Konsep 'home tahfiz' kelainan di Darul Siddir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Konsep 'home tahfiz' kelainan di Darul Siddir

MENDENGAR lunaknya bacaan surah al-Jumuah disampaikan Ereena Syaqeera Zulhisham, 7, yang dihafal, menyentuh sehingga ke lubuk kalbu dan bertambah enak apabila mengetahui dalam usia yang masih muda anak kecil itu sudah menghafal dua juzuk al-Quran dengan bertajwid.  Anak keenam dari lapan beradik yang sudah enam bulan menetap di Pusat Tahfiz Darul Siddir di Cyberjaya itu juga sudah menghafal 30 hadis sahih. "Walaupun tidak tinggal dengan keluarga tetapi saya tidak takut kerana abang dan kakak juga ada di sini. Seronok di sini, setiap petang ada riadah. Naik basikal dan berenang," katanya yang jelas memperlihatkan kegembiraan seorang kanak-kanak, ketika ditemui baru-baru ini. Berkonsepkan 'home tahfiz' atau 'pembelajaran tahfiz di rumah', Pusat Tahfiz Darul Siddir yang dibuka sejak Oktober lalu berbeza dengan pusat atau madrasah tahfiz biasa. Menumpukan pengajian hafalan al-Quran serta hadis sepenuh masa, sasaran pusat itu adalah setiap pelajarnya mampu menghafal 30 juzuk al-Quran dan hadis dari kitab Riyadus Solihin dalam tempoh dua tahun. Menyingkap sejarah penubuhan Darul Siddir, Pengetuanya, Ustaz Johari Abdul Wahab, berkata pada asalnya pusat itu diwujudkan oleh beberapa rakannya yang juga ahli perniagaan. "Mereka mahu menghantar anak belajar tahfiz tetapi bimbang kemudahan disediakan tidak mencukupi seperti di rumah yang menyebabkan anak tidak berasa selesa. Justeru, saya dan dua lagi rakan membuka pusat ini dengan memastikan kemudahan diberikan serta suasananya sama seperti apa yang anak-anak ini peroleh ketika di rumah. "Kita tidak mahu mereka berasa terasing dan tidak selesa. Di sini, mereka menerima layanan seperti di rumah. Setiap petang ada masa riadah dengan aktiviti berbasikal dan berenang. AKTIVITI pelajar Tahfiz Darul Siddir bermula seawal jam "Makan minum juga disediakan. Namun, kita juga mengajar mereka berdikari walaupun semuanya disediakan. Mereka juga mempunyai jadual membasuh pinggan, mengemas bilik, membersihkan bilik air dan menyapu," katanya. Darul Siddir mengambil sempena nama pokok siddir yang berbunga setahun sekali. Madu yang diperoleh dari pokok siddir mempunyai nilai dan khasiat tinggi. Harapannya, pusat itu dapat melahirkan tahfiz yang cemerlang dunia akhirat. Setakat ini, pusat ini mempunyai 10 pelajar lelaki dan 12 pelajar perempuan dengan pengambilan dua tahun sekali. "Kita mahu kumpulan pertama ini berjaya menghafal 30 juzuk dan hadis dahulu, baharulah kita buka kepada pelajar baru. Di sini, setiap lima pelajar dibimbing seorang guru agama. Darul Siddir adalah pusat pertama di negara ini yang mengadakan kelas hafalan untuk hadis. "Kami mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap sekolah pondok atau tahfiz yang sering dikaitkan dengan kurang kemudahan, kotor dan sering meminta derma daripada masyarakat. Kami mahu menjadikan pusat tahfiz ini sebagai institusi yang dipandang tinggi. "Oleh itu, hasil keuntungan perniagaan digunakan untuk menguruskan pusat ini. Saya dan rakan perniagaan menamakan projek ini sebagai projek pahala. Kita tidak mahu hanya mengejar dunia tetapi yang lebih penting akhirat serta mahu melahirkan generasi berakhlak mengikut acuan al Quran," kata Johari. Walaupun kebanyakan pelajar Darul Siddir datang dari keluarga berada, namun ada juga dari kalangan keluarga sederhana dan berpendapatan rendah. "Di sini, semua pelajar dilayan sama rata, tiada beza sama ada anak orang kaya atau susah. Kami didik pelajar bahawa kekayaan tiada nilai di sisi Allah SWT tetapi apa yang lebih penting adalah akhlak baik serta takwa yang menjadikan kita insan berjaya. Di sini juga, pelajar dari keluarga yang berada diajar berkongsi kesenangan dengan pelajar susah," tambahnya. Rutin harian pelajar bermula seawal jam 4.30 pagi. Usai solat Subuh, kelas hafalan al-Quran dan hadis dimulakan sehingga waktu Asar. Kelas hanya dihentikan untuk sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam serta rehat pada waktu tengah hari. Selepas solat Asar, pelajar berpeluang beriadah di sekitar pusat itu dengan ditemani guru mereka. Selain berbasikal dan berenang, pelajar juga berpeluang bermain futsal di kawasan berhampiran. Johari berkata, pada masa akan datang, pihaknya bercadang menambah kegiatan riadah dengan menyediakan aktiviti berkuda dan memanah. Ditanya apakah sasaran masa hadapan pelajar pusat itu selepas menamatkan pengajian, Johari berkata, ia bergantung kepada ibu bapa masing-masing. "Ibu bapa yang mahukan anak mereka ke arah akademik tiada masalah, begitu juga yang mahukan anak mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang agama. Yang penting asas al-Quran dan hadis sudah ada dalam dada mereka," katanya. Sementara itu, seorang pelajar yang bermasalah disleksia, Muhammad Syamie Mohd Saprn, 10, dari Seri Kembangan, Selangor, mengakui sejak memasuki pusat itu beliau sudah menghafal dua juzuk al-Quran dan 42 hadis sahih. "Bila dewasa saya mahu menjadi angkasawan kerana mahu melihat kejadian alam dari atas. Saya seronok belajar di sini kerana dapat pergi berenang dua kali seminggu," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/138052
0 Komentar untuk " Konsep 'home tahfiz' kelainan di Darul Siddir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ