KITA mungkin pernah melalui peristiwa beratur panjang di ATM dan bila sampai ke giliran kita, mesin tersebut offline. Kita juga mungkin pernah menunggu teksi sehingga berjam-jam dan hampir rasa kecewa dan marah bila mana melihat orang lain di seberang jalan mudah pula mendapat teksi.
Kita juga mungkin pernah menunggu lama di restoran untuk mendapatkan menu pilihan kita sedangkan ada orang lain yang sampai lewat mendapat menu mereka lebih awal berbanding dengan kita. Akhirnya kita mengeluh dan mengaduh dengan berkata; “Nasib aku sungguh tidak baik hari ini”. Peristiwa ini adalah sebahagian kecil daripada rentetan peristiwa yang besar berkaitan nasib buruk kita.
Pada minggu lepas, saya berkesempatan balik ke Kelantan untuk menziarahi ibu saya yang sakit serta anak saudara yang meninggal dan pada masa sama menjenguk ibu mertua yang uzur. Pendek kata, perjalanan minggu lepas adalah untuk mencari keberkatan daripada ALLAH.
Pada peringkat awal semuanya berjalan lancar. Namun sewaktu dalam perjalanan pulang balik ke Perlis, saya berselisih dengan sebuah kereta yang cukup laju menyebabkan batu di jalan raya terpelanting dan mengenai cermin kereta saya dan terus retak dan pecah. Secara spontan saya memberikan respons pada isteri saya; “Malang sungguh nasib kita hari ini. Tak mengapalah, nak buat macam mana kita terimalah nasib ini walaupun pahit,” ujar saya lagi.
Walaupun begitu, hakikatnya hati berasa sangat sedih kerana merasakan tidak sepatutnya menerima nasib buruk tersebut setelah berbuat banyak kebaikan sebelum ini, terutamanya berbuat baik kepada ibu bapa. Namun setelah merujuk kepada firman ALLAH, “Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, kami telah beriman dan mereka tidak diuji?” (Surah Al-Ankabut 29:2), hati saya mula tenang kembali dan terus beristighfar.
Hakikatnya setiap manusia mahukan kesempurnaan walaupun mereka sendiri menyedari bahawa adalah mustahil untuk mendapatkan kesempurnaan tersebut. Kesempurnaan tidak akan tercapai kerana kita sering berkonflik dengan diri sendiri.
Menurut pakar psikologi, kita sering berkonflik kerana adanya pertembungan di antara real self dan ideal self iaitu; pertembungan di antara sifat sebenar diri kita dengan kesempurnaan yang akan dicapai. Secara logiknya, kita yang serba kekurangan ini, mana mungkin boleh dapatkan sesuatu kesempurnaan yang sifatnya adalah sifar kecacatan atau kekurangan. Kesempurnaan hanya boleh dicapai pada sesuatu yang bersifat benda, manakala manusia yang bersifat hidup ini penuh dengan pelbagai ujian dalam meneruskan kelangsungan kehidupan. Oleh itu, bernasib buruk adalah suatu ujian hidup yang perlu dilalui dan diterima kita semua.
Persoalannya, berapa kali dalam setahun kita pernah menerima nasib yang buruk?, atau kalau kita cerakinkan kehidupan kita semenjak masa kecil hingga sekarang, berapa kali kita kecundang dengan nasib buruk kita? Kalaulah kita melukis garis kehidupan kita atau dalam istilah psikologi disebut sebagai life line sudah tentu kita akan dapati garis kehidupan kita ada yang menaik dan menurun. Namun, apabila disambung kesemua titik di atas garisan kehidupan, secara keseluruhannya kita akan dapati garisan tersebut akan membentuk secara exponential iaitu bermula dengan mendatar dan meningkat naik secara perlahan-lahan ke atas sehingga membentuk garisan seperti kayu hoki. Ini bermakna kehidupan kita adalah suatu proses untuk mencapai darjat ke tahap yang lebih tinggi. Darjat tersebut tidak akan dicapai jika kita tidak diuji.
Maka, sepatutnya tiada sebab untuk meratapi nasib buruk kita kerana segala kesedihan berkaitan adalah suatu proses untuk pengangkatan darjat diri kita. Seharusnya kita cuba secepat mungkin menerima dengan penuh keredaan ujian tersebut. Namun, bukan mudah untuk reda, kerana itulah masih ramai memilih untuk meratapi dan bersedih dengan nasib buruk tersebut.
Suatu ketika dahulu saya juga pernah kecewa dan meratapi nasib buruk saya sehinggalah berjumpa seorang ustaz, memberikan kata-kata nasihat yang saya ingat sehingga hari ini. Kata ustaz tersebut; “Sepatutnya Adik Li bersyukur banyak-banyak kepada ALLAH kerana masih memberikan ujian yang berterusan, kerana setiap ujian tersebut jika dihadapi dengan tenang dan reda maka akan dinaikkan satu darjat oleh ALLAH. Maka bersabar dan redalah,” ujarnya lagi.
Walaupun begitu, memandangkan kita telah dianugerahkan sifat lembut oleh ALLAH, kita tidak boleh mengelak untuk meratapi nasib buruk kita dengan tangisan, mengeluh dan mengaduh. Namun jangan pula kesedihan itu boleh mengganggu kehidupan kita yang normal. Bersyukurlah atas segala nikmat yang diberikan ALLAH kepada kita.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/dr-huzili-hussin/jangan-meratapi-nasib-buruk-kita-1.673867
0 Komentar untuk " Jangan meratapi nasib buruk kita "