Usah kecewa jika tak dapat penghargaan manusia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usah kecewa jika tak dapat penghargaan manusia

Manusia yang memiliki sifat suka menghargai akan mempunyai naluri menyayangi apa sahaja yang dimiliki dan mampu memberi penghargaan kepada orang lain dengan memberi pujian dan galakan kepada mereka. Melalui program Islam Itu Indah setiap Rabu, jam 10.30 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita supaya lebih bersyukur terhadap apa yang kita miliki dan berusaha dengan ikhlas untuk merebut keredaan Allah SWT. Manusia yang memiliki sifat suka menghargai akan mempunyai naluri menyayangi apa sahaja yang dimiliki. Melalui program Islam Itu Indah setiap Rabu, jam 10.30 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita supaya lebih bersyukur terhadap apa yang kita miliki. Beliau menceritakan kisah Imam Sufyan al-Thauri seorang ulama terkenal yang memberi layanan luar biasa terhadap Imam Abu Hanifah yang datang menziarahinya. Apabila ditanya kenapa beliau begitu menghormati Imam Abu Hanifah, beliau memberikan empat alasan. Katanya, Imam Abu Hanifah dihormati kerana ilmu, akhlak, usia dan peribadinya.

Ilmu, akhlak paling berharga 

Harga diri bukan terletak kepada barangan, tetapi kualiti diri dari segi ilmu dan akhlak. Kedua, hanya orang yang memiliki harga diri sahaja mampu menghargai orang lain sedangkan orang yang tidak memiliki harga diri tidak akan mampu menghargai orang lain. Hari ini kita lihat ada orang yang menghina dan merendahkan orang lain termasuk dalam media sosial. Itu sebenarnya perlambangan kepada rasa rendah diri orang itu. Baginda SAW menunjukkan contoh teladan yang tinggi dalam menghargai dan memuji orang lain. Baginda SAW bersabda: "Sahabatku ibarat bintang di langit."

Beri gelaran baik 

Baginda turut memberi gelaran yang baik seperti 'Pedang Allah' dan 'Singa Allah' kepada sahabat sebagai menghargai mereka. Isterinya Saidatina Aisyah digelar 'Humaira' bahkan Baginda SAW menghargai makhluk lain seperti binatang serta pedang, dengan memberi nama sebagai menunjukkan penghargaan. Nabi SAW mampu memberi penghargaan kepada orang lain kerana Baginda SAW memiliki harga diri yang paling tinggi. Walaupun Baginda dituduh dengan pelbagai tuduhan seperti orang gila, ahli sihir, namun ia tidak melemahkan atau menjejaskan peribadi Baginda. Seorang pemimpin hendaklah sentiasa menghargai orang bawahan dengan memberikan pujian dan galakan kepada mereka.

Selain menghargai orang lain, kita juga hendaklah bersyukur dengan pekerjaan yang dimiliki kerana ramai di luar sana yang masih menganggur. Contohnya, seseorang yang syukur memperoleh pekerjaan akan menghargai tugas dan tanggungjawab diamanahkan, membuatkan dia bekerja dengan lebih tekun, bersungguh-sungguh serta berdedikasi. Namun, bagi orang yang tidak menghargai pekerjaan atau kurang nilai syukur terhadap rezeki Allah SWT berikan, tidak akan berusaha untuk memperbaiki mutu pekerjaan. Bahkan, ada juga yang tidak melaksanakan amanah diberikan itu sebaik mungkin. Begitu juga jika kita mempunyai nilai penghargaan yang tinggi kepada diri, kita akan menjaga kesihatan tubuh badan untuk mengelak penyakit yang boleh menjejaskan diri serta ibadah kepada Allah SWT. Nilai penghargaan penting kerana orang yang menilai ilmu dimiliki akan mengamalkan serta berkongsi dengan orang lain. Dengan cara itu ia dapat memberi manfaat kepada orang lain kerana kurniaan yang tidak dimanfaatkan akan menjadi sia-sia.

Ilmu pendukung dakwah Islam 

Ilmu serta kefahaman terhadap ajaran Islam akan menjadi pendukung terhadap dakwah Islam yang murni. Namun jika tidak menghargai ilmu dimiliki dengan cara mengamalkannya dalam kehidupan, ia tidak dapat diteladani atau dimanfaatkan oleh orang lain. Hakikatnya, dalam kehidupan ini apa sahaja usaha dan perbuatan baik jangan sesekali dilakukan hanya kerana manusia semata-mata kerana sifat manusia itu tidak sempurna. Tetapi andai ada yang memuji, anggap ia sebagai penghargaan. Andai usaha dilakukan tidak mendapat sebarang pujian, jangan sesekali susah hati atau kecewa kerana penghargaan yang tertinggi untuk direbut adalah penilaian daripada Allah SWT.

Penulis ialah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMFM

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/139391
0 Komentar untuk " Usah kecewa jika tak dapat penghargaan manusia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ