Islam lindungi hak semua tak kira agama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Islam lindungi hak semua tak kira agama


Segala bentuk keganasan dalam undang-undang jenayah Islam dipanggil hirabah. Banyak jenayah yang boleh dikategorikan dalam jenayah hirabah seperti merogol, meragut, kegiatan melanun, menyamun, menculik, perdagangan manusia, merampas kapal terbang atau melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang ramai.

Sifat paling penting dalam jenayah hirabah ialah membuat orang ramai takut, trauma dan menjadi berhati-hati menjalani kehidupan seharian selepas insiden berlaku.

Hukuman orang yang melakukan hirabah (muharib) di dalam undang-undang Islam bukan hanya tertakluk kepada orang Islam tetapi juga kepada orang bukan Islam.

Dengan kata lain, jika muharib adalah bukan Islam, mereka juga tertakluk kepada hukuman Islam.

Ini disebabkan objektif pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ialah melindungi setiap individu dalam sesebuah negara sama ada orang Islam atau pun bukan.

Sama juga dengan mangsa hirabah, tidak kira orang Islam atau bukan Islam, mereka tetap dilindungi undang-undang Islam.

Hukuman Islam muharib adalah pelbagai mengikut jenis perbuatan jenayah ke atas mangsa. Antara hukuman yang termaktub dalam al-Quran surah al Maidah ayat 33 ialah disalib, dibunuh, dipotong tangan dan kaki dan dibuang daerah (penjara).

Fuqaha juga berpendapat hukuman takzir dan bayaran diat (pampasan) juga boleh dikenakan ke atas muharib dalam kes tertentu seperti sekadar menakutkan mangsa atau mencederakan anggota badan mangsa.

🔥Impak keganasan cetus ketakutan orang ramai🔥

Insiden tembakan rambang di Las Vegas tempoh hari kepada orang ramai adalah satu bentuk keganasan yang boleh membawa kepada hukuman mati. Impak daripada insiden tersebut ialah orang ramai merasa takut untuk ke tempat sedemikian atau pun ke Las Vegas.

Ada sedikit perasaan cuak apabila lalu atau pergi ke tempat sedemikian. Sama juga insiden pada 1995 apabila bangunan Alfred P Murrah di Oklahoma City dibom rakyat Amerika sendiri, Timothy McVeigh, menyebabkan 168 orang mati.

Dua contoh tragedi itu adalah satu bentuk jenayah hirabah. Sebenarnya apabila insiden berdarah ini berlaku ada segelintir rakyat Amerika yang skeptikal dan merasakan ia dilakukan orang Islam dan dikaitkan dengan keganasan.

Bagaimana pun jika muharib itu bukan Islam, perbuatan itu tidak dikenali sebagai terorisme, tetapi sebagai satu bentuk jenayah sahaja.

Maksud hirabah dan muharib dalam undang-undang Islam tidak melihat kepada agama seseorang itu tetapi melihat kepada perbuatan sama ada mendatangkan rasa takut dan trauma kepada mangsa dan masyarakat.

Kurang tepat dan tidak adil untuk beri definisi sesuatu jenayah dengan melihat kepada agama penjenayah sebagai satu syarat.

Mengikut Prof Sherman Jackson istilah terrorisme mengikut undang-undang Amerika hanya wujud pada akhir 1960an. Keganasan menurut kamus Amerika adalah satu bentuk perbuatan menyalahi undang-undang yang penjenayah menggunakan paksaan atau keganasan ke atas mangsa atau harta benda mangsa serta untuk menakutkan kerajaan dan orang ramai bertujuan mencapai tujuan politik mereka.

🔥Lindungi mangsa tidak kira darjat, agama dan kaum🔥

Ini berlainan dengan konsep jenayah hirabah dalam Islam yang mana tujuan atau niat muharib ialah untuk mendapat harta benda atau pun merosak maruah diri mangsa.

Undang-undang Islam yang wujud lebih 1400 tahun dahulu terdahulu mendefinisikan maksud jenayah hirabah tanpa melihat kepada tujuan politik, tetapi lebih kepada melindungi mangsa dan masyarakat sejagat tanpa melihat darjat, agama dan warna.

Selagi mangsa adalah manusia, maka di situlah undang-undang Islam akan ada untuk melindungi.

Oleh Dr Ramizah Wan Muhammad
Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Undang-Undang Islam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIA

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/11/354622/islam-lindungi-hak-semua-tak-kira-agama
0 Komentar untuk " Islam lindungi hak semua tak kira agama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ