KENYATAAN bahawa peranan bahasa Melayu untuk perpaduan sahaja dan bahasa Inggeris pula untuk kemajuan negara perlu ditolak. Peranannya sebagai alat perpaduan seperti dihasratkan dalam semua laporan pendidikan dan lain tidak pernah kesampaian. Dengan kata lain, ia tidak berjaya mendukung peranan itu. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila berseminya polarisasi kaum di sekolah, berterusan di institusi pendidikan tinggi dan kekal abadi di tempat kerja. Beberapa perkara didapati menyebabkannya gagal. Antaranya banyak pihak, khususnya kaum bukan Melayu yang tidak pernah menerimanya dalam peranan penting itu, tidak berikhtiar selain tidak mahu menguasainya untuk tujuan integratif.
Sebaliknya, bahasa Melayu hanya diketahui dan bukan pun dikuasai, atas sebab syarat wajib lulus dalam sistem pendidikan negara untuk pemerolehan sijil penuh dan perkhidmatan di sektor awam. Ia boleh dikatakan jarang sekali dipelajari kaum bukan Melayu bagi mengenali kaum Melayu dengan lebih dekat lagi selaku kelompok dominan untuk bergaul dengan mereka, dengan tujuan untuk seterusnya berpadu dan bergabung sebagai komuniti nasional. Oleh sebab sikap negatif ini, bahasa Melayu tidak pernah dipelajari sebagai alat perpaduan melainkan atas orientasi instrumental tadi. Dengan ini, ia gagal dalam peranan kenegaraan yang penting lagi utama dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan.
Bahasa Inggeris ambil peranan
Kini peranannya selaku bahasa rasmi pula mahu diambil alih bahasa Inggeris. Ia bukannya tidak mampu selepas berstatus bahasa saintifik moden yang memang layak pun memajukan negara kerana berupaya mengungkapkan sebarang hal dalam semua bidang ilmu. Namun, ia mahu digantikan juga dan dipersetujui pula kaum Melayu sendiri yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda, etnik dan leluhur. Ia mula digantikan melalui Program Dwibahasa, iaitu pendidikan mata pelajaran tertentu dalam bahasa Inggeris pada sebilangan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Dengan kedua-dua peranan bahasa negara yang tidak berhasil sebagai bahasa kebangsaan dan kurang menjadi selaku bahasa rasmi, wibawa bahasa Melayu sebetulnya terbantut dalam proses pembentukan negara bangsa yang bersatu dan maju pula.
Sehubungan ini, ia gagal membangkitkan sentimen nasional, nasionaliti dan nasionalisme untuk melahirkan rakyat yang terikat kuat dengan negara ini dari segi bahasa negaranya. Pada masa sama, ia juga gagal diterima sebagai bahasa yang mampu memberi kuasa sosioekonomi kepada rakyat walaupun selepas diiktiraf kerajaan. Dalam hal kegagalan ini, proses pembentukan negara bangsa yang membabitkan kuasa kerajaan untuk menyatu rakyat dan memajukan negara melalui penggunaan bahasa negara untuk membentuk komuniti nasional, perlu diakui terbentur. Komuniti nasional yang perlu dibentuk secara terancang oleh kerajaan melalui sistem pendidikan untuk generasi muda dan disasarkan dalam pelbagai program rasmi lain untuk golongan dewasa, tidak ghalib dilakukan.
Oleh itu pembentukan negara bangsa ini perlu dilakukan semula biarpun kita sudah lama membentuk negara pada 1957. Kita belum bersatu sebagai komuniti nasional yang berkongsi negara ini dari segi sama-sama mendukung sejarah, tradisi, budaya dan bahasa yang satu. Semua ini penting untuk komuniti nasional yang bakal diwujudkan itu kerana ia sisi positif patriotisme Malaysia.
Bahasa untuk semua
Lebih penting dalam kejayaan pembentukan komuniti nasional ini melalui bahasa Melayu ialah munculnya perasaan bertanggungjawab dalam kalangan semua untuk memastikan bahasa Melayu bahasa sepunya dalam kehidupan harian kita sebagai warganegara. Sosialisasi komuniti nasional melalui bahasa Melayu ini perlu memastikan pembudayaan lambang bahasa Melayu sebagai kebanggaan negara selain kemajuannya.
Dengan ini, bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahagian terutama dalam takrifan kita sebagai warganegara, sama ada ketika berada di dalam mahupun di luar negara, selain mengenai negara ini dalam semua konteks. Sudah sampai masanya kita mewujudkan formula negara, yang di dalamnya terkandung citra yang mahu kita anjurkan dalam kalangan semua untuk memupuk semangat patriotik. Sehubungan formula dengan citranya itu, bahasa Melayu hendaklah merupakan resmi utama dalam kelangsungan negara, iaitu bahasa Melayu perlu dikira sebagai ikut menyumbang dalam kemakmuran ekonomi melalui peranannya selaku wahana kemajuan, dan dalam kestabilan politik selaku wahana perpaduan.
* Penulis ialah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan EXCO Majlis Profesor Negara
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/146328
0 Komentar untuk " Bahasa Melayu penting demi kelangsungan "