TAHUN lalu, ketika sebahagian umat sedang sibuk berdemonstrasi untuk menyokong RUU 355, saya telah menulis post FB mengapa tidak berdemonstrasi juga menyokong kebersihan tandas. Rakyat Kelantan patut berdemonstrasi terhadap kerajaan negeri dalam isu kebersihan.
Malangnya seorang agamawan telah mengkritik saya kerana ketengahkan isu remeh-temeh seperti kebersihan tandas. Baginya kebersihan tandas bukan isu negara. Ia adalah isu peribadi, isu individu. Isu negara ialah hudud!
Sebenarnya isu kebersihan tandas bukan sekadar isu negara, ia adalah isu akhirat! Dunia akhirat jauh lebih luas dari dunia negara. Syariah telah memberi amaran keras kepada mereka yang tidak jaga air kencing sendiri. Seksaan terhadap mereka yang tidak jaga air kencing bermula awal, iaitu di alam kubur, sebelum padang Mahsyar.
Ramai tidak sedar bahawa soalan kubur bukan sekadar siapa Tuhan kamu, tetapi juga adakah anda jaga air kencing anda atau anda mengotori tandas. Tiada soalan kubur sama ada anda sudah demo atau laksanakan RUU 355 atau tidak. Sekarang demo RUU 355 sudah lama habis tapi anda masih kotorkan tandas! Alasan demo apa pula sekarang?
Sekarang timbul isu ICERD pula. Walaupun PM dan kerajaan PH telah berkali-kali mengumumkan bahawa ICERD tidak sesuai diamalkan di Malaysia, pihak pembangkang masih tekun berdemonstrasi, hantar memorandum dan menyuarakan protes demi protes seolah-olah mereka ini adalah sebenarnya ejen ICERD.
Mereka memberi promosi percuma bertubi-tubi kepada mesej ICERD dengan menyuarakan protes terhadapnya. Rakyat yang tidak kenal ICERD pun dah mula baca falsafah ICERD dan berusaha memahami wacana ICERD.
Sebenarnya UN tidak kisah pun sama ada Malaysia tandatangan atau tidak ICERD. Yang paling utama ialah tularkan maklumat tentang falsafah ICERD kepada seluruh dunia. Salah satu cara untuk tularkan sebuah video lucah ialah dengan berdemonstrasi besar-besaran terhadapnya!
ICERD bukan sekadar sebuah triti atau perjanjian. Ia adalah sebuah wacana falsafah yang perlu ditularkan kepada semua. Kejayaannya terletak bukan pada tandatangan anda tapi sejauh mana mesejnya dihadam. Kalau anak anda sudah baca dan hadam mesej ICERD, demonstrasi anda bukan lagi penawar kerana virus maklumat sudah masuk ke 'mindset' anak anda.
Apakah mesej ICERD yang utama? Ia berusaha untuk memerangkap agamawan kita untuk buat deklarasi besar-besaran bahawa Islam hanyalah agama yang bersifat eksklusif dan defensif untuk Muslimin sahaja. Islam adalah rahmah lil-Muslimin, khususnya Melayu. Islam bukan rahmah lil-Aalamiin!
Maknanya digambarkan nilai-nilai sivik dalam Islam tidak bersifat universal. Islam hanya akan bangkit berdemonstrasi besar-besar kalau ketuanan umatnya dicabar. Ia tidak akan bangun berdemonstrasi kalau umat selain Islam dizalimi.
Contohnya Islam hanya bangkit berdemonstrasi isu hudud, RUU 355, Hak Istimewa Melayu, hak jaga anak bila pasangan bercerai kerana peluk Islam dan isu kalimah ALLAH serta isu Palestin. Islam tidak akan protes besar-besaran dalam isu yang menjaga maslahat untuk semua rakyat multikultural seperti isu-isu kebersihan, rasuah, dadah, kemiskinan luar bandar dan dalam bandar, kualiti pendidikan, diskriminasi kaum dan lain-lain.
ICERD sudah hampir menang dalam perang wacana. Tapi Tun M yang bersuara lantang kritik UN lebih cerdik. Tun dapat baca konspirasi ICERD. Setuju mati, tolak pun mati.
Maka Tun M membaca jadual murid-murid sekolah. Beliau mengadu pada Dr Maszlee tentang kekurangan pendidikan sivik. Maka Dr Maszlee terus berusaha menyiapkan manual sivik untuk gunakan di semua sekolah. Pendidikan sivik akan diwajibkan secara istiqamah di semua peringkat pendidikan.
Dr Maszlee telah memanggil tokoh-tokoh pelbagai agama untuk berbincang nilai-nilai universal yang menjadi landasan pendidikan sivik. Islam adalah rahmat untuk semua. Itulah sebab Abu Talib dan Raja Najasyi pun membela perjuangan Nabi SAW. Bagi Dr Maszlee, tiga nilai universal yang perlu ditanamkan dan disemai iaitu kebahagiaan, kasih sayang dan hormat menghormati. Dengan tiga nilai ini, rakyat Malaysia multikultural tidak perlu pada ICERD.
Bina wacana nilai yang lebih manusiawi daripada wacana ICERD. Nescaya gagasan ICERD akan tewas!
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak
0 Komentar untuk " Tak cerdik lawan ICERD "