Menilai perkara berpaksi agama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menilai perkara berpaksi agama



DILEMA yang dihadapi negara ketika ini ialah perubahan nilai sesetengah masyarakat termasuklah yang beragama Islam. Akibat perubahan nilai ini mereka mahukan perubahan terhadap apa yang sudah diterima dan disepakati sebelum ini.

Isu mengenai kesamarataan jantina umpamanya tidak habis-habis diperkatakan masyarakat awam ketika ini sama ada ia berkaitan dengan kecenderungan seksual ataupun hak-hak golongan lelaki dan wanita yang mahu disamakan dalam semua keadaan.

Terbaru seorang peguam dilaporkan sebagai berkata homoseksual tidak ditegah dalam al-Quran dengan mengemukakan rasional dan pandangannya sendiri termasuk mentafsir beberapa ayat al-Quran.

Walaupun penulis juga mendapat pendidikan formal dalam undang-undang dan syariah, penulis tidak berhasrat berbicara hal ehwal hukum dan pentafsiran al-Quran kerana ia selayaknya dibicarakan oleh ulama yang berkelayakan.

Kecenderungan dan perlakuan seksual tanpa pernikahan yang sah mahu dijadikan suatu perkara yang lumrah dan tidak menjijikkan dalam minda masyarakat khususnya umat Islam.

Sebagai mana yang diketahui LGBT bermakna lesbian, gay, biseksual dan transgender. Lesbian merupakan perempuan yang mempunyai naluri dan nafsu terhadap perempuan sahaja manakala gay pula ialah golongan lelaki yang mempunyai nafsu kepada golongan sejenisnya. Biseksual pula ialah lelaki dan perempuan yang bernafsu terhadap lelaki dan perempuan, manakala transgender pula ialah golongan tidak sama jantina kelahirannya dengan jantina fizikal terkini.

Sementelahan di luar negara pula perjuangan hak asasi tidak terhad kepada LGBT sahaja tetapi ditambah lagi iaitu LGBTIQ. 'I' adalah intersexed iaitu golongan yang mempunyai dua jantina manakala 'Q' atau queer pula ialah golongan melampau yang mempunyai naluri seksual tidak terhad kepada lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga terhadap haiwan, pokok, objek dan lain-lain lagi.

Walaupun Islam  mengiktiraf hak golongan intersexed atau dalam bahasa mudahnya khunsa, tetapi golongan queer ini membawa pemikiran yang sangat melampau. Islam telah menggariskan dengan baik hak-hak golongan intersexed ini sehingga boleh memilih jantina mana yang mereka mahu setelah dewasa mengikut syarat tertentu.

Anehnya golongan memperjuang hak asasi manusia langsung tidak menyentuh hak golongan queer ini di Malaysia walaupun lantang di luar negara. Hal ini mungkin disebabkan sekiranya golongan queer ini diperjuangkan hak mereka di Malaysia sudah pasti jalan lebih sukar dilalui oleh pejuang hak asasi manusia ini kerana ia terlalu bercanggah dengan nilai ketimuran.

Perkahwinan sejenis sudah mula mahu diberi pengiktirafan di luar negara. Sudah ada perkahwinan antara keluarga terdekat seperti ibu dan anak, ayah dan anak, adik-beradik dan pelbagai hubungan yang dilarang dilakukan, sama ada dalam agama ataupun adat.

Suatu hari nanti tidak mustahil ada yang mahu berkahwin dengan diri sendiri, berkahwin dengan mayat, objek haiwan dan lain-lain lagi. Di manakah penghujungnya kelak? Semua perkara tidak masuk akal ini dipertahankan atas nama hak asasi manusia.

Perjuangan menuntut kesaksamaan gender pula mahu menyamakan kesemua hak antara lelaki dan perempuan. Dalam erti kata  lain, apa yang dinikmati atau boleh dibuat oleh lelaki hendaklah juga dinikmati dan dilakukan oleh perempuan tanpa mengambil kira naluri keperluan dan sifat semula jadi kedua-dua golongan ini. Lelaki dan perempuan mahu bersaing antara satu sama lain di hadapan mata manusia bukan kedudukan mereka di hadapan ALLAH SWT.

Natijahnya kita dapati wanita juga mahu menjadi imam solat kepada golongan lelaki dan perempuan walaupun ulama yang menukilkan berdasarkan nas-nas diterima, bahawa hanya lelaki boleh menjadi imam solat bagi kaum lelaki. Begitu halnya pembahagian faraid yang sudah tuntas dalam al-Quran mahu diubah kerana dikatakan ketika ini wanita juga telah menjalankan tugasan lelaki.

Trend sebegini sangatlah terpesong dari arus pemikiran Islam yang sebenar kerana ia membawa erti kata mengubah undang-undang atau syariah itu sendiri.

Al-Quran adalah manual kepada umat Islam bagi menguruskan tata kehidupan yang terbaik. Manual tersebut ditafsirkan melalui Sunnah Rasulullah SAW dan diperkuat dengan ijmak ulama, qiyas dan pelbagai sumber hukum yang diterima.

Menyuntik perkara asing dalam tata hidup orang Islam tidak akan dapat memperbaiki kehidupan dan kelangsungan umat Islam malah akan merosakkan mereka. Berbaliklah kepada syariah ALLAH SWT kerana dengan cara itu sahajalah umat Islam akan kembali cemerlang.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Menilai perkara berpaksi agama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ