Integriti masih ada harapan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Integriti masih ada harapan

DATUK Seri Nazir Razak kini sedang bercuti sukarela daripada jawatannya sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Bhd dan Pengarah Bank CIMB Bhd, iaitu sehingga selesai penilaian aktiviti-aktiviti perbankan yang melibatkan akaun peribadinya. Ini ekoran penglibatannya membantu abangnya Perdana Menteri Najib Razak mengagihkan dana politik berjumlah RM27.5 juta semasa PRU 2013.

Nazir menganggap dana tersebut tidak melibatkan apa-apa yang bersalahan dengan undang-undang, dan penglibatannya tidak menyalahgunakan jawatannya sebagai CEO CIMB pada masa itu, atau menyalahgunakan sumber-sumber CIMB. Bagaimanapun, beliau menyesali akan penglibatannya itu.

Beliau telah menjelaskan segala-galanya kepada lembaga CIMB. Lembaga itu melantik Ernst & Young sebagai auditor luar. Menurut Nazir, tindakannya bercuti adalah sebagai langkah tambahan bagi memastikan integriti sepenuhnya dalam proses penilaian tersebut, yang dijangka selesai dalam beberapa minggu ini.

Apa yang menarik ialah, di sebalik kes ini, dalam Mesyuarat Agung CIMB pada 18 April lalu, beliau dipilih semula sebagai Pengerusi oleh para pemegang saham. Pada saya, ini melambangkan keyakinan mereka terhadapnya. Kerana beliau sentiasa menjunjung integriti dan berusaha mengaplikasi standard urus tadbir korporat yang paling tinggi dalam kerja-kerjanya.

Tetapi, Nazir dihormati bukan sahaja dalam dunia perniagaan, tetapi juga dalam kalangan masyarakat yang lebih luas. Komentar-komentarnya yang kritikal diikuti ramai. Termasuklah pendapatnya tentang 4I – integriti, inklusif, (reformasi) institusi dan inovasi.

Apabila beritanya bercuti ini menjadi viral, beliau dianggap bikin serupa cakap. Dalam suasana Malaysia sedang dihantui dua maha skandal – 1MDB dan 2.6 bilion – langkah Nazir ini memberi harapan buat integriti. Bahawa integriti belum mati.

Integriti mesti diamalkan bukan sahaja oleh ahli perniagaan, tetapi oleh semua, terutamanya ahli politik. Ini kerana politik sering dikotori oleh kronisme, nepotisme, politik wang dan rasuah.

Menurut Pelan Integriti Nasional, integriti politik ialah amalan politik yang beretika dan berasaskan prinsip-prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik.

Musuh utama integriti ialah rasuah. Dalam bukunya yang terkenal, Corruption: its Nature, Causes and Functions, Dr Syed Hussein Alatas menggariskan sembilan ciri rasuah: mengkhianati kepercayaan, menyelewengkan organisasi, menenggelamkan kepentingan awam, kerahsiaan dalam kalangan pihak berkuasa, siapa yang terlibat, obligasi dan manfaat, pengaruh, justifikasi undang-undang mengaburi perbuatan rasuah dan fungsi-fungsi bertindih mereka yang terlibat.

Pada hari ini, nilai-nilai tersebut telah diterjemahkan menjadi teknologi dan peralatan yang sedia untuk digunakan. Contohnya, Rakan Kerajaan Terbuka yang meliputi sistem urus tadbir yang komprehensif berdasarkan prinsip-prinsip partisipasi, ketelusan dan kebertanggungjawaban; dan Teknologi Pengurusan Perbelanjaan yang terdiri daripada sistem e-perolehan dan e-bidaan.

Walaupun Laporan PAC tentang 1MDB telah dibentangkan di Parlimen, tetapi, masih amat sukar untuk menyatakan yang Perdana Menteri telah menegakkan integriti dan, tanpa sebarang keraguan, bebas daripada rasuah.

Meskipun 1MDB bercerita separuh-benar, tidak mengongsi maklumat penting dan tidak menyerahkan dokumen tertentu, namun, laporan tersebut telah dapat membuktikan 1MDB melakukan kesalahan-kesalahan besar pengurusan dan bertentangan dengan prinsip-prinsip integriti, kebertanggungjawaban dan urus tadbir baik. Ia mengesahkan akan kebenaran kritik-kritik terhadap 1MDB. Ia tidak mengatakan Perdana Menteri tidak bersalah.

Pada 19 April lalu, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC telah mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan – bahawa Pengerusi PAC mengedit versi akhir laporan tersebut tanpa pengetahuan mereka, dan bahawa kandungan laporan yang diterbitkan itu ada perbezaan dengan apa yang diluluskan dalam mesyuarat PAC.

Dalam keadaan demikian, maka, ada yang membuat perbandingan di antara dua orang anak Tun Razak – Nazir vs Najib.

*Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Integriti masih ada harapan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ