Tingkat penggunaan domestik tangani harga getah rendah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tingkat penggunaan domestik tangani harga getah rendah

MESYUARAT Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) membabitkan tiga negara pengeluar utama getah dunia iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia pada akhir tahun lalu sepakat mengambil langkah bersama bagi menangani isu harga getah yang rendah. Keputusan pada mesyuarat di Jakarta, pada 3 Disember 2015 itu ialah untuk meningkatkan penggunaan getah secara domestik di ketiga-tiga negara berkenaan. Antaranya, melalui pembinaan jalan dan jaringan pengangkutan seperti pembinaan jalan berturap getah yang akan menggunakan 300,000 tan getah untuk tempoh lima hingga 10 tahun mulai tahun ini. Dengan meningkatkan penggunaan getah secara domestik di ketiga-tiga negara utama pengeluar getah, ia akan meningkatkan permintaan terhadap getah, sekali gus akan menstabil harga komoditi berkenaan secara automatik. Apa yang menarik, melalui pembinaan jalan berturap getah yang menggunakan teknologi campuran getah dalam sebatian bitumen itu, akan menjadikan jalan raya lebih kuat dan tahan lebih lama. Jalan yang menggunakan kira-kira 4.2 tan getah beku bagi setiap kilometer(km) itu juga dikatakan lebih selamat kerana ia membantu meningkatkan cengkaman tayar kenderaan.

Bina jalan raya guna getah 

Dengan pelbagai kelebihan itu, maka tidak hairanlah Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Mohd Akbar Md Said, pada awal Februari lalu, mengumumkan bahawa Malaysia sudah bersedia mengguna getah untuk pembinaan jalan negeri sepanjang kira-kira 1,000km mulai tahun ini. Kerajaan juga menggalakkan penggunaan komponen infrastruktur yang dapat membantu merangsang permintaan getah seperti penggunaan galas seismik beredaman tinggi untuk digunakan di kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi seperti di Sabah. Selain itu, penggunaan getah sebagai pelapik galas iaitu antara tiang dan landasan dalam pembinaan transit aliran massa (MRT). Semuanya untuk meningkatkan penggunaan getah pada peringkat domestik dengan kerajaan tidak berhasrat untuk mengimport produk getah tetapi mahukan ia dihasilkan secara tempatan untuk industri tempatan.


BEBERAPA pekerja sedang menyusun gumpalan getah termaju Ekoprena.

Tayar celup berteknologi hijau. 

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) LGM, Dr Zairossani Mohd Nor, berkata satu lagi inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan penggunaan getah pada peringkat domestik ialah menggalakkan penggunaan tayar celup berteknologi hijau. Beliau berkata, tayar celup mesra alam berasaskan Ekoprena itu membolehkan tayar yang bunganya sudah haus, akan dicelup untuk menghasilkan tayar dengan bunga baharu. "Bagi setiap penghasilan tayar celup lori atau bas berteknologi hijau, ia akan menggunakan kira-kira 15 kilogram(kg) bahan getah. "Statistik pada 2014 sahaja menunjukkan sebanyak 1.2 juta tayar celup digunakan di Malaysia. Oleh itu, bayangkan berapa banyak getah yang boleh digunakan untuk penghasilan tayar celup berteknologi hijau ini," katanya. Sehubungan itu, Zairossani berkata, pada masa ini LGM sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta terutama membabitkan syarikat pengangkutan awam untuk menjalankan penyelidikan ke atas penggunaan tayar celup yang mesra alam. Beliau berkata, pihaknya sudah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Prasarana Malaysia Bhd (PRASARANA) bagi membolehkan 120 bas Rapid KL yang beroperasi di Lembah Klang menggunakan tayar celup berteknologi hijau sehingga 2017.

Katanya, LGM juga menandatangani MoA dengan Nadicorp Holdings Sdn Bhd untuk membekalkan 500 tayar celup bagi kegunaan bas ekspres Konsortium Transnasional Bhd (KTB), anak syarikat Nadicorp, untuk tempoh tiga tahun sehingga 2018. "Setakat ini, kajian yang dijalankan menunjukkan penggunaan tayar celup mesra alam ini mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya. "Apa pun yang penting kepada kami ialah ia adalah satu cara untuk meningkatkan penggunaan getah tempatan," katanya. Kedua-dua projek kerjasama itu adalah antara usaha di bawah Projek Permulaan (EPP) 4: Mengkomersialkan Ekoprena dan Pureprena dalam program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).


GUMPALAN getah termaju Ekoprena. 

Kurangkan kos tayar Selain itu, Zairossani berkata, kajian Prasarana mendapati penggunaan tayar celup mesra alam itu dapat mengurangkan kira-kira 20 peratus kos tayar bagi setiap km. Katanya, dengan pengurangan kos tayar itu, maka jarak penggunaan sesuatu tayar dapat dipertingkatkan. "Sebagai contoh, satu tayar biasa boleh digunakan sehingga 20,000km tetapi dengan penggunaan tayar celup mesra alam, mungkin jarak penggunaannya dapat ditingkatkan sehingga 24,000km. Oleh itu, mereka mendapat tambahan sebanyak 4,000km. "Jika hanya pakai satu tayar mungkin tidak begitu terasa kelebihannya, tetapi bayangkan berapa banyak tayar yang digunakan oleh Rapid KL. "Oleh itu, dengan penggunaan tayar celup mesra alam ini, Prasarana mampu menjimatkan puluhan juta dalam setahun," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/141697
0 Komentar untuk " Tingkat penggunaan domestik tangani harga getah rendah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ