Nasihat secara berhikmah, ikhlas jalin persaudaraan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nasihat secara berhikmah, ikhlas jalin persaudaraan

SEBAIK-baik pemberi nasihat itu memiliki akhlak lemah lembut, bersopan dan berhemah untuk menyampaikan nasihat supaya mampu mengindahkan halwa telinga serta pertimbangan akal mereka yang menerima nasihat. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa dan Harun untuk menemui Firaun. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha, ayat 43-44)

Memberi nasihat mesti memilih kaedah yang sesuai dan tepat mengikut suasana, keadaan serta keperibadian seseorang. Nasihat yang diberi mestilah bertujuan memperbaiki kesilapan yang dilakukan kerana Islam melarang perbuatan bermulut manis tetapi mengumpat serta mengutuk. Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah seseorang Mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina." (Riwayat Bazzar dan Hakim)

Adab beri nasihat 

Islam menggariskan adat dan tatacara untuk memberi nasihat antaranya memberi nasihat di tempat tertutup. Sebahagian ulama berkata, barang siapa menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua maka itulah nasihat yang sebenarnya. Berbeza dengan seorang yang menasihati saudaranya di khalayak takut perbuatan itu boleh menjurus kepada sifat merendahkan orang yang dinasihati. Seorang faqih dan ahli ibadah terkemuka, Fudhail bin Iyadh berkata: "Seorang Mukmin ialah orang yang menutup aib dan menasihati. Sedangkan orang fasik ialah orang yang merosak dan mencela." Seorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkan kesilapan itu melakukan dua kesalahan. Justeru, memberi nasihat adalah wajar supaya kesalahan tidak berulang dan pihak berkenaan boleh memperbaiki dirinya.

Imam Ibnu Hibban menyatakan: "Saya bertanya kepada Mis'ar: Apakah engkau suka apabila ada orang lain memberitahu akan kekurangan yang ada padamu? Lalu dia menjawab: Apabila yang datang adalah orang yang memberitahu kekuranganku dengan cara yang memalukan aku, maka aku tidak berasa senang. Tetapi apabila yang datang kepadaku seorang pemberi nasihat maka aku berasa selesa." Nasihat memiliki kedudukan istimewa dalam Islam kerana memberi nasihat dapat memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam. Apabila nasihat yang disampaikan seorang Muslim terhadap saudaranya kerana Allah SWT, ia berupaya memperkukuh ikatan kasih sayang sesama saudara. Bagaimanapun, nasihat yang diberi mesti atas niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT serta mengharapkan keredaan-Nya.

Hormati ilmu 

Nasihat yang diberikan mestilah berdasarkan ilmu. Orang yang berilmu pandai menjaga dirinya supaya masyarakat menghormati ilmu yang ada padanya. Imam Ghazali pernah berkata: "Barang siapa yang tidak menjaga dirinya maka tidak bergunalah ilmunya." Menghiaskan diri dengan akhlak yang lemah lembut dituntut kerana di situlah letaknya nilai keindahan nasihat itu. Ibn Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah berkata kepada al-Asyji: "Kamu mempunyai dua sifat yang membuat Allah SWT dan Rasul-Nya senang; lemah lembut dan murah hati." (Riwayat Muslim) Dalam apa juga keadaan, pemberi nasihat mestilah banyak bersabar terutama ketika orang yang dinasihati tidak bersedia menerima nasihatnya. Usah mudah berputus asa kerana sifat Mukmin itu sentiasa melakukan sesuatu yang baik secara berterusan.

Menghormati orang lain sama seperti kita menghormati diri sendiri, maka hendaklah menghiasi peribadi sebaiknya. Keperibadian kita akan diukur melalui kasar atau lembutnya pengucapan kerana tutur kata lemah lembut itu lebih berkesan daripada bahasa kasar dan tidak sopan. Agama sentiasa mengingatkan untuk berjaga-jaga dan berhati-hati dengan setiap lafaz ucapan supaya tidak mencederakan hati serta perasaan orang lain. Sebab itu ia wajar dilakukan dengan penuh tertib. Amalan pengucapan yang baik tersenarai dalam ciri akhlak yang terpuji. Imam al-Hasan al-Basri mendefinisikan akhlak terpuji sebagai wajah berseri, penuh kemurahan hati dan menahan diri daripada menyakitkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin menasihati penguasa, janganlah ia menampakkan dengan terang-terangan. Hendaklah ia pegang tangannya lalu menyendiri dengannya. Jika penguasa itu mahu mendengar nasihat itu, maka itu yang terbaik dan apabila penguasa itu enggan (tidak mahu menerima nasihatnya itu), maka sungguh ia telah melaksanakan kewajipan amanah yang dibebankan padanya." (Riwayat Ibnu Abi Ashim, Ahmad dan al-Hakim) Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/138397
0 Komentar untuk " Nasihat secara berhikmah, ikhlas jalin persaudaraan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ