DALAM setiap kes jenayah seperti pembunuhan, keluarga mangsa kepada pembunuhan tersebut sering kali tidak mendapat pembelaan.
Kehilangan orang tersayang sangatlah memilukan apatah lagi sekiranya yang terbunuh itu adalah ketua keluarga yang mencari rezeki keluarga.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa; “barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.”
Di Malaysia pelaksanaan hukuman bunuh dibuat dengan menggantung pesalah sehingga mati. Di beberapa negara lain dibuat dengan cara seperti menggunakan kerusi elektrik, tembak dan juga pancung di leher. Suspek kes ini jika didapati bersalah tidak akan terlepas dari jerutan tali gantung.
Nyawa mereka akan diambil jika disabitkan atas kesalahan itu. Jika dipertuduh di mahkamah dan mereka berjaya membuktikan terdapat keraguan yang munasabah pula mereka akan terlepas dari tali gantung.
Namun saya masih ingat baru-baru ini terdapat gerakan yang mahu hukuman mati dimansuhkan di Malaysia. Mereka mengatakan bahawa adalah salah bagi manusia mengambil nyawa orang lain dan juga khuatir akan berlaku kesilapan dalam keputusan mahkamah.
Islam memberi penyelesaian yang amat bijak dalam hal ini. Pembunuhan dikategorikan dalam kes qisas. Hukuman qisas adalah hukuman yang sama dan seimbang dengan kesalahan dilakukan. Ia bukan kesalahan terhadap negara, tetapi keluarga mangsa. Keluarga mangsa boleh memaafkan kesalahan tersebut.
Keistimewaan qisas ialah pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa agar dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyah.
Sekiranya kedua pihak bersetuju maka ganti rugi tersebut boleh menggantikan hukuman qisas itu. Mungkin inilah yang disebut ALLAH dalam Surah Al-Baqarah:179 yang bermaksud: “Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa…"
Sayyid Qutb mentafsirkan ayat ini sebagai suatu hikmah bagi merangsang dan menggerakkan hati perasaan takwa yang menjadi injap keselamatan dalam persoalan orang yang mati dibunuh.
Pembunuhan dalam Islam adalah jenayah yang besar. “…Barang siapa membunuh manusia bukan kerana ia membunuh orang lain atau melakukan kerosakan di bumi, maka seolah-olah ia telah membunuh manusia seluruhnya dan barang siapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka seolah-olah ia memelihara nyawa manusia seluruhnya….” - Surah Al-Maidah : 32.
Dengan adanya qisas keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan mereka kerana yang telah mati itu tidak akan hidup kembali tetapi kehidupan keluarga mangsa tetap diteruskan.
Hukuman qisas ini adalah satu-satunya bentuk hukuman yang boleh menyelamatkan manusia seluruhnya daripada bahaya pembunuhan yang bertambah-tambah dari semasa ke semasa. Suatu pembunuhan tidak diikuti pembunuhan lain atau ganti rugi akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam.
Mengikut Ibn Rusyd dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid, para ulama sepakat mengatakan kadar diyah bagi pembunuhan yang disengajakan adalah 100 ekor unta.
Tetapi para ulama berbeza pandangan tentang jenis unta yang perlu dibayar itu. Imam Shafie berpendapat 100 ekor unta yang mahal harganya iaitu hendaklah terdiri daripada 30 ekor hiqqah (unta betina berumur tiga tahun), 30 ekor jadza’ah (unta betina berumur empat tahun) dan 40 ekor khalifah yang bunting (unta betina berumur lebih lima tahun.)
Jika melihat kepada jumlah diyah ini sudah pasti kita akan mendapati bahawa pembayaran diyah ini dapat menjamin kehidupan keluarga mangsa yang telah kehilangan orang tersayang itu. Mungkin inilah yang dinyatakan ALLAH bahawa dalam qisas itu ada suatu jaminan kehidupan.
Berbeza dengan hukuman dalam undang-undang sivil yang hanya mementingkan hukuman sahaja dengan harapan hukuman itu dapat mengekang perlakuan jenayah, qisas memberi alternatif yang lebih baik dengan menjamin kehidupan keluarga mangsa yang ditinggalkan itu.
Penulis amat bersetuju dengan titah YTM Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa Jemaah Pengampunan Pahang bercadang mengguna pakai kaedah pengampunan daripada keluarga mangsa berdasarkan konsep diyah.
Jika dilaksanakan sebenarnya ia tidak memerlukan kepada pindaan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Cukuplah sekadar Jemaah Pengampunan Negeri membuat kaedah bagaimana proses pengampunan boleh mengambil tempat.
Proses pengampunan hendaklah hanya boleh dipertimbangkan apabila keluarga mangsa bersetuju memberi pengampunan dengan bayaran diyah yang ditetapkan atau dipersetujui. Dengan cara ini keadilan kepada keluarga mangsa akan lebih terbela.
Tahniah kepada negeri Pahang mudah-mudahan teladan ini diikuti negeri-negeri lain pula.
0 Komentar untuk " Pengampunan melalui diyah "