Lebih cepat bertindak daripada berfikir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lebih cepat bertindak daripada berfikir

Pepatah Melayu menyebut 'kalau tidak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang'. Walau apa pun maksudnya, pepatah itu secara jelas adalah satu intepretasi merujuk kepada konsep persepsi atau sangkaan yang wujud dalam fikiran atau hati manusia. Bijaknya orang Melayu dalam menyampaikan maksud tersirat dalam sesuatu konsep ini memang sesuatu yang luar biasa. Ia menjadi bukti yang daya pemikiran bangsa Melayu sebenarnya melangkaui perkara, isu, konsep dan keadaan. Dalam menyentuh soal persepsi misalnya, bangsa Melayu memiliki cara berfikir tersendiri atau prosedur piawai bagi mendapat kepastian apabila menerima sesuatu berita atau maklumat yang dijelmakan dalam bentuk pepatah atau peribahasa. Prosedur tidak formal ini sudah lama mengajar orang Melayu untuk mencari kesahihan dan kebenaran sesuatu perkara yang diterima dan tidak terus menerima secara membuta tuli menerusi peribahasa 'kelam disigi, lekung ditinjau' dan 'tinggi disigai, besar ditebang'. Peribahasa Melayu ini mengajar bangsa Melayu untuk lebih berhati-hati dan teliti dalam menilai, mendiagnosis dan memahami sesuatu berita atau perkara, bukan terus mempercayainya tanpa menyiasat dan mengkaji terlebih dahulu.

Tapis maklumat diterima 

Apabila sudah hampir jelas khabar yang diterima, bangsa Melayu tetap perlu melalui prosedur penting iaitu menapis maklumat diterima sama ada sahih atau sebaliknya agar tidak timbul persepsi atau buruk sangka apatah lagi fitnah. Maka, timbul pepatah berbunyi 'ada udang di sebalik batu', 'tidak tumbuh tidak melata, tidak sungguh orang tidak mengata' dan 'ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan'. Kebijaksanaan terselindung membantu bangsa Melayu menjadi bangsa yang berhikmah dalam berfikir, berkata dan bertindak. Malangnya dalam dunia moden hari ini yang mana kehidupan manusia sudah dilingkari dengan kecanggihan gajet komunikasi, diasak pula dengan gelombang media sosial dan internet tanpa had, manusia semakin hilang kewarasan dan pertimbangan akal untuk membezakan antara fakta dengan auta. Kecanggihan teknologi maklumat (IT), gajet dan medium komunikasi khasnya menerusi media sosial hari ini menyebabkan manusia sering terperangkap dalam 'jaring persepsi' sama ada secara sedar atau tidak dan hilang pertimbangan fikiran dalam berfikir dan bertindak.

Timbulkan implikasi negatif 

Pengaruh komunikasi menerusi media sosial menjadikan manusia lebih cepat bertindak daripada berfikir sehingga menimbulkan implikasi negatif ke dalam hidup diri, orang sekeliling dan masyarakat. Apatah lagi apabila bahang politik negara ini tidak pernah padam dan reda, maka persepsi akhirnya menjadi raja di dalam pemikiran serta sanubari manusia. Lazimnya, persepsi akan disusuli dengan kata-kata nista dan cercaan daripada khalayak masyarakat media sosial. Mereka kadang-kadang tidak arif atau tahu apa isu sebenar yang tersebar (viral) dan siapa watak menjadi mangsa dalam serangan persepsi ini. Akan tetapi disebabkan terlalu ghairah untuk 'mengulas' maka, semakin tersebar persepsi dalam masyarakat. Hari ini, persepsi negatif bukan sahaja melanda dalam perspektif politik dan pentadbiran semata-mata, bahkan tingkah laku manusia, peristiwa suka duka, rakaman gambar yang tiada kena mengena dengan hidup kita termasuk coretan di media sosial turut menjadi mangsa bahana persepsi.

Masyarakat mudah terpengaruh 

Soalnya, mengapa masyarakat hari ini, tidak terkecuali dengan umat Islam, mudah terpengaruh dan hanyut dalam gelombang persepsi yang tersebar menerusi media sosial dan internet hari ini. Boleh dikatakan keganasan persepsi ini umpama gelombang lautan yang adakala nampak tenang di permukaan tetapi bergelora di dalam. Fenomena ini digambarkan oleh Setiausaha Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hassan Mad sebagai 'peperangan bentuk baharu' yang mana pihak kuat sedang mengganas dan pihak lemah menjadi mangsa. Beliau membangkitkan persoalan siapakah pihak yang kuat dan siapa pula yang lemah dalam keganasan persepsi yang melanda negara ketika ini. "Dalam konteks persepsi, ia dilabel sebagai keganasan bentuk baharu. Kita tidak pernah terfikir persepsi ini boleh menjadi ganas. "Jika ia adalah keganasan, siapa yang menjadi mangsa keganasan persepsi? Sudah tentu mereka yang lemah dari sudut jati diri dan semangat jiwanya," jelasnya dalam wacana Bicara Persada bertajuk 'Keganasan Persepsi: Cabaran Terhadap Perpaduan Ummah' di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini. Wacana anjuran bersama Fakulti Pengajian Islam UKM dan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMM, Nasharudin Mat Isa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Setiausaha Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Dr Noor Aziah Mohd Awal; dan Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar UKM, Muhammad Farhan Khairuddin adalah ahli panel wacana. Jelas Hassan lagi, hari ini yang menjadi mangsa keganasan persepsi ialah yang golongan yang lemah dan pada pendapatnya, ia merujuk kepada orang Melayu yang juga penganut agama Islam terbesar di negara ini. Sambil melahirkan kebimbangannya yang orang Melayu dan Islam menjadi mangsa keganasan persepsi, beliau turut mendedahkan apa yang berlaku ketika ini menunjukkan ada pihak atau bangsa lain yang 'lebih kuat' sedang berusaha merosakkan orang Melayu. "Kalau keganasan persepsi ini disasarkan kepada bangsa Melayu, bagaimana kita hendak lindungi dan pertahankan bangsa ini. Tindakan perundangan bukan satu langkah berkesan dan bukan satu proses mudah.

Persepsi sangat subjektif sifatnya. 

Jika diheret ke mahkamah, ia akan mengambil masa lama. "Bermakna, usaha menguatkan jati diri orang Melayu perlu digerakkan bagi membolehkan mereka menempuh arus dan keganasan persepsi selain mengelak menjadi sasaran pihak yang mahu melemahkan mereka," katanya. Perkuat jati diri ummah Hasan menggariskan tujuh perkara yang perlu digerakkan bagi melindungi dan pada masa sama menguatkan jati diri ummah untuk berdepan keganasan persepsi ini iaitu membina kekuatan iman, perlu bijaksana, berfikir sebelum bertindak, mampu mengawal emosi, sentiasa berfikiran rasional, berpegang kepada nilai murni atau mahmudah dan meninggalkan segala sifat keji atau mazmumah. Dalam aspek perlu bijaksana, beliau mendedahkan majoriti bangsa Melayu yang terperangkap dalam keganasan persepsi ini adalah mereka yang termasuk dalam golongan bijak pandai tetapi tidak cukup bijaksana untuk menilai maklumat yang diterima. Masyarakat perlu menapis maklumat yang diterima ketika menggunakan media sosial bagi mengelak sebarang implikasi negatif. Hal terjadi kerana golongan ini mempunyai tahap emosi yang tinggi tetapi paras rasionalnya rendah sehingga terjerumus ke dalam kancah keganasan persepsi. "Justeru, orang Melayu bukan hanya perlu bijak pandai, tetapi perlu bijaksana bila berdepan keganasan persepsi. Kita perlu tinggi sifat rasional dan rendahkan tahap emosi, barulah kita boleh berfikir sebelum bertindak. Bukan bertindak tanpa berfikir.

Berfikir sebelum bertindak 

"Sebelum kita viral (sebarkan) apa yang diterima dalam Whatsapp, fikir dahulu, jangan terus bertindak. Untuk jadi kuat, kita perlu berfikir sebelum bertindak. Analisis terlebih dahulu dan sentiasa amalkan sikap berbaik sangka," jelas beliau lagi. Sementara itu, Farhan berpendapat keganasan persepsi yang melanda hari ini adalah pertembungan yang bukan berkisar kepada persoalan siapa benar dan siapa salah. Sebaliknya ia adalah permainan yang dimonopoli golongan majoriti, yang akhirnya melenyapkan tanggapan kumpulan minoriti. Katanya, apabila persepsi ini diulang-ulang dan disebarkan dengan agresif, lama-kelamaan ia akan dianggap betul oleh golongan minoriti sedangkan perkara yang disebarkan itu belum pasti lagi kebenarannya, sambil merujuk kepada tindakan segelintir pendeposit Tabung Haji (TH) mengeluarkan simpanan mereka kerana terpengaruh dakwaan kononnya TH akan muflis. "Kadang-kadang, kita menyangka sedang berada dalam kumpulan yang benar apabila terikut-ikut dengan persepsi ditimbulkan sehingga kita enggan lagi menerima penjelasan terdapat kebenaran di dalamnya. "Kita juga menganggap diri kita sebagai hero kepada isu yang timbul. Kita berasa kita paling bijak dah hebat. Ini masalah kita dalam berdepan keganasan persepsi. Kita tidak mahu mencari maklumat, memahami isu dan apa fakta sebenar. Kita hanya mahu jadi komentar. Ini kelemahan kita," katanya. Justeru, sebagai mewakili golongan muda, beliau menyarankan pihak pembuat dasar khasnya dalam bidang pendidikan agar menerapkan lebih banyak elemen positif dan murni yang diambil daripada nilai Islam bagi membina serta mengukuhkan jati diri generasi akan datang.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/141296
0 Komentar untuk " Lebih cepat bertindak daripada berfikir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ