FRASA 'Islam itu mudah' seakan tidak terpakai kepada golongan orang kurang upaya (OKU) kerana sehingga kini mereka terus teraba-raba dalam mencari bimbingan agama, bahkan kebanyakannya langsung tidak tahu asas ibadah seperti menunaikan solat dan mandi wajib. Menuding jari kepada pihak tertentu seperti institusi agama bukanlah jalan penyelesaian kerana ia sebenarnya tanggungjawab seluruh anggota masyarakat bagi memastikan OKU khususnya dalam kalangan mualaf atau saudara baharu tidak tercicir dalam mencari hidayah. Pengakuan itu dikongsikan dua panel OKU, Nur Malihah Chai Abdullah dan Muhammad Haiqal Hazani Abdullah pada Simposium Khidmat Ummah bertemakan OKU Mualaf: Saat Hidayah Hadir anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan yang kesal kerana OKU terus diasingkan serta terpinggir dalam hal berbentuk keagamaan.
Mimpi ngeri
OKU mualaf cacat pendengaran, Nur Malihah berkata, dia bukan sahaja kehilangan suami bahkan dipulaukan ahli keluarga dan diberhentikan kerja apabila mengambil keputusan memeluk Islam sejak dua tahun lalu. "Saya terbuka hati untuk memeluk Islam apabila mendapat satu mimpi ngeri seolah-olah sedang berada di tempat gelap yang penuh dengan tanah dan ada satu cahaya daripada atas yang menyinarinya. Ia rupanya tanah perkuburan orang Islam. "Sejak mendapat mimpi itu, saya yakin untuk memeluk Islam, namun sayangnya ia tidak direstui suami dan keluarga yang menganuti agama Katholik sehingga kami berpisah, bahkan ibu juga menjauhkan diri.
"Cabaran selepas memeluk Islam lebih besar apabila dipulaukan rakan sekerja dan akhirnya saya diberhentikan serta hilang tempat berteduh yang sebelum ini disediakan pihak majikan, hingga terpaksa tidur di masjid," katanya. Tambahnya, apa yang dikesali, sahabat beragama Islam turut menjauhkan diri dan tidak membantu mengajar selok belok agama, bahkan mengabaikan kebajikannya sehingga pernah tinggal di jalanan sebagai gelandangan. "Apabila memeluk Islam, saya harapkan ada ramai yang akan membantu, malangnya tidak ada kawan atau masyarakat sudi mengajar sehingga saya ambil inisiatif sendiri pergi ke masjid dan hanya mengikut gerakan solat makmum di depan.
"Baca surah wajib seperti al-Fatihah juga langsung tidak tahu hingga saya belajar sendiri melalui laman sosial seperti Youtube kerana sukar mendapat bimbingan guru agama yang tidak mahir menggunakan bahasa isyarat," katanya bersyukur kerana banyak mendapat bimbingan pusat keagamaan khas untuk OKU, Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak-Anak Istimewa (Yayasan Faqeh).
ROBIATUL Adawiyah (kanan) bersama Norakhyairee (dua dari kiri) menunjukkan aplikasi bacaan al-Quran untuk orang cacat penglihatan. - Foto Hazreen Mohamad
OKU jadi tenaga pengajar
Sementara itu, OKU mualaf cacat penglihatan, Muhammad Haiqal Hazani Abdullah, 29, berkata sensitiviti masyarakat masih rendah untuk membantu OKU mendalami agama sedangkan sepatutnya kelompok mereka diberi peluang menjadi tenaga pengajar memberi bimbingan kepada OKU mualaf lain. Katanya, orang buta boleh belajar agama menerusi braille, masalahnya sehingga kini masih kurang guru agama berkemahiran menggunakannya sekali gus ia menyukarkan orang buta mendalami bacaan al-Quran serta mendapat pencerahan mengenai hal agama. "Kehendak dan keperluan orang buta dengan masyarakat normal sangat berbeza, jadi kerajaan dan masyarakat sepatutnya lebih sensitif. Mengapa tidak memberi peluang kepada OKU sendiri untuk menjadi tenaga pengajar kerana mereka lebih memahami apa diperlukan insan senasib mereka," katanya. Yang turut hadir Timbalan Dekan 2, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Dr Robiatul Adawiyah Mohd dan Penasihat Simposium Khidmat Ummah, Norakhyairee Mohd Raus.
Kursus Aplikasi Braille USIM
Pada majlis itu turut dilancarkan modul terbaru dinamakan 'eBraille Hijaiyyah' bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran asas al-Quran Braille. "Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di USIM adalah satu-satunya fakulti pada peringkat rantau Asia Tenggara menawarkan kursus wajib Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah bagi mendedahkan pelajar mengenai penggunaan braille terutama dalam membantu golongan OKU cacat penglihatan. "Menariknya, produk ini membolehkan pelajar menghafal kod braille Arab dan Jawi kerana braille yang ada di pasaran sekarang menggunakan sepenuhnya kod braille dalam bahasa Melayu. "Modul pula dihasilkan sendiri oleh pelajar fakulti ini menawarkan corak pembelajaran bersifat interaktif, iaitu mengenali huruf braille, teknik mempelajarinya sama ada dalam bentuk digit dan refleksi serta kuiz bagi menilai tahap penguasaan dan pemahaman mereka," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/151481
0 Komentar untuk " OKU terus terasing dalam fahami Islam "