RANG Undang-Undang Persendirian di kemukakan Ahli Parlimen Marang Datuk Haji Abdul Hadi Awang telah mendapat pelbagai reaksi sama ada daripada kalangan ahli politik sendiri ataupun rakyat awam yang lain.
Saya percaya ramai yang mempersoalkan Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa Ahli Parlimen Marang ini sendiri mungkin tidak membaca undang-undang asal yang ingin dipinda dan juga Rang Undang-Undang Persendirian itu sendiri.
Bagi menjelaskan isu ini eloklah kita melihat kepada Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dan kemudiannya menelusuri sejarah perundangan negara.
Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Parlimen (Senarai I) dan kuasa Dewan Undangan Negeri (Senarai II) serta kuasa bersama (Senarai III) membuat undang-undang mengenai perkara yang dinyatakan dalam senarai berkenaan.
Perkara jenayah terletak di bawah Senarai I yang menjelaskan bahawa kuasa membuat undang-undang adalah dimiliki oleh Persekutuan (Parlimen). Manakala kuasa mengujudkan kesalahan dan hukuman melanggar perintah agama Islam dalam kalangan orang yang menganut agama Islam adalah kuasa Negeri (Dewan Undangan Negeri).
Namun kuasa mengadakan hukuman bagi orang yang melanggar perintah agama Islam ini boleh dibataskan oleh undang-undang Persekutuan.
Pada ketika ini terdapat satu undang-undang persekutuan iaitu Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Disemak pada 1988) (Akta 355) memperuntukkan bahawa takat hukuman yang boleh dibuat oleh Dewan-Dewan Undangan Negeri hanyalah tiga tahun penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan.
Rang Undang-Undang Persendirian dibentang Ahli Parlimen Marang adalah bagi meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 di atas yang telah pun sebelum ini disemak pada tahun 1988. Oleh itu di manakah isu 'ketidakperlembagaan' RUU Persendirian yang dibentangkan itu? Kenapa pula pada tahun 1988 sewaktu pindaan tersebut dibuat isu 'keperlembagaan' ini tidak timbul?
Daripada teks RUU Persendirian itu pula adalah amat jelas pindaan yang ingin dibuat hanyalah bagi kesalahan yang meliputi penganut agama Islam sahaja dan terhad kepada kesalahan melanggar perintah agama Islam (Senarai II).
Peliknya digembar-gemburkan pula ia merupakan RUU Hudud sedangkan kesalahan hudud seperti mencuri dan merompak adalah dalam bidang kuasa Persekutuan (Senarai I). Menyamakan RUU Persendirian tersebut sebagai RUU Hudud sebenarnya hasil daripada orang yang keliru ataupun mahu mengelirukan orang lain.
Bagi orang bukan Islam, RUU Persendirian ini jika diluluskan tidak terpakai kepada mereka. Malah terdapat pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah hanyalah kepada orang Islam sahaja. Untuk ini, orang bukan Islam tidaklah perlu risau.
Secara ringkasnya RUU ini hanyalah ingin meluaskan hukuman yang diperuntukkan kepada mahkamah syariah daripada tiga tahun penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan kepada hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak.
Walaupun dengan pindaan ini jika diluluskan beberapa kesalahan hudud boleh dihukum mengikut hukum syarak, namun masih lagi ada kesalahan hudud yang tidak boleh dihukum sewajarnya mengikut hukum syarak termasuklah kesalahan-kesalahan qisas dan takzir yang masih lagi tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah sivil.
Ada juga yang mempolemikkan format dan cara penulisan RUU Persendirian ini yang dikatakan janggal dan tidak menepati amalan format dan penulisan undang-undang. Mungkin ada benarnya pandangan sebegini.
Namun kita hendaklah faham Ahli Parlimen Marang tersebut membawa RUU Persendirian yang mungkin hanya ditulis oleh beliau sendiri ataupun sekumpulan orang yang beliau rujuk. Saya pun tidak tahu sama ada terdapat jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menggubal RUU tersebut.
Berbanding dengan RUU dibentang Kerajaan yang akan diteliti pelbagai pihak seperti agensi atau kementerian yang akan menggunakan undang-undang tersebut yang kemudiannya dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk digubal oleh pakar penggubal.
Setelah itu ia akan dikemukakan ke jemaah menteri untuk diteliti dan akhirnya oleh ahli parlimen akan membahaskannya di sidang Parlimen.
Jelas amatlah berbeza cara penggubalan RUU Persendirian dan RUU Kerajaan. Namun ia tidak bermakna ahli parlimen tidak boleh membetulkan mana-mana teks yang dikatakan menimbulkan kejanggalan semasa sidang Parlimen kerana ahli parlimenlah merupakan penggubal undang-undang sebenar mengikut sistem perundangan kita.
Mereka boleh berbahas dan membetulkan RUU agar tidak menimbulkan apa yang didakwa sebagai kejanggalan tersebut. Saya mengharapkan RUU Persendirian ini dapat diluluskan agar bidang kuasa jenayah mahkamah syariah dapat dipertingkatkan lagi.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
0 Komentar untuk " Teliti inti pati RUU Persendirian "