Fenomena N-N dan A-M - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fenomena N-N dan A-M

DAYA humor perlu digunakan sebaik-baiknya untuk menghayati perkembangan besar yang berlaku di Malaysia kini. Kata-kata adik bongsu Perdana Menteri (PM) yang tajam melemahkan lagi kedudukan PM dalam kontroversi 1MDB.

“1MDB jangan dibiarkan berlaku lagi,” kata Datuk Sri Nazir Tun Razak. Kata-kata beliau itu bukanlah macam melepas batok di tangga. Beliau mengetuai salah sebuah bank terbesar di Malaysia, CIMB, sebagai CEO dan Pengerusi. Nazir bolehlah dianggap sebagai Perdana Korporat (PK) berbanding dengan abang sulungnya sebagai PM. Gajinya pernah diberitakan sebagai paling besar di negara ini, bersaing rapat dengan gaji CEO Public Bank, iaitu kira-kira RM15 juta setahun. Itu beberapa tahun dulu, kini jumlah tentunya sudah berubah. Maklumat penggajian begini bukan rahsia bagi sebuah firma awam. Ia boleh didapati dari Suruhanjaya Syarikat atau Bursa Malaysia.

Dengan pengalaman perbankannya yang luas dan mendalam - meniti dengan cermat segala undang-undang perbankan dan kewangan – Nazir pastinya amat peka dengan pengertian integriti dan amanah dalam mengendalikan wang orang ramai.

Gaji besarnya datang dari ketelusan dan prestasi. Wang besar yang datang dan pergi di 1MDB dan dipersoalkan berleluasa pastinya merisaukan Nazir. Bukan kecil pengertian ‘jangan dibiarkan berlaku lagi’. Ia bererti keburukannya jangan diulangi. Yang baik jadi teladan, yang buruk jadi sempadan.

Nazir tahu akhbar Wall Street Journal (WSJ) ialah yang terulung di dunia. Mana-mana profesor dan siswa ekonomi serta kewangan di mana-mana universiti di dunia, apalagi Cambridge (universiti beliau), Oxford, Harvard, Yale, Sorbonne, Tokyo, pasti diketawakan jika tidak tahu akhbar ini. Apa yang dituliskan oleh akhbar ini menjadi bahan debat, baik setuju atau tidak setuju. Ia diikuti, disayangi dan dibenci, tetapi tetap diperlukan.

Pernah sebuah firma peguam di sini mengancam hendak bertindak terhadap WSJ kerana kononnya silap membuat laporan tentang 1MDB, tetapi setelah WSJ memberikan jawapan dan kewajarannya, firma itu enggan bertindak. Keengganan itu menjadi berita yang lebih besar daripada berita ancaman.

Baru-baru ini al-Mufti Dr Asri menyatakan kesedihannya bagaimana tiada negara Islam yang tinggi amanahnya dalam indeks dunia. “Kita sibuk dengan berdoa dalam majlis-majlis besar, tetapi apa yang kita lakukan amat kecewa sekali,” tegas beliau. Dalam hal ini, jelas sekali Nazir dan Asri berkongsi sikap dan komitmen. Nilai-nilai murni yang besar ialah sebenarnya nilai-nilai keislaman. Jika lari daripada itu, ia akan memasuki konsep kepura-puraan.

Di samping Nazir dengan kata-kata panasnya, timbul pula soal penggantian PM. Nama Tengku Razaleigh (TR) disebut-sebut bersama-sama dengan gerakan ‘undi tidak percaya’ terhadap Najib di Parlimen. TR terus membuat pendedahan, bahawa PM Najib banyak kali berunding dengannya. Sorong tarik ini menjadi hak rakyat memperkatakannya.

Tan Sri Annuar Musa pula memilih peranannya sebagai Ketua Penerangan Umno menyerang Tun Dr Mahathir yang nyata sekali begitu lama bersengketa dengan PM Najib. Meskipun Annuar menuduh Mahathir bersikap peribadi terhadap Najib, namun Annuar sendiri tidak dapat melepaskan diri daripada bersikap peribadi terhadap Mahathir. Ungkit-ungkitan yang pedih dihamburkan.

Saya mengenali secara rapat dengan semua pelaku-pelaku ini. Maka saya juga tahu apa yang berlaku di antara mereka. Annuar kandas untuk jadi Adun dalam PRU 1990. Mungkin beliau terus hanyut dalam politik jika PM Dr M tidak melantiknya senator, menteri dan Ketua Perhubungan Kelantan.

Lim Kit Siang mengecam Annuar apabila beliau sebagai menteri berucap buat pertama kali di Dewan Rakyat: “Sudahlah! Boleh balik! Masuk pintu belakang!”. MP-MP BN geli hati, memandangkan mereka tidak berbau langsung nasib seperti Annuar.

Kemudiannya, satu kes salah-laku kewangan berlaku di kementeriannya. Mahkamah dapati Ketua Setiausaha Kementeriannya yang bersalah. Selepas enam tahun, rayuan KSU itu diterima, dan beliau dibebaskan. Soal moralnya, jika salah laku itu sah berlaku, dan KSU didapati tidak bersalah, siapa yang bersalah?

Semua perdana menteri dan presiden mempunyai watak besar tersendiri, justeru bukan senang mengendalikan mereka. Ada yang disukai dan tidak disukai. Ada yang kena kata-kata pedas, ada yang dapat kata-kata manis. Pada akhirnya, yang tinggal adalah apa yang dibuatnya.

Menjadi PM selama 22 tahun dengan tinggalan-tinggalan besar membuktikan imbangan pedas manis, buruk-baik, salah-betul dan seterusnya adalah satu pencapaian Tun Dr Mahathir yang luar biasa setakat ini.              

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Fenomena N-N dan A-M "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ