Veena Hijab: buka peluang perniagaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Veena Hijab: buka peluang perniagaan

CARABELLA Creations, pengeluar tudung premium dan eksklusif jenama Veena Hijab membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi stokis, ejen jualan dan dropship di seluruh negara.

Pengasas Veena Hijab, Lenny Juvena Azmi berkata, ia bagi mengukuhkan jenamanya di pasaran tempatan, untuk mencapai sasaran jualan 200,000 unit tudung sebulan.

"Buat masa ini, kami mempunyai 30 ejen Veena Hijab di Semenanjung Malaysia dan Brunei. Kami berhasrat mencari lebih ramai stokis, ejen dan dropship bagi mengembangkan perniagaan.

"Veena Hijab turut dijual menerusi laman sosial Facebook dan Instagram, selain menggunakan platform pasaran dalam talian seperti Lazada, Zalora dan 11streets.

"Tudung kami juga boleh didapati di butik vendor di Shah Alam," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Shah Alam, baru-baru ini.

Menyentuh tentang minat dalam bisnes tudung, Lenny Juvena yang lebih dikenali sebagai Veena berkata, dia mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya sendiri yang merupakan seorang tukang jahit.

“Masa umur 10 tahun, saya sudah mampu menjahit baju kurung sendiri. Jadi, minat dalam bidang fesyen ini memang tersemai sejak kecil, tetapi hanya sekarang baru terlibat secara aktif,” kata anak kelahiran Butterworth ini.

Lancar tiga koleksi baharu

Veena berkata, sejak penjenamaan semula dilakukan pada tahun lalu, Veena Hijab mempunyai tiga koleksi baharu, iaitu Iris Gramenia Exclusive Semi-Instant Shawl, Camellia Vernalis Premium dan Freesia Premium Pinless Shawl, yang dijual pada harga antara RM79 hingga RM199.

"Veena Hijab mempunyai 41 pilihan warna tudung untuk semua koleksi. Setiap koleksi kami mempunyai perincian manik yang diimport dari Jepun dan menggunakan fabrik dari Jakarta dan Korea.

"Untuk koleksi Freesia, ia adalah tudung eksklusif yang terhad di pasaran kerana hanya dikeluarkan 500 helai sahaja," katanya.

Veena berkata, koleksi Iris paling mendapat sambutan. Bukan sahaja menampilkan rekaan eksklusif serta evergreen, malah menampilkan penataan manik halus yang dijahit menggunakan tangan yang berkualiti tinggi untuk menambahkan keanggunan si pemakai.

“Iris adalah tudung dari koleksi Veena Hijab yang paling mendapat sambutan kerana mampu menyerlahkan aura serta penampilan yang berbeza, serta membangkitkan keayuan dan seri wajah,” katanya.

Beliau berkata, tudung yang dihiasi dengan kreativiti jahitan tangan manik akrilik yang diimport khas dari Jepun itu juga memakan masa lebih kurang 7 hingga 9 jam untuk disiapkan.

“Tudung ini dijahit pakar yang sangat mahir dan arif berdasarkan pengalaman, menjahit manik untuk menghasilkan mutu jahitan yang berkualiti.

“Manik halus yang berbentuk selinder ‘batang pasir’ tidak dijual di negara ini, sesuai dipakai untuk apa-apa jenis majlis rasmi, formal mahupun ke pejabat dan secara kasual mengikut padanan pakaian,” katanya.

Teroka pasaran luar negara

Pada tahun ini, kata ibu kepada dua cahaya mata itu, Veena Hijab mengintai peluang untuk meneroka pasaran Brunei dan Singapura, menerusi stokis yang dilantik.

Menyedari persaingan dalam bisnes tudung ini sangat sengit, namun Veena tetap yakin jenama hijabnya akan berjaya seperti jenama lain dengan kerja keras dan sokongan daripada pelanggan setia.

"Carabella Creations turut mengalu-alukan sesiapa yang berminat melabur dengan Veena Hijab sebagai suntikan modal untuk syarikat ini meluaskan pasaran," katanya.

Sempena Aidilfitri ini, Veena Hijab bakal mengeluarkan dua koleksi baharu edisi terhad iaitu Iris Grand Premium dan Camellia Royal Premium yang mula dijual pada Ramadan pertama.

"Untuk menjaga eksklusif tudung ini, kami hadkan pengeluaran kepada 200 unit bagi setiap koleksi sempena raya ini," katanya.

0 Komentar untuk " Veena Hijab: buka peluang perniagaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ