KOS sara hidup yang tinggi, diikuti persekitaran ekonomi mencabar menyebabkan ramai pihak terpaksa berhutang bagi melunaskan keperluan masing-masing.
Ada yang berhutang untuk melunaskan pembiayaan pendidikan anak-anak, ada yang perlu memulakan atau mengembangkan perniagaan dan ada juga untuk hal-hal kecemasan seperti menanggung kos perubatan hospital atau urusan kematian.
Kesempitan ini juga membuka ruang kepada pemberi pinjaman wang tidak berlesen seperti ah long untuk menipu masyarakat dengan menawarkan 'bantuan' tunai kepada individu terdesak mahukan duit.
Malangnya, ramai individu saya kenali termasuk di Lembah Pantai yang terjebak jerat ah long atas sebab-sebab yang saya sebutkan tadi. Malangnya ramai juga antara mangsanya ialah orang Melayu.
Kalau seseorang itu terdesak, memang sukar untuk menolak taktik pemasaran (atau penipuan) ah long seperti ‘Pinjam RM1,000, Dapat RM1,200'.
Bukan sekadar poster mereka ada di merata-rata tempat, mereka juga licik untuk menghantar surat kepada syarikat-syarikat tertentu dengan menyasarkan golongan peniaga kecil dan pemilik syarikat.
Ia ditambah dengan syarat pinjaman yang longgar, hanya bersandarkan penyata gaji sahaja, tanpa penjamin. Malah individu yang disenaraihitamkan juga boleh meminjam!
Ada segelintir penghutang ah long di Lembah Pantai mengadu kepada saya bahawa mereka terpaksa meminjam kepada ah long kerana tidak cukup wang untuk dijadikan modal perniagaan harian. Saya berpendapat dalam hal ini ada dua perkara yang perlu dilaksanakan segera untuk mengelak permasalahan ini berulang.
Pertama, pendidikan pengurusan kewangan untuk usahawan kecil dan usahawan baharu. Dan kedua, memperkasa akses kepada dana kecemasan melalui zakat. Kedua-dua perkara ini boleh dipertanggungjawabkan kepada institusi Baitulmal.
Sebenarnya, saya amat sedih dengan realiti sedia ada. Bayangkan, dengan keperitan ekonomi sedia ada, penerima bantuan Baitulmal untuk bayaran bulanan sewaan rumah PPR DBKL dipotong dan institusi tersebut hanya berupaya membayar RM70 daripada RM124 pada tahun sebelumnya.
Sewajibnya, kita mendesak agar institusi Baitulmal direformasi - hatta dalam memenuhi tuntutan semasa- termasuklah gejala ah long yang menimpa umat Islam!
Lihat sahaja di Selangor di mana Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan perniagaan kepada 420 penerima pada 2011 dan angka berkenaan berganda kepada 998 pada 2012.
Daripada jumlah berkenaan 329 berjaya keluar dari status asnaf. LZS menyediakan dua bentuk bantuan modal, iaitu modal memulakan perniagaan dengan maksimum RM5,000 dan modal mengembangkan perniagaan dengan maksimum RM30,000.
Tetapi adakah bantuan berkenaan dapat diberikan secara mudah? Syarat pertama penerima ialah tergolong dalam golongan fakir miskin atau mualaf. Persoalan seterusnya, adakah golongan usahawan yang terpaksa meminjam dengan ah long ini tergolong daripada kalangan fakir miskin atau mualaf?
LZS melalui Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, telah menerima definisi yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor bahawa takrifan fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal atau ada pendapatan tetapi tidak mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya. Sementara miskin ialah orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50 peratus untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi tidak mencapai had kifayah.
Sesebuah institusi zakat mengambil kira enam aspek keperluan hidup manusia. Keperluan itu ialah tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, rawatan dan pengangkutan. Jika pendapatan isi rumah yang diperoleh setiap bulan tidak mampu memenuhi kecukupan minimum bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dianggap sama ada miskin ataupun fakir.
Cabarannya kini adakah masyarakat (dalam konteks ini, orang Islam) yang sudah tergolong dalam kalangan individu yang memerlukan bantuan kewangan sedar bahawa zakat mampu membantu mereka?
Tiada jaminan untuk mana-mana individu dapat memperoleh bantuan zakat, seperti mana jaminan pinjaman kewangan yang diberikan ah long. Tetapi mari kita berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang akhirnya menyusahkan diri dan meletakkan diri dan keluarga kita dalam bahaya. Kes terdahulu membuktikan ada peminjam yang tidak tahan dengan ancaman ah long terpaksa melarikan diri daripada kediaman masing-masing. Ada suri rumah terpaksa melacur untuk membayar hutang dan ada yang terpaksa bercerai dengan pasangan masing-masing akibat tidak tahan gangguan ah long!
Terdapat juga kes, peminjam mengambil jalan mudah dengan membunuh diri akibat tekanan diterima setiap hari daripada konco-konco ah long.
Makanya, seru saya kepada kerajaan - dengarlah rintihan rakyat di bawah! Ayuh - perkasakan lagi institusi zakat demi melawan ah long!
* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur
0 Komentar untuk " Zakat lawan ah long "