Pupuk keinginan tinggi jadi insan soleh tunduk nafsu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pupuk keinginan tinggi jadi insan soleh tunduk nafsu



SESUNGGUHNYA keinginan untuk menjadi baik adalah suatu yang normal dan fitrah bagi setiap orang. Bahkan menurut ahli sufi apabila timbul keinginan untuk menjadi orang yang baik, bererti kita telah mendapat jemputan Allah SWT untuk menuju ke suatu daerah kebaikan. Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menekankan mengenai pentingnya mempunyai keinginan untuk menjadi baik kerana dengan kebaikan inilah yang akan menjuruskan seseorang Mukmin itu mengerjakan amal soleh di sisi Allah SWT.

Bermula daripada keinginan akan muncul rangsangan atau dorongan untuk bertindak. Sebetulnya sesuatu yang positif dan lazim bagi seseorang Mukmin memiliki rasa ingin atau mahu. Tetapi yang menjadi persoalan adalah apabila keinginan tidak diawasi dengan iman menyebabkan ia berlandaskan kepada hawa nafsu yang merosakkan. Seseorang Mukmin yang berlandaskan keinginan yang memuncak tanpa ada batasan akan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsu yang menjadikannya alpa untuk membezakan perkara baik dan buruk, halal dan haram serta dibenarkan atau sebaliknya. Seseorang yang diperhambakan oleh keinginan sehingga menjerumuskan diri ke lembah dosa tidak akan mampu membezakan perkara yang buruk dan baik.

Cepat rasa kecewa, putus asa 

Sebab itulah, mereka yang mempunyai keinginan hawa nafsu memuncak akan merasa cepat kecewa, mudah putus asa, suka menyalahkan dan bertindak di luar kewarasan apabila keinginannya tidak dipenuhi atau tidak berjaya dilakukan. Apabila mendapat hajat atau keinginan yang diharapkan kita pula menjadi manusia yang mudah lupa diri, bongkak dan sombong dengan anugerah nikmat yang Allah SWT sehingga membuatkan kita mudah menafikan hak orang lain dalam rezeki yang diperoleh. Dalam lembaran Islam, orang yang hebat akan memiliki keinginan tinggi, suci dan murni. Keinginan menuju jalan Islam dengan tujuan membina kehebatan agama Islam menjadikan sahabat adalah insan mulia yang luar biasa. Dikisahkan dalam suatu peristiwa ketika Saidina Umar al-Khattab bersama sahabat yang lain berkumpul dan berbicara tentang keinginan mereka jika mendapat kekayaan harta benda yang Allah kurniakan.

Habiskan harta di jalan Islam 

Semua mereka mahukan setiap kekayaan dan anugerah harta benda itu dihabiskan ke jalan Islam yang suci. Kehebatan sahabat Rasulullah SAW tidak dapat dipertikaikan lagi. Kesetiaan, kasih sayang dan kesucian hati mereka amat cukup luar biasa. Diriwayatkan dalam sebuah kisah sahabat Baginda yang mereka tidak langsung berkeinginan dengan kesenangan dunia tetapi tumpuan keinginan mereka adalah menanam ketaatan yang tinggi kepada Allah SWT dan menjadi penghuni syurga bersama baginda Rasulullah SAW. Begitu juga kisah tentang seorang sahabat iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang barangkali memberi inspirasi dan pengajaran kepada kita hari ini untuk membina keinginan yang tinggi iaitu menjadi hamba yang soleh, umat yang menuruti sunah Baginda Rasulullah SAW dan akhirnya menjadi penghuni syurga firdaus yang kekal abadi.

Abu Ayyub dikurniakan Allah SWT dengan usia yang panjang, dalam usia yang lanjut itu beliau tetap memiliki semangat jihad dan cintakan agama yang tinggi. Sehinggakan pada saat Abu Ayyub mendengar sabda Baginda Rasulullah SAW bahawa "Suatu hari nanti akan ditawan Kota Kostantinopel. Sesiapa yang berjaya menawan kota itu, dia adalah sebaik-baik tentera dan pemimpin". Mendengar akan itu, Abu Ayyub dengan semangat juang yang tinggi belayar ke kota Kostantinopel bagi berjihad membina empayar Islam dan menegakkan agama Allah.

Abu Ayyub figura hebat Islam 

Pada usia yang mencecah 80-an, dengan izin Allah SWT, Abu Ayyub meninggal dunia. Sungguhpun demikian, Abu Ayyub sebagai figura hebat Islam meninggalkan wasiat kepada mujahid agar mayatnya ditanam di hadapan Kota Konstatinopel supaya dia boleh mendengar bunyi tapak kaki kuda dan suara mujahid yang berjihad menegakkan agama Allah. Kuasa keinginan yang digarap Abu Ayyub menjadi pedoman bahawa sesiapapun kita ia bukan syarat membina keinginan yang tinggi kerana Allah SWT. Sesungguhnya jika kita ada keinginan demi agama, Allah SWT akan memperkenankan walaupun dalam bentuk berbeza.

Hakikatnya seseorang Mukmin juga perlu faham akan hakikat kehidupan. Setiap keinginan yang kita dambakan bukan bererti semuanya baik untuk kita. Segala pergerakan, kemahuan dan keperluan kita, ia adalah di bawah kekuasaan Allah SWT. Tidak semua perkara yang kita mahu kita akan dapat, kerana Allah SWT yang Maha mengetahui segala-galanya akan memberi apa yang kita perlu, tetapi bukan apa yang kita mahu. Justeru, sebagai hamba yang mengharapkan kasih sayang dan belas ihsan Allah SWT, hendaklah kita selalu merendahkan keinginan yang disebabkan dorongan hawa nafsu, sebaliknya selalu memperhebatkan keinginan berbuat kebaikan dan ibadat yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT, seterusnya menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/145958
0 Komentar untuk " Pupuk keinginan tinggi jadi insan soleh tunduk nafsu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ