PENUBUHAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah berdasarkan Akta 173 mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Tujuan penubuhan ini untuk membantu orang-orang Bumiputera yang miskin dan tidak berkemampuan melanjutkan pendidikan tinggi.
Ini disebabkan ramai orang Bumiputera masih jauh ketinggalan dalam ekonomi. Walaupun begitu, masih terdapat orang bukan Bumiputera persoalkan tujuan kenapa UiTM tidak dibuka kepada bukan Bumiputera.
Seperti yang diketahui, isu merit dibangkitkan kerana menganggap penubuhan UiTM tidak menggalakkan daya saing orang Bumiputera. Adalah tidak adil mengatakan penubuhan UiTM ini menganiaya pemikiran dan kemajuan orang Bumiputera. Kita perlu lihat statistik perangkaan pendapatan dari tahun 2012 hingga 2014 menunjukkan tiga faktor utama mengapa UiTM ini perlu dikekalkan seperti sedia ada.
Pertama dalam pendapatan bulanan kasar isi rumah secara purata antara kaum di Malaysia menunjukkan bahawa pada 2012 Bumiputera mempunyai pendapatan dari RM4,457 kepada RM5,548 pada 2014. Bagi kaum Cina pendapatan dari RM6,368 tahun 2012 kepada RM7,666 tahun 2014, kaum India berpendapatan RM5,233 tahun 2012 kepada RM6,246 dan lain-lain kaum iaitu RM3,843 tahun 2012 kepada RM6,011 tahun 2014.
Kumpulan pertengahan pendapatan bulanan kasar isi rumah antara 2012 hingga 2014 menunjukkan Bumiputera dari RM3,282 tahun 2012 kepada RM4,214 tahun 2014, Cina dari RM4,643 tahun 2012 kepada RM5,708 tahun 2014, India dari RM3,676 tahun 2012 kepada RM4,627 tahun 2014 dan lain-lain adalah RM2,762 kepada RM4,372 tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa pendapatan kasar bulanan isi rumah antara 2012 hingga 2014 menjadikan Bumiputera pada kedudukan keempat iaitu RM5,548 diikuti ketiga lain-lain kaum RM6,011, kedua India iaitu RM6,246 dan Cina iaitu RM7,666.
Kedua jika diteliti nisbah ketaksamaan pendapatan kasar bulanan isi rumah antara kaum menunjukkan terdapat jurang perbezaan antara Bumiputera dengan kaum-kaum yang ada di Malaysia. Ketaksamaan antara Bumiputera dengan Cina iaitu 1:1.38, dengan India 1:1.13, dengan lain-lain kaum 1:1.78. Ketaksamaan ini memberitahu bahawa pendapatan Bumiputera adalah lebih rendah dari Cina, India dan lain-lain kaum kerana insiden kadar kemiskinan Bumiputera lebih tinggi di luar bandar iaitu 1.5 peratus berbanding kaum bukan Bumiputera di bandar iaitu 0.3 peratus.
Ketiga, pekali Gini mengikut strata dan kumpulan etnik antara 2012 dan 2014 menunjukkan bahawa pekali Gini bagi Bumiputera adalah dari 0.421 tahun 2012 kepada 0.389 tahun 2014, Cina iaitu dari 0.422 tahun 2012 kepada 0.405 tahun 2014, India dari 0.443 tahun 2012 kepada 0.396 tahun 2014 dan lain-lain kaum iaitu dari 0.435 tahun 2012 kepada 0.433 tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa kesaksamaan pendapatan antara kaum Bumiputera adalah kecil iaitu 0.389 berbanding dengan India, 0.396, Cina 0.405 dan lain-lain kaum 0.433. Ini bermaksud pendapatan kasar bulanan isi rumah Bumiputera adalah jauh lebih rendah dan hampir sama rata antara satu sama lain. Ini boleh difahami daripada data tahun 2014 bahawa 40 perarus pendapatan terendah adalah Bumiputera iaitu 17.1 peratus dan 40 peratus pertengahan iaitu 37.4 peratus atau 54.5 Bumiputera berpendapatan RM5,190 ke bawah.
Berbanding kaum Cina tahun 2014, 40 peratus pendapatan terendah iaitu 16.3 peratus dan 40 peratus pertengahan iaitu 36.8 peratus atau 53.1 peratus yang mempunyai pendapatan RM7,049 ke bawah. Diikuti India, 40 peratus terendah iaitu 17.1 peratus, 40 peratus pertengahan 36.2 peratus atau 53.3 peratus yang mempunyai pendapatan RM5,646 ke bawah.
Seterusnya lain-lain kaum 40 peratus terendah iaitu 14.9 peratus, 40 peratus pertengahan 37 peratus atau 51.9 peratus mempunyai pendapatan RM5,510 ke bawah. Data-data ini menunjukkan majoriti kaum Bumiputera masih lagi mempunyai pendapatan yang terendah dan dalam jumlah yang besar.
Salah satu kaedah untuk mengeluarkan kaum Bumiputera daripada kelompok pendapatan terendah adalah melalui pendidikan dari rendah sehingga ke peringkat tinggi. Terdapat 20 universiti awam dan 24 swasta, 9 kampus universiti antarabangsa dan 27 kolej universiti swasta. Hanya UiTM yang digunakan untuk membantu kaum Bumiputera memperbaiki taraf kehidupan tanpa menggugat hak mana-mana kaum di Malaysia.
Bukan semua Bumiputera menikmati hasil kekayaan negara ini walaupun sebahagian besar mereka telah mendiami kawasan bandar. Ini boleh dilihat majoriti kaum Bumiputera tinggal di pinggiran kota daripada di kota. Tidak salah UiTM ditubuhkan untuk membantu kaum Bumiputera dan matlamat penubuhan UiTM perlu dipertahankan demi keselamatan dan keadilan pembahagian kek kekayaan negara.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan
0 Komentar untuk " Pertahankan Akta 173 "