SHAH ALAM: Imam belum dilihat sebagai kerjaya profesional, tetapi tanggungjawab dan bidang tugasnya lebih mencabar berbanding profesion lain, malah mereka pada masa kini bukan lagi sekadar mengimamkan solat.
Tugas sebagai imam tidak hanya terbabit dalam hal ehwal agama di masjid atau surau, bahkan menjadi orang penting dalam pentadbiran dan pengurusan daripada orang hidup hingga mereka yang sudah meninggal dunia.
Hal itu dikongsi Ketua Imam, Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam, Firdaus Subhi, yang menyifatkan profesion sebagai imam mungkin dilihat bukan kerjaya dicita-citakan generasi muda, tetapi skop kerjanya yang membawa mereka untuk membina hubungan sesama manusia dan lebih mulia dipandang mulia Allah SWT.
“Pengalaman saya sejak menjadi imam dari masjid ke masjid cukup bermakna kerana ruang untuk berhubungan sesama manusia cukup luas berbanding dengan profesion lain.
“Individu yang bekerja dengan kontraktor misalnya hanya berjumpa dengan kelompok tertentu, tetapi imam di masjid dan surau bertemu dan membina silaturahim dengan jemaah daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Apatah lagi kita hidup di dunia untuk beribadah, maka ini antara tugas diredai Allah SWT dan apabila punca rezeki kita diberkati, rezeki akan datang dengan sendirinya,” katanya kepada BH di Kursus Imam Profesional di Masjid Jamek Raja Tun Uda, di sini.
Firdaus meminta masyarakat tidak hanya melihat prospek kerjaya yang mendatangkan sumber pendapatan tinggi, sebaliknya memerhati sumber rezeki sama ada ia berupaya menjadikan kita hamba Allah SWT beriman dan beramal soleh atau tidak.
Apabila kita melakukan amal soleh, termasuk dalam hal pekerjaan seharian, maka Allah SWT akan melimpahkan kasih sayang dan rahmat-Nya.
Allah SWT akan mengarahkan malaikat untuk turut mendoakan dan melimpahkan rahmat, sekali gus menjadikannya peluang untuk mendapat redha dan menjadi hamba yang disayangi.
Beliau mengakui ramai yang ada ilmu dan berupaya mengimamkan solat, cuma dalam banyak keadaan tidak bersedia untuk ke depan kerana kurang keyakinan diri serta bimbang melakukan kesilapan.
“Oleh itu, bab belajar tidak cukup dengan hanya melengkapkan diri dengan ilmu. Imam Hasan al-Basri ada mengungkapkan, ilmu memiliki dua cabang, iaitu lidah dan hati.
🔥Terjemah dalam bentuk amalan🔥
“Apa yang kita perlukan sekarang ilmu dalam hati diterjemahkan dalam bentuk amalan khususnya orang lelaki mesti berusaha untuk berlatih, tetapi pada masa sama, mengingatkan diri bahawa melakukan kesalahan itu perkara biasa,” katanya.
Sentiasa melakukan latihan demi latihan ialah kunci bagi menjadi seorang imam yang baik bukan sahaja daripada sudut bacaan, tetapi perbuatan dan amalannya.
Mengulas lanjut katanya, walaupun hukum imam dalam solat berjemaah fardu kifayah atau memadai sekiranya ada seorang sahaja imam yang boleh mengimamkan seluruh penduduk, tetapi mempelajari selok-belok sebagai imam tetap wajib.
“Dalam suasana hari ini, agak kurang imam profesional, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda. Sewajarnya mereka ini meneruskan proses mencari ilmu, apatah lagi pahalanya cukup besar.
“Apabila kita ‘membantu’ (agama) Allah SWT, kebaikan itu akan kembali kepada kita,” katanya.
Bagaimanapun ramai yang tidak melihat kepentingan mengimarahkan rumah Allah SWT, manakala sebahagiannya lupa segala bentuk keberkatan di masjid dan surau.
“Jadi, saya minta ibu bapa supaya kerap ke masjid dan surau untuk menghidupkan rumah Allah SWT. Jangan kerana sibuk mencari rezeki, kita lupa datang ke rumah Allah dan bawa anak lelaki kerana ini antara cara bimbingan.
“Ulama ada mengungkapkan, mengajar anak kecil dengan mengalunkan ayat suci al-Quran, zikir dan selawat umpama batu yang ditarah, kesannya tetap ada dan takkan hilang kerana ingatan mereka cukup kuat,” katanya.
Firdaus turut melihat kepentingan masyarakat mengamalkan sikap berlapang dada kerana ada antara jemaah mudah menjatuh hukum, mencari kesalahan dalam perbuatan dan gerak-geri imam.
“Apa yang lebih baik, muhasabah diri kita, mungkin kita nampak kesalahan mereka, tetapi kadangkala gagal mencermin kesilapan sendiri.
“Tidak salah untuk melihat kesalahan pada imam seperti pada bacaannya, tetapi berikan teguran membina secara bersemuka dan bukannya dengan menyebarkan aib atau mengumpat.
“Jika dalam keadaan kita tidak sependapat dengan imam, usah terus dipanjang-panjangkan hanya kerana berbeza pandangan, jadilah jemaah yang sentiasa berlapang dada,” katanya.
🔥Elak berfikiran skeptikal
Beliau turut meminta masyarakat tidak berfikiran skeptikal terhadap kerjaya imam hingga ada yang menyangka, mereka perlu sentiasa ada di masjid, sedangkan banyak tugasan lain perlu dilaksanakan.
“Orang ramai perlu faham, tugas dan tanggungjawab imam cukup besar, selain komitmen menjaga rumah Allah SWT, mereka juga ada urusan lain yang perlu dilaksanakan, termasuk menguruskan keluarga masing-masing.
“Contohnya di setiap masjid ada beberapa imam yang bertugas secara bergilir, jadi tidaklah imam yang sama mengimamkan solat daripada Subuh hingga Isyak.
“Kerja imam juga seperti doktor dipanggil waktu kes kecemasan, kami ini bekerja tanpa mengira siang dan malam, bahkan mengorbankan waktu rehat pada waktu malam bagi menguruskan solat jenazah,” katanya.
Ketika mengulas permasalahan fiqh yang sering dikaitkan dengan imam katanya, terdapat banyak situasi yang menimbulkan keraguan dalam kalangan jemaah dan ia perlu diperjelaskan.
Ia termasuk persoalan sama ada sah atau tidak solat sekiranya makmum solat di belakang imam yang berlainan mazhab.
“Itu sebenarnya tidak menjadi masalah, jika ia tidak boleh, maka tidak sahlah solat kita di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
“Katakan kita bermazhab Syafie, selagi kita tidak melihat imam itu melakukan perkara membatalkan solat, maka tidak menjadi satu masalah.
“Contohnya, ada imam yang tidak membaca ungkapan bismillah dengan kuat, ada mazhab yang tidak meletakkan kewajipan ke atasnya, cukup sekadar baca di dalam hati atau secara perlahan,” katanya.
Beliau turut berkongsi satu kes di sebuah masjid di tanah air, seluruh jemaah tidak solat Jumaat, sebaliknya diganti dengan solat Zuhur hanya kerana imam bertugas tiada.
“Ini satu kesalahan besar, sepatutnya buka ruang kepada jemaah yang ada untuk menggantikan imam berkenaan.
“Lebih memburukkan keadaan, seluruh jemaah akur dan laksanakan solat Zuhur.
“Ini berkemungkinan disebabkan kesilapan daripada pihak pengurusan masjid kerana mereka seharusnya mengenal pasti individu lain yang alim untuk menggantikan tempat imam berkenaan,” katanya.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/09/469968/imam-bukan-sekadar-jaga-masjid-surau
0 Komentar untuk " Imam bukan sekadar jaga masjid, surau "