Hukum hadiri majlis makan bukan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hukum hadiri majlis makan bukan Islam


S:Sekiranya saya menerima jemputan menghadiri majlis makan dianjurkan oleh kenalan bukan beragama Islam, adakah boleh saya memakan makanan dihidangkan walaupun makanan itu halal sedangkan cara penyediaannya diragui?

J: Menghadiri majlis makan yang dianjurkan sahabat bukan Islam adalah harus (dibolehkan). Begitu juga memakan hidangan yang disediakan oleh bukan Islam sekiranya kehalalannya diyakini. Jika didapati sebaliknya (makanan itu didapati haram), maka hukum memakan makanan itu adalah haram sama sekali.

Mencari yang halal itu wajib. Namun, ia tidak bererti seseorang itu terlalu berhati-hati sehingga menyebabkan kepada was-was dan menyukarkan kehidupannya. Atas dasar itu Islam tidak membenarkan kita menyelidik sehingga menyebabkan kesulitan yang terlampau kepada umat Islam.

Justeru, semua jenis makanan yang kita lihat dengan mata kasar atau mendengar sendiri perakuan ikhlas daripada tuan punya majlis (walaupun bukan beragama Islam) bahawa makanan dihidangkan itu halal dimakan oleh umat Islam, maka hukum memakannya halal dan tidak perlu diragui akan kesuciannya.

Pernah suatu ketika, Aisyah RA dihadiahkan kepada keluarganya daging haiwan yang sudah disembelih. Masalahnya orang yang menghadiahkan itu baru sahaja memeluk Islam. Ragu-ragu terhadap daging itu, Aisyah bertanyakan hal berkenaan kepada Nabi Muhammad SAW. Lantas Baginda menjawab: "Sebutlah nama Allah SWT pada daging itu dan makanlah."

Daripada hadis ini, ulama berpendapat Nabi Muhammad SAW seakan-akan melarang Aisyah daripada terus bertanyakan dan risau terhadap hal itu. Bahkan Baginda juga tidak bersungguh-sungguh menanyakan hal terbabit kepada Aisyah. Apatah lagi bertanyakan hal demikian kepada pemilik asal kepada daging berkenaan.

S:Saya ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) surat berantai yang pada amnya mengajak kita bertakwa kepada Allah SWT, tetapi di akhir surat itu ada diceritakan berkenaan kisah orang yang mendapat bala kerana tidak menyebarkan 20 salinan kepada orang lain. Apa pandangan ustaz?

J: Mengajak orang agar mengingati Allah ialah amalan yang sangat terpuji sama ada melalui percakapan atau penulisan. Selain itu, setiap perbuatan yang dilakukan atas tujuan itu juga akan mendapat pahala yang cukup lumayan sehingga menyebabkan dia termasuk golongan ahli syurga yang dijanjikan Allah SWT untuk pendakwah. Namun, sayangnya, perkara ini disalah erti oleh sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menjanjikan sesuatu milik Allah SWT. Antaranya menjanjikan bala atau neraka untuk golongan yang tidak mahu turut serta berdakwah melalui penyebaran SMS berantai yang semakin berleluasa kini.

Tidak dinafikan juga, penulis SMS seperti itu berdosa besar kerana menjanjikan sesuatu yang bukan miliknya bahkan ia hanya milik Allah SWT. Mana mungkin seorang manusia boleh menjanjikan bala, dosa, pahala atau nikmat kepada orang lain? Sedang semua perkara itu hanya milik mutlak Allah SWT.

Justeru, saya menasihati pembaca agar mengabaikan arahan yang terdapat pada SMS berantai itu. Anggaplah ia dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab dalam urusan agama.

Ingatlah, sesungguhnya dosa, pahala, bala, azab dan nikmat semuanya milik mutlak bagi Allah SWT.

S:Apakah perkara yang patut dilakukan oleh seorang anak sekira bapanya yang berusia hampir mencecah 60 tahun, tetapi malas untuk melakukan suruhan Allah seperti mengerjakan solat dan puasa. Apakah keupayaan seorang anak apabila menghadapi situasi sebegini selain memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya dibukakan pintu hati bapanya?

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya menjangkau umur tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'Hah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)." (Al-Isra': 23)

Ayat ini secara jelas mengharamkan anak berkelakuan kasar dan biadab terhadap kedua-dua ibu bapa mereka walaupun mereka berlainan agama serta cara hidup dan fasik.

Begitu juga hal sekiranya mereka tidak solat dan seumpamanya. Sekiranya hal seperti ini berlaku ke atas ibu bapa sebahagian umat Islam, maka anak wajib menasihati mereka secara berterusan tanpa berputus asa.

Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk membenarkan anak bersikap kurang ajar, kasar dan seumpamanya terhadap ibu bapa mereka. Bahkan sifat hormat-menghormati perlu ditingkatkan, selain mendekati mereka untuk berdakwah secara berhikmah.

Insya-Allah dengan usaha berterusan, ibu bapa yang lalai akan mendapat hidayah dan kembali ke pangkal jalan.

Oleh itu Allah SWT mendidik Nabi Muhammad SAW agar sentiasa berdakwah secara hikmah. Seperti firman Allah: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat, kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." (Al-Nahl: 125)

Oleh Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/07/449200/hukum-hadiri-majlis-makan-bukan-islam
0 Komentar untuk " Hukum hadiri majlis makan bukan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ