Kebebasan tidak bersifat mutlak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kebebasan tidak bersifat mutlak

PADA minggu lepas saya menulis mengenai tentangan sesetengah pihak berhubung ceramah yang diadakan oleh Dr Zakir Naik. Isu ceramah Dr Zakir masih hebat diperkatakan di media arus perdana mahupun media alternatif. Pada kali ini, saya masih menulis berkaitan dengan ceramah beliau.

Namun saya tidak berhasrat untuk mengulas inti pati ceramah beliau kerana ia telah banyak diperkatakan oleh khalayak awam di pelbagai media. Saya juga tidak akan menjuruskan penulisan berkaitan pemelukan Islam beberapa individu bukan Islam selepas ceramah beliau. Sesungguhnya hidayah itu datang daripada ALLAH SWT dan ceramah Dr Zakir itu adalah penyebab kepada anugerah hidayah tersebut.

Apa yang saya ingin utarakan di ruangan ini ialah sifat tidak puas hati sebahagian orang Islam dan bukan Islam berhubung reaksi orang Islam bersatu dalam mempertahankan isu ceramah Dr Zakir.

Sesetengah golongan mendakwa umat Islam arus perdana baru sedar tentang hak asasi manusia berkaitan dengan kebebasan mengeluarkan pendapat apabila didesak agar ceramah Dr Zakir dibatalkan. Ia juga diakibatkan apabila Ketua Polis Negara pada awalnya membatalkan ceramah Dr Zakir di Melaka, namun kemudiannya membenarkan dengan tajuk ceramah diubah.

Bagi saya yang secara sendiri terlibat di mahkamah-mahkamah dalam kes-kes yang didakwa melibatkan kebebasan asasi ini, pandangan NGO  dan masyarakat Islam arus perdana adalah amat tuntas. Kebebasan itu bukanlah suatu yang tidak disempadani dengan batasan tertentu. Kebebasan bukanlah suatu yang mutlak. Ia mesti diamalkan mengikut lunas undang-undang dan menjaga keharmonian negara. Kebebasan tidak wujud sekiranya ia melanggar keluhuran Perlembagaan atau kedaulatan undang-undang.

Malah kebebasan juga tidak lunak diamalkan sekiranya ia menghina orang lain atau prejudis hak orang lain. Kebebasan adalah hak awam dan sekiranya terdapat percanggahan antara kepentingan awam serta kepentingan peribadi, kepentingan awamlah yang mengatasi.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan dalam Perkara 10 yang memperihalkan tentang kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan dengan jelas menerangkan bahawa sekatan-sekatan boleh dikenakan bagi tujuan menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.

Oleh itu dapatlah disimpulkan kebebasan yang dicanangkan dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri tidaklah bersifat mutlak. Selagi ia antara lain tidak menggugat ketenteraman awam  membuat fitnah atau seumpamanya ia mesti dibenarkan.

Berbalik kepada tentangan terhadap ceramah Dr Zakir yang didakwa menghina agama lain ataupun memutarbelitkan ajaran agama lain, saya sendiri telah meneliti banyak ceramah beliau di internet dan media lain. Saya tidak mendapati bahawa beliau menghina mana-mana agama lain. Apa yang diseru oleh beliau adalah merujuk kepada kitab-kitab suci semua agama berkenaan. Sekiranya beliau salah mengutip ayat-ayat dalam kitab suci agama lain tampillah perbetulkan beliau.

Apa yang menariknya beliau sendiri mengajak orang bukan Islam sekiranya mahu memahami ajaran Islam rujuklah kepada al-Quran dan Hadis sahih, jangan sesekali merujuk kepada orang Islam yang tidak menjadi autoriti kepada sumber Islam. Begitu jugalah keadaannya jika ingin mengkaji agama Kristian mestilah merujuk kepada Bible, agama Hindu kepada Vedas dan kitab-kitab lain, sama juga keadaannya untuk agama Buddha, Yahudi dan lain-lain.

Merujuk kepada kitab asal sesuatu agama bukanlah suatu penghinaan walaupun dikatakan para pendukung agama berhak mentafsirkan kitab-kitab itu sendiri. Namun tiada penjelasan yang ditawarkan bagaimana pentafsiran berlawanan itu terpakai dalam amalan agama tertentu.

Mengatakan bahawa umat Islam arus perdana baru sedar tentang peri pentingnya kebebasan bersuara ini adalah suatu yang sangat janggal. Umat Islam arus perdana telah lama menjuarai kebebasan bersuara kerana ia sangat sebati dalam ajaran Islam. Sebab itulah dalam Islam terdapat perbezaan pandangan dalam perkara furu’ yang menyebabkan terbentuknya empat mazhab fiqh yang utama.

Namun dalam berbeza pandangan umat Islam menekuni adab dan sopan-santun, sedar akan batasan perbezaan tersebut dan tidak berbeza dalam perkara yang asas. Apatah lagi tidak mendatangkan kegusaran atau penghinaan kepada pihak yang berada di posisi berlawanan. Tiada kebebasan bersifat mutlak, kebebasan mempunyai batasan yang perlu diinsafi.



* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Kebebasan tidak bersifat mutlak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ