universiti.
"Boleh dikatakan semua universiti mempunyai Fakulti Pengajian Islam, jadi janganlah sampai ia turut dipersoalkan.
"Janganlah ia memberikan impak negatif sehingga inginkan kesamarataan kepada semua agama sehingga keistimewaan Islam terkesan," katanya.
Beliau berkata, ilmu perbandingan agama juga tidak wajar ditinggalkan hanya kerana ingin menjaga sensitiviti agama lain.
"Kita lihat bagaimana penerimaan orang terhadap penceramah bebas, Dr Zakir Naik yang tidak mencerca dengan kata hinaan.
"Tidak ada agama yang mengiktiraf kewujudan agama lain, kecuali Islam, tetapi pada masa sama menegaskan ia satu-satunya agama diredai Alah SWT.
"Jika kita lihat kitab suci semua agama, tidak ada yang menyebut agama lain kecuali Islam," katanya.
Wan Haslan memetik surah al-Haj, ayat 17 yang menyebut ada enam jenis anutan, iaitu orang beriman, Yahudi, Kristian, kelompok penyembah patung, Majusi dan golongan mensyirikkan Allah SWT.
Beliau berkata, kerangka asas dan tujuan Akta Kebencian Agama dan Kaum yang dicadangkan baik, bahkan selari dengan tuntutan Islam yang menyeru supaya tidak saling bermusuhan antara penganut berlainan agama.
"Al-Quran sendiri menyebut, jangan mengeji agama lain supaya mereka juga tidak menghina agama kita, tetapi di negara ini, majoriti penduduk beragama Islam dan kita sendiri ada peruntukan khas dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Justeru, katanya, adalah menjadi keperluan supaya persoalan hak umat Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan dibawa dalam bentuk wacana supaya dapat difahami semua pihak khususnya daripada anutan agama berbeza.
🔥Isu penggunaan istilah🔥
Bagi Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow pula berkata, akta khusus seperti dicadangkan belum tentu dapat menghalang penggunaan konsep dalam fiqh, seperti kafir harbi, kafir zimmi dan istilah lain yang merujuk kepada bukan Muslim.
Katanya, isu penggunaan istilah itu sudah meluas dalam kalangan masyarakat dalam negara kita.
"Sekiranya akta khusus dilaksanakan, bagaimana hendak menguatkuasanya?
"Konsep fiqh sudah lama digunakan bukan sahaja di negara kita, bahkan di negara Islam lain," katanya.
Dr Muzaffar Syah turut melahirkan kekhuatiran skop yang bakal digunakan dalam akta itu terlalu ketat, sekali gus menyebabkan sesetengah perkara dibicarakan secara ilmiah akan dimanipulasikan sebagai jenayah yang akhirnya boleh didakwa di bawah cadangan akta berkenaan.
Oleh Latifah Arifin dan Mohd Aizat Shamsuddin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/453932/jangan-had-bincang-perbandingan-agama
0 Komentar untuk " 'Jangan had bincang perbandingan agama' "