Inovasi mahkamah syariah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Inovasi mahkamah syariah

BELENGGU kes tertunggak di mahkamah syariah sudah mula dapat dirungkaikan dengan pelbagai inovasi untuk menyelesaikan kes secara cepat dan tepat. Selain daripada mediasi atau sulh yang menyelesaikan pertikaian pihak-pihak secara persetujuan bersama terdapat pelbagai inovasi yang dilakukan di mahkamah-mahkamah syariah.

Di Terengganu, Mahkamah Syariah yang diketuai oleh Yang Amat Arif Tuan Wan Mohd Zakri Wan Mohd telah sangat maju dalam sulh dan mediasi. Terengganu menjadi antara mahkamah syariah yang paling berjaya menerapkan konsep mediasi dalam sulh atau penyelesaian kes secara baik.

Apabila kes diselesaikan dengan baik melalui persetujuan ia juga menjimatkan masa semua pihak yang terlibat termasuk mahkamah. Malah pegawai-pegawai sulh dan kakitangan Mahkamah Syariah Terengganu hampir kesemuanya telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam bidang mediasi, sama ada di peringkat asas ataupun lanjutan. Tidak hairanlah Mahkamah Syariah Terengganu mampu mengaplikasikan kemahiran mediasi di dalam proses sulh di sana.

Di samping itu Mahkamah Syariah Terengganu juga telah memperkenalkan enam program inovasi mereka berkisar antara lain tentang kemudahan pemberian nafkah, penghantaran saman dan perintah serta waran tangkap. Empat daripada inovasi tersebut telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Di Pulau Pinang Mahkamah Syariahnya memperkenalkan E-SIAP dan I PINTAS. E SIAP (Electronic- Syariah Instant Access Procedure) membolehkan pihak-pihak memfailkan dokumen mereka melalui komputer yang disediakan dan penyelesaian kes yang mempunyai persetujuan antara kedua pihak hanya akan mengambil masa sehari. I PINTAS (Integrated Procedure of Inquisitorial Access System) pula berfungsi sebagai prosedur bersepadu menambah baik bagi menyelesaikan masalah kelewatan perbicaraan kes yang melibatkan prosiding perbicaraan sebelah pihak.

Di Selangor, diperkenalkan kes Fast Track di mana kes perceraian boleh diselesaikan dalam tempoh enam jam bekerja setelah difailkan. Berbanding sebelum ini kes-kes sebegini hanya boleh diselesaikan berbulan-bulan kini boleh disempurnakan dalam enam jam bekerja sahaja bagi kes-kes yang tidak mempunyai pertikaian yang rumit.

Terbaharu di Mahkamah Syariah Perak pula memperkenalkan My Solve di mana kes perceraian seperti di atas boleh diselesaikan dengan cepat  di atas talian sahaja menggunakan aplikasi android. Aplikasi ini terpakai bagi kes persetujuan perceraian dan lafaz cerai sahaja.

Pihak mahkamah akan memberi maklum balas dalam tempoh tiga hari dan hanya setelah selesai di talian pihak-pihak bolehlah memfailkan dokumentasi perceraian mereka di mahkamah syariah dan diselesaikan pada hari yang sama. Hal yang demikian amatlah menarik kerana teknologi terkini digunakan bagi manfaat rakyat biasa. Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat, mahkamah syariah juga wajar menggunakannya bagi melancarkan prosiding mahkamah.

Kesemua inovasi ini bertujuan mempermudah kes perceraian diselesaikan. Dengan cara itu pihak-pihak bolehlah memulakan hidup baru mereka tanpa lagi terikat dengan gerbang perkahwinan yang telah hancur itu. Pihak-pihak khususnya wanita pula boleh menumpukan perhatian mereka kepada kes-kes lain pula seperti hak jagaan anak, nafkah edah, nafkah anak, mutaah dan harta sepencarian.

Namun sudah lumrah terdapat juga segelintir pihak yang terus mempertikaikan sebarang usaha dibuat mahkamah syariah dalam melepaskan diri mereka dari himpunan kes-kes tertunggak. Ada di kalangan orang Islam sendiri mendakwa inovasi seperti ini hanya akan menggalakkan pasangan Islam bercerai dan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam akan naik mendadak. Perlulah difahami bahawa apa yang diusahakan bukanlah menggalakkan perceraian tetapi dalam kes-kes perceraian, penyelesaian kes tersebut perlulah disegerakan bagi mengelakkan ketidakadilan berlaku kepada pihak-pihak yang berguam di mahkamah syariah.

Memanglah perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci ALLAH SWT. Ia seelok-eloknya dapatlah dihindarkan, namun jika perceraian merupakan satu-satunya jalan yang ada, ia tidak dapat dielakkan.  Dalam keadaan ini ia hendaklah disegerakan kerana khuatir akan mendatangkan kezaliman kepada pihak yang berkenaan.

Walaupun mahkamah syariah telah banyak berubah berbanding dengan dua  dasawarsa yang lalu, namun hakikatnya masih ramai yang menganggap mahkamah syariah masih berada di era lapan puluhan lagi. Perkembangan mahkamah syariah seolah-olah tidak bernilai untuk diikuti dan hanya menjadi medan untuk dikritik jika berlaku aduan orang ramai. Sebagaimana mahkamah syariah berusaha untuk berlaku adil kepada pihak-pihak yang hadir di mahkamah, kita juga sepatutnya berlaku adil kepada mahkamah syariah dalam menilai operasi yang dijalankan oleh mereka.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

0 Komentar untuk " Inovasi mahkamah syariah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ