Ramai cetek undang-undang keluarga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ramai cetek undang-undang keluarga


KURANG pengetahuan mengenai undang-undang keluarga Islam dan pelbagai kerumitan prosedur mahkamah antara punca wanita mendiamkan diri untuk membuat sebarang tuntutan berkaitan hak mereka. Exco Persatuan Peguam Muslim (PPMM), Siti Razasah Abd Razak, berkata wanita seharusnya mengambil tahu mengenai undang-undang keluarga Islam sebagai persediaan atau 'perisai' apabila berhadapan dengan sesuatu masalah termasuk masalah rumah tangga. Katanya, kebanyakan wanita berkahwin cetek mengenai aspek perundangan dan apabila berlaku sebarang konflik atau kematian pasangan masing-masing mereka hilang arah.

Kesedaran masih rendah 

"Apabila berhadapan konflik dan melakukan tuntutan tertentu seperti harta sepencarian dan mahkamah perlukan bukti tertentu, pada saat itu mereka menganggap mahkamah cuba merumitkan keadaan, sedangkan itu adalah prosedur yang perlu dipatuhi," katanya kepada BH. Beliau mengulas mengenai kesedaran wanita mengenai aspek perundangan keluarga di negara ini yang dikatakan masih rendah hingga menyebabkan ramai wanita membuat andaian prosedur mahkamah merumitkan. Siti Razasah yang juga peguam syarie, berkata kefahaman mengenai perundangan keluarga Islam perlu didedahkan ketika mengikuti kursus praperkahwinan, selain memperbanyakkan program celik perundangan, kempen dan seminar di media massa.

Buka minda 

"Apabila isu berkaitan ini sering diperbincangkan, secara tidak langsung ia membuka minda ramai mengenai isu kekeluargaan. "Dengan adanya ilmu kita bukan sahaja lebih bersedia melalui proses perundangan, kurang menyalahkan pihak ketiga termasuk suami dan prosedur mahkamah ketika melakukan sesuatu tuntutan," katanya. Beliau menyarankan setiap bakal pengantin menduduki ujian ringkas mengenai topik yang mustahak untuk setiap pasangan supaya mereka faham perkahwinan bukan sekadar membina rumah tangga dan hal peribadi, tetapi tertakluk kepada perundangan melindungi ahlinya. Siti Razasah menganggarkan lapan daripada 10 wanita tidak tahu mengenai perundangan termasuk mereka yang berpendidikan tinggi. "Masalah kekeluargaan membabitkan emosi, tidak menyeronokkan dan menjemukan menyebabkan sesetengah wanita tidak mahu ambil pusing," katanya. Beliau berkata, perceraian membabitkan banyak kes iaitu meliputi tuntutan nafkah, edah, nafkah tertunggak isteri masa dalam perkahwinan, hak penjagaan anak, harta sepencarian dan sebagainya.

Takut dilabel terlalu berkira 

Selain rumit, ada wanita yang tidak mahu mengambil tahu mengenai perundangan kerana takut dilabelkan terlalu berkira. "Contohnya, isu nafkah isteri dan anak wajib disediakan suami. Wanita cenderung reda dengan apa yang diterima, asal sahaja kehidupan rumah tangga bahagia. Bagaimanapun, selepas berlaku perselisihan faham atau perceraian mereka baru sedar keperluan mengetahui mengenai perundangan keluarga. "Ketika dilanda musibah mereka mula mendapatkan pelbagai maklumat mengenai prosedur membawa kes ke mahkamah," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/206776
0 Komentar untuk " Ramai cetek undang-undang keluarga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ