Reformasi radikal pendidikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Reformasi radikal pendidikan

MALAYSIA mempunyai sistem pendidikan yang rosak. Berubah setiap kali menteri berubah. Kerajaan ragu-ragu. Perlu satu atau dua kementerian pendidikan? Sambil wujud banyak kementerian lain yang berkaitan pendidikan.

Sesekali kerajaan berunding dengan para pemegang taruh. Tetapi, pemegang taruh terpenting – pelajar/mahasiswa – lazimnya tidak dilibatkan. Setelah selesai perundingan, dasar yang diumumkan kelihatannya datang daripada konsultan asing, yang cadangannya telah pun diterima pakai sebelum pun perundingan (baca: perhubungan awam) dimulakan.

Tetapi, masalah paling asas – pengajaran dan pembelajaran (P&P) – mendidik belia dengan guru/pensyarah terbaik, dengan metod dan strategi terkini, dan dengan peluang yang saksama dan cemerlang, agar mereka dapat memenuhi seutuhnya potensinya, lazimnya dipinggirkan oleh perbalahan birokrasi zombi dan politik perkauman.

Kita mesti menangani perkara yang sebenar, iaitu apa yang berlaku seharian di sekolah/universiti, yang mendampak masa depan belia. Bukannya pertelingkahan dasar-dasar yang abstrak oleh para pembuat keputusan, yang sebahagiannya kurang ilmu tentang pendidikan.

Apa yang diperlukan ialah reformasi radikal pendidikan. Kita telah mencuba pelbagai bentuk penambahbaikan, tetapi tidak berjaya. Untuk reformasi radikal, perlu diwujudkan gabungan rakyat yang komited untuk membetulkan sekolah/universiti, membawa kembali roh pendidikan dan menyediakan yang terbaik untuk belia kita.

Dalam konteks ini, saya memuji Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli) atas penganjuran Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-20, pada 14-15 April 2016, di Sunway. Sidang tahunan ini, yang inklusif dan non-partisan, menghimpunkan para akademik, pendidik, pelabur dan pembuat dasar. Saya telah menghadirinya beberapa kali, iaitu sebelum, semasa dan selepas menjadi timbalan menteri.

Hakikat bahawa Asli berkesinambungan menganjurkannya sejak 1995, adalah teladan yang baik. Resolusi-resolusinya telah mempengaruhi, secara langsung atau tidak langsung, dasar-dasar pendidikan, contohnya, tentang mutu, akreditasi, pelajar asing, kesenjangan bandar-luar bandar, pembelajaran terbuka dan jarak jauh, kerjasama universiti-industri, pendidikan awam-swasta, dan teknologi dan inovasi.

Justeru, bagi gabungan untuk reformasi radikal pendidikan, Asli wajar memainkan peranan utama.

Menurut CEO Asli, Tan Sri Michael Yeoh, sidang kali ini mengambil kira perkembangan global, teknologi dan cara berfikir mutakhir serta kesannya ke atas pendidikan, yang memerlukan suatu “kurikulum baharu”. Cabaran utama buat pendidik dan pembuat dasar ialah bagaimana menangani realiti, persekitaran baharu dan perkembangan sosial yang semakin kompleks, dan bagaimana menghayati pembelajaran, pembangunan dan perkongsian ilmu dalam dunia digital.

Tema sidang kali ini ialah “Pendidikan: Mencipta Nilai, Membina Masyarakat”. Saya berterima kasih kerana diundang mempengerusikan sesi tentang “Teknologi abad 21 dalam pendidikan”. Oleh kerana masalah paling asas ialah T&L, maka, saya berharap sesi ini memfokus hal tersebut.

Di sini, saya teringat buku Larry D. Rosen, Rewired. Menurut Rosen, pelajar hari ni tergolong dalam “iGeneration” (lahir pada 1980-an dan 1990-an). Kehidupan sehariannya dalam “diet media”.

Mereka pakar multi tugas, jaringan sosial, komunikasi elektronik dan orang pertama yang menyerbu apa-apa teknologi baharu. Mereka dikelilingi teknologi yang kian bertambah, berkawan atas talian, menggunakan telefon lebih untuk teks daripada bercakap, bertwitter semalaman dan tidur bertemankan telefon bergetar.

Masalahnya pendidikan tidak terkejar akan cara pembelajaran generasi ini yang amat berbeza dengan generasi-generasi terdahulu. Sekolah/universiti masih menggunakan strategi zaman ibu bapa dan guru/pensyarah mereka.

Kandungan pendidikan bukan masalahnya. Masalahnya ialah T&L. Justeru, terdapat dua cabaran, iaitu, mengenal pasti cara pembelajaran generasi baharu ini, dan membangunkan T&L yang bersesuaian.

Pokoknya, kita tidak boleh lagi meneruskan cara-cara lama, iaitu berbelanja besar dan berbuat kecil. Kita perlu berterus terang. Justeru, perlunya dimulakan gabungan reformasi radikal pendidikan.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

0 Komentar untuk " Reformasi radikal pendidikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ