Siapa syaitan sebenarnya? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa syaitan sebenarnya?

ISLAM dalam erti kata yang luas bermakna selamat dan sejahtera. Sejarah membuktikan, jarang sekali umat Islam mengasari atau menzalimi bukan Islam selagi mana mereka tidak memulakan. Jika adapun yang bertindak balas, semata-mata untuk mempertahankan diri daripada ancaman musuh. Itulah hakikat Islam. Penuh hikmah.

Bukan Islam boleh hidup senang-lenang dalam sebuah negara Islam, malah kekayaan mereka berlipat ganda berbanding Peribumi, seperti di Malaysia. Begitu juga rumah ibadat mereka. Namun, Islam tidak pernah mendapat hak yang sama apabila berada di negara bukan Islam. Saban hari ada sahaja yang dikasari, dizalimi dan dibunuh.

Maka tidak hairanlah Islam agama yang begitu cepat berkembang dan mendapat sambutan meskipun dimomokkan dengan imej negatif. Perkara ini amat dicemburui musuh Islam.

Terbaharu, jelajah Dr Zakir Naik, bermula di Terengganu, ditentang oleh bukan Islam, sehingga ada kalangan pemimpin kita yang menjadi kecut dan menggelabah, dengan memberi bermacam-macam alasan seperti beliau datang atas kapasiti sendiri, dengan kos sendiri. Kenapa kita perlu takut? Telur letak di mana? Jawab sahaja, kami jemput dia, sebab dia bercakap benar dan orang hebat. Kenapa berdolak-dalik?

Kenapa menjadi begitu apologetik? Apa hak bukan Islam untuk campur tangan urusan agama kita, sedangkan kita tidak pernah mencampuri urusan mereka walaupun kadangkala mengganggu?

Pernahkah kita bising dengan asap colok dan lautan manusia setiap kali tiba musim perayaan mereka sehingga sesak bandar raya? Ultra kiasu melabel Dr Zakir sebagai syaitan. Siapa syaitan sebenarnya?

Saya mengikuti syarahan Dr Zakir di laman sosial. Tidak pernah sama sekali beliau menghina agama lain. Yang ada, beliau hanya mengajak semua penganut agama menghayati agama masing-masing, berpandukan sumber asal, tanpa ditokok tambah. Hari ini banyak agama telah sesat. Kenapa berasa terancam?

Dr Zakir selalu mengulangi, beliau akan menjadi lebih Kristian daripada Kristian, jika orang Kristian tidak menyembah Nabi Isa atau mengakui Baginda anak Tuhan, yang tidak pernah disebut dalam Injil. Malah dalam Injil dan Hindu, begitu jelas mengharamkan arak, babi, zina, judi dan sebagainya. Kenapa penganut agama hari ini mengamalkan apa yang diharamkan dalam agama mereka?

Pendek kata, program realiti DrZakir, termasuk Peace TV, sarat dengan ilmu. Tidak boleh disamakan dengan program realiti Malaysia, yang lebih kepada mencari penyanyi dan pelawak agama.

Kami ingin mengingatkan bukan Islam negara ini; pertama, jangan campur tangan dalam urusan agama kami. Islam adalah Agama Persekutuan. Keistimewaan Islam mesti diiktiraf oleh semua warga Malaysia. Yakinlah, kerana Islamlah, kamu berada dalam keadaan selamat di negara ini. Ajaran Islam telah mendidik dan melembut hati Melayu untuk menerima bukan Islam di negara ini, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara lain. Bilangan yang diterima begitu ramai. Kenapa tidak disyukuri nikmat ini sehingga menjadi sangat ultra kiasu.

Kedua, kami tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal agama bukan Islam. Pernahkah kami ambil tahu atau pergi masuk ke dalam rumah ibadat dan kuil-kuil mereka serta menyiasat apa yang ada di sana. Jawabnya tidak, kerana kita terlalu bersangka baik. Di India, kutipan atau derma kuil dipantau oleh kerajaan dan boleh menjadi hak milik kerajaan.

Ketiga, Dr Zakir seorang yang diiktiraf bukan hanya peringkat nasional tetapi antarabangsa. Malaysia turut mengurniakan kepada beliau Tokoh Maal Hijrah 2013. Soal beliau tidak dibenarkan masuk ke beberapa negara seperti Singapura, itu adalah perkara biasa. Saya pun tidak dibenarkan masuk ke sana.

Keempat, yang pelik bin ajaib di negara India, yang penduduk seratus peratus berbangsa India, Dr Zakir tidak menghadapi apa-apa masalah. Beliau bebas berceramah dan keluar masuk televisyen. Kenapa populasi bukan Islam  yang begitu sedikit di sini begitu takut. Adakah dengan ceramah tersebut hak mereka terabai? Tidak juga. Malah semakin terbela dan bertambah haknya. Tengoklah apa yang berlaku di Sarawak.

Kelima, sebenarnya ada yang berasa takut agama mereka terancam. Ramai yang memeluk agama Islam selepas berdialog dengan Dr Zakir. Dr Zakir hanya menceritakan perkara benar. Asal-usul agama besar di dunia ini tidak menyembah berhala. Siapa yang berani menafikan fakta ini?

Keenam, jika tidak bersetuju dengan Dr Zakir, berdebatlah dengan beliau. Saya amat yakin beliau akan menerima dengan penuh hikmah. Mengaku sahaja, tidak ada seorang tokoh agama di dunia ini yang boleh menghafal kitab mereka, kecuali agama Islam. Jika ditakdirkan semua kitab agama besar dunia dimusnah atau dicampak ke laut, saya pasti semua agama akan musnah dan hilang, kecuali Islam kerana walaupun al-Quran tidak berada di tangan, al-Quran akan tetap terpahat dalam minda para ulama dan para huffaz. Al-Quran boleh ditulis balik seperti sedia kala.

Justeru, jangan diuji kesabaran umat Islam kerana kesabaran mereka ada had.

0 Komentar untuk " Siapa syaitan sebenarnya? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ