KUALA LUMPUR: Ramai antara kita yang sukar menerima ketentuan takdir. Diuji dengan musibah seperti kematian ahli keluarga dan dilanda sakit berpanjangan antara detik kritikal bagi melihat sejauh mana kita kekal istiqamah dan bersangka baik terhadap ketentuan Allah SWT.
Tindakan mempersoalkan atau menolak takdir Allah SWT perlu dihindari kerana hakikatnya, setiap Mukmin itu akan diberi ujian untuk melihat sejauh mana keyakinan dan keimanan kepada-Nya.
Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Ustaz Mohammad Hasnol Abu Bakar, menasihati masyarakat supaya tidak sesekali mengeluh atau menyebut perkataan menyesal ketika ditimpa apa sahaja kesusahan.
“Allah SWT mengajar kita untuk sentiasa menyebut ayat ini, daripada Allah SWT dan kepada-Nya kita dikembalikan ketika ditimpa apa juga musibah.
“Jangan sesekali sebut perkataan selain daripadanya. Allah SWT beri kita jaminan bagi orang yang diuji itu, maka dipelihara hubungan dengan tali-Nya, sentiasa dalam rahmat dan petunjuk serta bimbingan,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Hidup Berbaik-baik Sangka Kepada Allah SWT di Surau NSTP, Balai Berita di sini.
🔥Sangka baik dapat hasil🔥
Memetik hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: “Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku dan jika dia menyangka dengan sangkaan buruk kepada-Ku, maka baginya sangkaan buruknya kepada-Ku.” (HR Ibnu Hibban)
Mohammad Hasnol ketika menghuraikan tafsiran hadis ini berkata, menurut Imam Ibn Hajar Al-Asqalani, Allah SWT berkuasa melaksanakan apa sahaja yang disangka oleh otak manusia.
Mengupas lanjut, katanya bersangka baik kepada Allah SWT itu akan sentiasa mendatangkan kebaikan. Orang Barat sendiri menggunakan teknik berfikiran positif bagi menaikkan motivasi bagi meraih sesebuah kejayaan.
“Orang Islam sepatutnya turut mengamalkan cara berfikir sebegini, asalnya ia daripada sebuah hadis dan ia kini diamalkan oleh orang Barat dengan keyakinan apabila kita bersangka baik, maka hasilnya juga adalah perkara yang seperti diharapkan.
“Lihat saja atlet sukan bola sepak Barat, mereka ini sebelum masuk ke gelanggang bukan hanya membuat persediaan fizikal, tetapi juga ada masa untuk diri sendiri.
“Mereka membuat latihan mental dengan menguruskan otak supaya berfikir positif bagaimana memasang strategi bagi mendapatkan gol,” katanya.
Mohammad Hasnol berkata, bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT yang menisbah atau mentakdirkan sesuatu perkara itu terjadi kepada kita, adalah tanda Mukmin sejati.
Setiap perkara atau ketentuan tuhan itu adalah luar daripada kotak pemikiran kita dan tidak boleh diubah-ubah kerana ia tertulis sejak di Loh Mahfuz.
“Kita perlu beriman dengan ketentuan takdir Allah SWT. Setiap daripada kita selain mempunyai takdir yang cenderung kepada perkara yang baik-baik kita juga diuji dengan qadar yang buruk.
“Bagaimanapun, qadar yang buruk ini boleh dihalang dengan izin Allah SWT menerusi kekuatan doa,” katanya.
🔥Kepentingan doa🔥
Ibnu Jauzi dalam kitabnya ada menyebut Allah SWT melaksanakan doa hamba-Nya. Hanya Allah SWT yang memberikan istijabah (memakbulkan doa).
Istijabah berlaku dalam beberapa situasi, iaitu apa yang kita hajat, ditunaikan Allah SWT. Dalam keadaan tertentu, ia ditangguhkan buat sementara, iaitu ditunda ketika dunia, tetapi diberikan saat kita lebih memerlukannya di akhirat kelak. Ada juga istijabah itu berlaku dengan cara Allah SWT menghalang takdir buruk berlaku kepada hamba-Nya.
“Oleh itu, penting kita berdoa walau di mana saja berada. Perlu diisi seluruh hidup kita dengan berdoa dan sebesar-besar doa itu adalah dengan mengerjakan solat.
“Jika benar hidup kita ini sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, maka jagalah solat lima waktu dan tambahlah dengan melakukan perkara kebaikan seperti berpuasa sunat dan sedekah.
“Allah SWT tidak akan pernah mensia-siakan ganjaran bagi orang yang memiliki keyakinan kepada-Nya. Apatah lagi, Allah SWT tidak pernah memungkiri janji,” katanya.
Selain itu, manusia juga seharusnya tidak culas dalam memohon keampunan Allah SWT. Menurut riwayat, kekasih Allah SWT, Rasulullah SAW yang juga maksum dan sebaik-baik manusia dalam kalangan Nabi dan Rasul sentiasa beristighfar.
“Baginda dikatakan beristighfar 100 kali sehari semalam, jadi bayangkan bagaimana kita insan biasa ini sepatutnya lebih melipatgandakan usaha supaya Allah SWT mengampunkan dosa lalu,” katanya.
Mohammad Hasnol berkata, selain berdoa dan telus memohon keampunan Allah SWT, Imam Nawawi menerusi kumpulan Hadis 40 turut memberi penekanan kepada meletakkan niat dalam segala perbuatan atau perkara yang dilakukan.
Ia sangat penting khususnya dalam membezakan antara perkara bersangkut paut dengan ibadah dan adat.
“Niat itu peranan hati, maka dalam apa saja keadaan, baik ketika memasuki masjid, ingin bekerja sehinggalah waktu sebelum tidur perlu diisi dengan niat kerana Allah SWT.
“Jadi, seluruh hidup kita, 24 jam sehari itu diisi dengan ibadah. Bayangkan sekiranya kita mati di dalam tidur, dengan izin-Nya, pemergian itu dalam keadaan ibadah,” katanya.
Jika dilihat pada hal ibadat seperti solat, mengambil wuduk dan berpuasa semuanya akan didahului dengan niat, bahkan ia begitu penting sehingga jika kita terlupa memasang niat, ibadat itu terbatal dan perlu diulangi semula.
Oleh Latifah Arifin
https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/09/469537/bersangka-baik-reda-terima-takdir
0 Komentar untuk " Bersangka baik, reda terima takdir "