Mapan atau mampan? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mapan atau mampan?

SEBAGAI bahasa komunikasi rasmi dan pengantar ilmu, bahasa Melayu wajar dihormati oleh semua pihak antaranya melalui pematuhan sistem bahasa itu sendiri. Hal ini jelas bahawa seperti bahasa-bahasa yang lain juga, bahasa Melayu mempunyai aturan yang perlu kita patuhi.

Dalam hal ini, sebagai pengguna bahasa kita sepatutnya sedar bahawa bahasa Melayu sememangnya sudah mempunyai sistem dan struktur yang mantap.

Walau bagaimanapun, berdasarkan penelitian penulis, tahap kesedaran pematuhan bahasa dalam kalangan masyarakat masih belum cukup tinggi. Salah satu aspek berbahasa yang masih menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat ialah penggunaan bentuk kata yang tepat.

Sebenarnya, aspek ini tidak sepatutnya menimbulkan masalah kepada pengguna bahasa sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran tentang keperluan memahami sistem bahasa berserta minat yang mendalam untuk melestarikan budaya berbahasa yang betul.

Aspek penggunaan bentuk kata ini sebenarnya sudah sering kali dibincangkan baik melalui pelbagai bahan panduan berbahasa mahupun bengkel-bengkel kebahasaan.

Penulis ingin berkongsi pandangan untuk merungkai beberapa perkataan yang sering digunakan tetapi tidak mematuhi aturan bahasa. Antara bentuk perkataan yang kerap digunakan, baik dalam media cetak mahupun dalam wacana awam ialah perkataan mendokong.

Contoh frasa seperti mendokong kepimpinan, mendokong hasrat, mendokong agenda sering kali digunakan. Sebenarnya, perkataan ini tidak mematuhi sistem bahasa kerana bentuk tersebut sememangnya tidak wujud dalam sistem pembentukan kata bahasa Melayu.

Perkataan dokong khusus untuk nama buah-buahan, manakala perkataan yang menepati konteks frasa tersebut sepatutnya mendukung, iaitu sesuatu yang didukung. Oleh itu, frasa yang tepat ialah mendukung kepimpinan, mendukung hasrat, dan mendukung agenda.

Begitu juga kewajaran kata antara sekelian dengan sekalian, jelasnya sukar dibezakan sesetengah pengguna bahasa. Jika diteliti, kedua-dua kata dasar ini mempunyai perbezaan makna yang jelas.  Dengan kata lain, kata dasarnya adalah antara kali atau keli,  dan jawapannya tentulah sekalian sebagai bentuk imbuhan yang tepat bukannya sekelian.

Ramai pengguna bahasa yang tidak menyedari bahawa tiada perkataan guris dalam bahasa Melayu. Hal ini jelas kerana bentuk perkataan mengguris digunakan secara berleluasa dalam masyarakat.

Perkataan yang sepatutnya ialah menggores, contohnya, menggores hati. Begitu juga dengan perkataan menjolok mata yang kerap digunakan, tanpa menyedari ketidaktepatan perkataan tersebut. Menurut kamus, menjolok bermaksud menusuk sesuatu menggunakan galah. Oleh itu, perkataan yang tepat ialah mencolok, iaitu maksudnya membangkitkan kemarahan sesuatu pihak atau menyakitkan hati. Contoh ayat;

“Orang ramai diingatkan supaya tidak memakai pakaian yang mencolok mata semasa berurusan di jabatan kerajaan.”

Sebagai tambahan, perkataan mampan dan mapan juga agak sukar dibezakan penggunaannya yang tepat dalam kalangan penutur bahasa. Kita perlu sedar bahawa kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud yang berbeza.

Perkataan mampan bermaksud mampu mengekalkan prestasi yang baik manakala perkataan mapan pula bermaksud mantap atau sudah kukuh. Contohnya;

> Ekonomi negara yang mampan

> Penulis yang sudah mapan


Contoh perkataan lain yang lazim menimbulkan kekeliruan;



Sebagai masyarakat yang prihatin dan cinta akan kelestarian bahasa Melayu, tentunya kita tidak akan membiarkan amalan yang mencacatkan imej bahasa ini terus tegar. Peranan kita adalah untuk mengubah kebiasaan yang berpunca daripada kejahilan kita kepada aturan bahasa yang tersusun, sempurna bentuk dan maknanya, terutama membabitkan komunikasi rasmi.

Usaha kita untuk mewarnai bahasa Melayu sebagai bahasa yang tinggi nilainya dan dihormati merupakan satu sumbangan yang cukup penting kepada anak-anak kita sendiri agar mereka tidak terus mewarisi kedangkalan dan kealpaan kita berbahasa selama ini.

Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka

0 Komentar untuk " Mapan atau mampan? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ