Guru biasa saja, bukan VIP pun - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Guru biasa saja, bukan VIP pun



“KAMU protege siapa?” Saya pernah ditanya soalan ini semasa timbul budaya dalam kalangan daie untuk menasabkan ilmunya kepada personaliti yang terkenal atau rancangan TV popular.

“Saya bukan protege Zakir Naik, atau murid Syeikh Nazim atau Habib Ali, atau graduan Oxford University atau penerima ijazah bersanad dari Syeikh Albani atau protégé penyanyi terkenal Amy Search. Kesemua tokoh-tokoh ini hebat tetapi saya yang tak hebat dan tak layak.”

Guru menginspirasikan saya, ramai. Contohnya, semasa sekolah rendah, saya belajar banyak daripada Cikgu Lim semasa darjah 6 di Sekolah Guru Nanak, Ipoh.

Sebelum belajar dengan beliau, saya memang tidak suka subjek Matematik. Bagi saya, Matematik itu sangat susah.

Setiap kali belajar Matematik, saya rasa diri saya terserlah kebodohan! Tetapi Cikgu Lim berjaya mengubah perspektif saya tentang Matematik dan ini mempunyai impak yang sangat besar dalam hidup saya.

Kejayaan Cikgu Lim menjadikan subjek Matematik itu seronok, logik dan mudah membuat saya 'baik sangka' kepada subjek-subjek lain.

Semasa saya kembali kepada Islam, saya berazam belajar bahasa Arab untuk memahami al-Quran.

Semua yang belajar bahasa Arab memberitahu saya bahawa bahasa Arab adalah bahasa yang paling sukar dan tak logik sekali di dunia.

Kawan-kawan mengajar saya macam-macam teori untuk menguasai bahasa Arab.

Ada yang suruh saya belajar Jawi dulu. Ada yang suruh gosok lidah! Ada yang suruh bertaubat dari dosa-dosa besar dan kecil. Ada yang suruh mandi hadas besar dulu walaupun tak berhadas sebelum mula kelas nahu Arab.

Impak belajar dengan Cikgu Lim membuat saya 'sangka baik' dengan bahasa Arab. Saya yakin bahasa Arab tidak sesukar seperti yang dikatakan. Saya terus mencari metode yang sesuai, dan tidak putus asa.

Akhirnya semasa saya menuntut di London, saya dapati London Universiti mempunyai metode mengajar bahasa Arab yang logik dan mudah. Tak perlu gosok lidah dan mandi hadas besar.

Orang putih bukan Muslim boleh membaca surat khabar Arab tanpa baris selepas belajar Arab selama sembilan bulan! Akhirnya, saya jumpa dan sekarang saya mampu memahami kitab-kitab tafsir Arab.

Tetapi semua ini bermula dengan semangat Cikgu Lim yang bertungkus-lumus membuat homework tentang bagaimana membuat murid-murid darjah enam berbaik sangka kepada dunia ilmu.

Cikgu Lim membuktikan bahawa beliau mampu menjadikan subjek Matematik yang kononnya boring dan sukar kepada subjek yang seronok, logik, dan mempunyai pelbagai jalan-jalan yang mudah untuk menguasainya.

Tetapi berapa ramaikah yang kenal Cikgu Lim? “Saya adalah protégé Cikgu Lim”, saya respons.

Sahabat yang tanya saya soalan tentang saya protégé siapa seolah-olah bingung sekejap. Dia tanya, “Lim Kit Siang kah?” Saya tergelak besar!

Kita suka nasabkan ilmu kita kepada personaliti-personaliti yang terkenal. Kita tumpang glamor untuk menjadi glamor walaupun kita tak sehebat personaliti yang kita tumpang pun! Bahkan mungkin jauh sekali.

Kadang-kadang dunia dakwah sudah menjadi industri dakwah. Wujud budaya dakwah yang mengutamakan nilai-nilai komersial.

Kalau syarikat komersial yang ingin jual krim mukanya, ia akan tumpang glamor seorang artis terkenal.

Mungkin artis itu tak pernah guna krim mukanya pun. Yang penting, artis itu pegang krim mukanya dalam poster. Yang penting seorang da'i yang baharu itu berjabat tangan dengan habib, syeikh, personaliti dakwah yang terkenal dan tularkan gambar.

Saya suka sajak Sasterawan Negara Usman Awang tentang jasa guru biasa yang semakin dilupakan:

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa

Jika hari ini seorang raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini seorang siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang GURU BIASA.

 Selamat Hari Guru kepada semua guru saya sejak tadika. Jasa mu hanya ALLAH SWT dapat membalas.

0 Komentar untuk " Guru biasa saja, bukan VIP pun "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ